Diterbitkan pada 6 Jun 2026, 22:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – YB Senator Dr. Zulkifli Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyifatkan Malam Baca Puisi PENA bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 5 Jun lalu bukan sekadar menghimpunkan suara penyair, tetapi juga jiwa yang percaya bahawa kata-kata mampu menghidupkan makna, membina peradaban dan menyuburkan kemanusiaan.
YB Senator Dr. Zulkifli Hassan semasa merasmikan Malam Baca Puisi PENA sempena dengan PBAKL 2026.
Katanya, di tengah-tengah kesibukan sebuah pesta buku yang merayakan ilmu dan pembacaan, kita dipertemukan pula dengan puisi, seni bahasa yang paling halus lahir daripada renungan, pengalaman dan kebijaksanaan manusia.
Turut hadir dalam program tersebut ialah YBrs. Dr. Saleeh Rahamad, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA); Encik Mohd. Khair Ngadiron, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL; Puan Adibah Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku; Puan Roziah Md. Yunus, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan mewakili Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka; YBhg. Datuk Zainal Abidin Borhan, Presiden GAPENA; dan Encik Wan Salahudin Wan Abdullah, Ketua Penolong Pengarah, Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada PENA atas penganjuran Malam Baca Puisi ini. PENA bukan sekadar sebuah persatuan penulis, tetapi rumah fikir para pengarang, medan pertemuan para intelektual dan benteng yang sekian lama mempertahankan maruah bahasa serta kesusasteraan Melayu,” ujar beliau.
Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Zulkifli berkata, dalam arus zaman yang sentiasa berubah, PENA terus berdiri sebagai pohon rendang yang menaungi tradisi ilmu, kreativiti dan pemikiran bangsa.
“Ketika dunia semakin bising dengan ledakan maklumat dan kecanggihan teknologi, PENA tetap mengingatkan kita bahawa kemajuan yang sebenar bukan hanya diukur melalui kecerdasan mesin, tetapi juga melalui kehalusan budi dan kebijaksanaan insan,” ujar beliau lagi.
Beliau menambah, bahasa yang dipelihara dengan cinta akan melahirkan bangsa yang bermaruah, manakala sastera yang disuburkan dengan ilmu akan melahirkan masyarakat yang berjiwa besar.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada PENA atas pengiktirafan yang diterima pada tahun ini melalui dana sebanyak RM1 juta bagi menjayakan projek penerbitan PENA MADANI. Saya melihat peruntukan ini bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi suatu amanah besar untuk terus mengembangkan khazanah ilmu dan persuratan negara,” tegas beliau.
Ujarnya lagi, amanah itu untuk melahirkan karya yang bukan sahaja indah pada bahasa, tetapi juga luhur pada makna, bukan sahaja dibaca, tetapi direnungi, bukan sahaja menghiburkan, tetapi mendidik dan memanusiakan.
“Kita percaya bahawa sebuah bangsa tidak dibina hanya dengan bangunan yang tinggi, tetapi dengan pemikiran yang tinggi. Pemikiran yang tinggi lahir daripada tradisi membaca, menulis dan berwacana yang hidup dalam masyarakat,” ujarnya lagi.
Dalam tradisi Islam, tambah beliau, kata-kata mempunyai kedudukan yang sangat mulia.
“Wahyu pertama yang diturunkan ialah perintah membaca. Peradaban Islam berkembang bukan sekadar dengan pedang dan kuasa tetapi dengan pena, tinta dan ilmu,” ujar YB Dr. Zulkifli.
Beliau menambah, puisi yang baik bukan sekadar rangkaian kata yang indah bunyinya, tetapi cermin jiwa zaman.
“Puisi merakamkan kegelisahan manusia, menyuarakan harapan, menegur dengan santun dan membimbing dengan hikmah. Dalam bait-bait puisi, kadangkala kita menemukan kebenaran yang tidak mampu dijelaskan oleh pidato yang panjang. Oleh sebab itulah penyair dan penulis mempunyai tanggungjawab yang besar. Mereka bukan sekadar pengkarya, tetapi penjaga nurani masyarakat,” tambahnya.
Dr. Zulkifli turut menyatakan bahawa ketika berbicara tentang Malaysia Madani, kita sebenarnya sedang berbicara tentang usaha untuk membangunkan manusia yang lengkap sifatnya, maju akalnya, luhur budinya dan kukuh nilai pegangannya.
“Dalam usaha tersebut, sastera mempunyai peranan yang sangat penting yang mengajar kita menjadi manusia yang lebih memahami, lebih berempati dan lebih menghargai sesama insan,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, negara memerlukan lebih ramai generasi muda yang mencintai buku, mendekati puisi dan menghargai bahasa kerana bangsa yang kehilangan bahasa akan kehilangan identiti dan bangsa yang meminggirkan sastera akan kehilangan sebahagian daripada jiwanya.
Dr. Zulkifli berharap Malam Baca Puisi PENA menjadi bukti bahawa puisi masih mempunyai tempat yang istimewa dalam hati masyarakat, sekali gus menjadikan bahasa Melayu terus subur sebagai bahasa ilmu dan budaya dan para penyair serta penulis akan terus menjadi pelita yang menerangi perjalanan bangsa.
“Bak kata orang tua-tua, apabila kata kehilangan makna, maka hilanglah arah sebuah bangsa, sebaliknya apabila kata dipelihara dengan ilmu dan adab, di situlah lahirnya tamadun yang bermaruah,” ujarnya lagi.
Dengan tema “Kata Puisi adalah Cinta”, Malam Baca Puisi PENA bersempena dengan PBAKL 2026 menampilkan penyair Marsli N.O, Zaen Kasturi; penyanyi lagu puisi Ahmad Ramli dan Adiwangsa Sukma; penyampai Radio SuriaFM, Elly Ariffin; koreografer dan pelakon, Naque Ariffin; deklamator Intan Marhayu, pendendang syair Farrah Nabila dan mahasiswa Universiti Malaya.
Antara tetamu yang menghadiri Malam Baca Puisi PENA di Pentas Utama Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 5 Jun 2026.
Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi