Oleh Adib MN
9 Disember 2024, 09:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Adib MN memberikan analisis selepas pemilihan kepimpinan PENA yang baharu pada 8 Disember 2024.

Kemenangan Mohamad Saleeh sudah boleh dibayangkan dengan kehadiran ahli veteran dan 50 tahun ke atas yang dilihat hampir separuh dewan …

“Banjir besar” yang datang kira-kira 10 tahun sekali tidak melanda Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) apabila Presidennya, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berjaya mempertahankan kerusinya dalam pemilihan 8 Disember 2024.

Dalam pertandingan satu lawan satu, Mohamad Saleeh mengalahkan Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron.

Turut membuat kemunculan semula ialah bekas Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Mohd Hanafi Ibrahim apabila bertanding jawatan Timbalan Presiden PENA yang dikosongkan oleh Mohd Khair.

Mohd Hanafi mengalahkan pengarang prolifik yang juga penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award), Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai S.M. Zakir.

Jawatan Setiausaha Agung pula dimenangi oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Norzuraina Mohd Noor yang mengalahkan penyair dan eseis, Muhammad Lutfi Ishak.

Hal ini bermakna, Mohamad Saleeh mengelak daripada mengulangi nasib yang menimpa Sasterawan Negara (SN) Dato’ Baharuddin Zainal (Baha Zain) yang kalah di tangan bekas pensyarah Universiti Malaya (UM) terbabit.

Dr. Mohamad Saleeh Rahamad

Kemenangan Mohamad Saleeh sudah boleh dibayangkan dengan kehadiran ahli veteran dan 50 tahun ke atas yang dilihat hampir separuh dewan, manakala penulis berusia 50 tahun ke bawah barangkali meliputi kira-kira 30 peratus.

Dalam pemilihan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama persatuan penulis, sesiapa yang boleh “memegang” separuh ahli Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) dalam kalangan muka lama mempunyai potensi untuk memenangi atau mempertahankan jawatan.

“Formula” yang boleh memastikan kesinambungan kepemimpinan sesuatu persatuan itu juga boleh menjadi benteng ampuh terhadap sebarang perubahan yang dianggap ahli sebagai mengganggu status quo.

Keputusan ini juga boleh dibaca sebagai kehendak ahli yang hadir dalam MAT yang mahukan kepemimpinan sepenuh masa berdasarkan status Presiden dan Timbalan Presidennya yang kini dalam kalangan pesara.

Hal ini juga menunjukkan bahawa ahli mungkin tidak melihat latar belakang calon saingan sebagai faktor penting yang dapat memanfaatkan PENA.

Mohd Khair diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), juga ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), sekali gus boleh dianggap sebagai birokrat industri buku berpengalaman.

Malah, keterlihatan PENA dan GAPENA dalam penganjuran PBAKL selama dua tahun ini yang lebih ketara secara relatifnya tentu antara lain disebabkan oleh kedudukan Mohd Khair, selain tumpuan kerajaan di bawah pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang memberikan pemberat kepada industri buku serta sastera.

Projek Penerbitan PENA-Malaysia MADANI juga dianggap antara lain disumbangkan atas peranan Mohd Khair, sekali gus mengulangi apa yang pernah dilakukannya ketika mengemudi ITBM apabila kerajaan di bawah bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak “mencurahkan” dana yang diisytiharkan pada Perhimpunan Penulis Muda (PPM) yang dikendalikan oleh Muhammad Lutfi.

Walau bagaimanapun, keputusan yang diambil oleh MAT sebagai kuasa tertinggi dalam persatuan mungkin boleh dibaca sebagai kehendak majoriti ahli supaya PENA tidak ‘menumpang’ kelebihan yang ditawarkan oleh kedua-dua calon berkenaan …

Majoriti ahli yang hadir MAT juga mungkin tidak menganggap yang rekod prestasi S.M. Zakir sebagai calon Timbalan Presiden sama ada sebagai pengarang prolifik dan usahawan buku proaktif sebagai faktor pemberat.

Semua pihak pasti bersepakat bahawa S.M. Zakir mencatat nama sebagai sasterawan tanpa menumpang kedudukan ayahnya, Allahyarham SN Dr. Syed Othman Syed Omar atau lebih dikenali sebagai S. Othman Kelantan.

S.M. Zakir

S.M. Zakir mencipta nama sebagai cerpenis prolifik dengan gaya kepengarangan yang sama sekali berbeza daripada. S. Othman Kelantan, malah antara yang dilihat membawa arus eksperimental pada dekad 1990-an.

Beliau juga menjadi satu-satunya, kalau tidak antara tokoh nadir yang dapat mengekalkan momentum dalam dunia kepengarangan dan keusahawanan buku secara tangkas serta deras.

Di bawah label Nusa Centre, beliau bukan sahaja menerbitkan buku S. Othman dan karyanya sendiri, bahkan pengarang veteran, penulis muda dan tunas baharu sastera.

Hal ini kerana Nusa Centre turut menganjurkan bengkel pembinaan judul yang mempunyai kelebihan bukan sahaja dapat mengasah bakat dengan S.M. Zakir, bahkan karya terpilih diterbitkan di bawah penerbitan itu.

Boleh dikatakan, S.M. Zakir secara sendirian melakukan kerja yang dilakukan oleh institusi seperti DBP dan ITBM dengan sejumlah tenaga kerja atau penerbit, sama ada gergasi, generasi baharu atau indie.

Malah, Nusa Centre juga bekerjasama dengan persatuan penulis negeri seperti di Kelantan dan Sabah untuk menganjurkan acara kesusasteraan serta buku, selain turut membina hubungan dengan kelompok sastera berbahasa Cina dan Tamil.

Nusa Centre juga atas kapasiti S.M. Zakir sebagai pengarang prolifik yang dapat dihantar ke luar negara, turut menerbitkan buku karya penyair dari Balkan dan Asia Timur.

Walau bagaimanapun, keputusan yang diambil oleh MAT sebagai kuasa tertinggi dalam persatuan mungkin boleh dibaca sebagai kehendak majoriti ahli supaya PENA tidak “menumpang” kelebihan yang ditawarkan oleh kedua-dua calon berkenaan, sebaliknya kepemimpinan Mohamad Saleeh dan dibantu oleh Mohd Hanafi dapat mengangkat harkatnya dalam kesusasteraan dan buku tanah air.

Mungkin dengan kedudukan kedua-dua tokoh yang boleh memberikan sepenuh masa kepada PENA, persatuan ini diyakini bukan sahaja dapat meneruskan acara tradisi Malam Puisi PENA dan PPM, bahkan lebih aktif serta segar ketika dana melimpah ruah daripada kerajaan.

Justeru, menjadi tugas besar kepada Mohamad Saleeh dan Mohd Hanafi untuk menarik lebih ramai penulis, terutamanya penulis muda yang dalam tempoh 10 hingga 20 tahun ini tidak lagi tertarik untuk menyertai persatuan, sebaliknya lebih selesa berpayung dengan penerbit buku gergasi, generasi baharu dan indie serta kelompok satu generasi dengan mereka.

PENA yang memegang kedudukan kebangsaan perlu lebih terkehadapan berbanding persatuan penulis negeri kerana perlu bertindak sebagai hab yang berupaya menarik pelbagai kelompok pengarang.

Hal ini sudah tentu tidak boleh menggunakan formula lama, seperti Malam Puisi PENA atau penganjuran seminar atau diskusi buku yang nampaknya juga semakin kurang mutakhir ini.

Dengan tumpuan kerajaan juga, PENA juga perlu proaktif tanpa bergantung semata-mata kepada DBP untuk “menagih” dana RM50 juta itu, sebaliknya membuka pintu-pintu lain dengan entiti lain.

Dalam konteks hubungan dengan DBP, Mohamad Saleeh mungkin perlu memanfaatkan kedudukan Mohd Hanafi sebagai pesaranya dalam rangkaian hubungan peribadi.

Maka, DBP tentu tidak cukup untuk dijemput sebagai “penganjur bersama” Malam Puisi PENA atau pendana utama PPM, bahkan menggiatkan lebih banyak penganjuran acara yang dapat menarik perhatian dan kehadiran pengarang di luar lingkaran biasa persatuan itu.

Dengan undian besar yang diberikan oleh ahli dalam MAT itu juga bermakna, mereka tidak boleh pulang ke rumah masing-masing untuk kembali pada tahun hadapan atau ketika pemilihan, sebaliknya perlu membantu Mohamad Saleeh dalam melaksanakan tugas.

Hakikatnya, menghadiri Malam Puisi PENA saja tidak memadai sebagai sokongan yang tidak membawa rebah, sebaliknya mereka perlu turun padang mengerah tenaga dan memanfaatkan rangkaian masing-masing supaya PENA dapat keluar daripada “tempurung” acara klise.

Tugas besar memang menanti Mohamad Saleeh dan Mohd Hanafi tetapi mereka yang berjaya menolak kedua-dua tokoh ini ke depan, perlu mengikut mereka demi kepentingan PENA, ranah sastera dan industri buku.

Jika tidak, mereka tidak berlaku adil sebagai ahli atau lebih teruk, menjadi apa yang dikatakan sebagai “sokong membawa rebah”.

______________________________

Adib MN ialah eseis dan pengarang kreatif yang mengamati sastera dari jarak dekat.

Kredit Foto: Rozlan Mohamed Noor dan S.M Zakir
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.