Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, sastera Mahua (karya sastera yang diusahakan oleh orang Cina di Malaysia) menjadi medium jiwa, wadah suara masyarakat dan jambatan yang menyatukan pelbagai budaya.
Menurut Tuan S.M. Zakir yang merupakan salah seorang pengusaha penterjemahan karya sastera Mahua, terjemahan karya Mahua dapat membina kefahaman antara masyarakat di Malaysia dengan cara yang submisif, lembut dan halus untuk membentuk persamaan dan hubungan antara satu sama lain.
“Terjemahan sastera Mahua kepada bahasa Melayu dibuat untuk memahamkan kehidupan masyarakat Cina di Malaysia yang sedang membina identiti tempatan.
“Terjemahan ini sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting kerana apabila kita membacanya secara diam-diam, kita akan melihat segala prejudis yang ada sebelum ini akan hilang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi ahli panel dalam wacana Sastera Mahua Cerminan Perpaduan Bangsa Malaysia bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Kuala Lumpur, pagi tadi.
Berkenaan dengan sejarah pembentukan sastera Mahua, S.M. Zakir menjelaskan bahawa sastera Mahua telah terbentuk seiring dengan sastera Melayu di Malaysia.
Beliau berkata, “Sastera Mahua yang ditulis dalam bahasa Mandarin sebelum merdeka banyak terpengaruh dengan karya Tanah Besar China, namun sampai pada suatu ketika, masing-masing mencari identiti tempatan.
“Sebagaimana sastera Melayu membina identiti tempatan, begitu juga sastera Mahua melahirkan karya yang membina identiti tempatan.”
Tambah beliau, apabila kemunculan Malaysia, sastera Mahua sudah kejap sebagai sastera tempatan dalam konteks penulisannya yang tidak lagi terarah kepada pengaruh pengkaryaan Tanah Besar China, malah beralih kepada isu tempatan, seterusnya mendirikan identiti mereka sebagai sastera tempatan, tetapi ditulis dalam bahasa Mandarin.
“Sastera Mahua betul-betul mempunyai nuansa dan aura tempatan kerana watak daripada masyarakat yang ada di Malaysia akan masuk dalam karya itu yang kita tidak akan jumpa dalam karya lain di China, Taiwan dan sebagainya,” katanya.
Jelas beliau, penulis sastera Mahua sebenarnya mencari titik persamaan, cuma mereka berada dalam suatu golongan yang kecil dan ditenggelami oleh sensitiviti politik yang membuatkan budaya dalam konteks sastera ini tenggelam.
Menurut beliau lagi, pelopor sastera ini sebenarnya telah awal lagi membina perpaduan dalam konteks sastera di Malaysia.

Sementara itu, menurut YBhg. Profesor Dr. Ng Yean Leng, pensyarah di Universiti New Era, Kajang yang juga Pengerusi Persatuan Penulis Aliran Cina, sastera Mahua ialah karya seni yang banyak membayangkan identiti, cara hidup dan cara pemikiran pelbagai kaum masyarakat di Malaysia.
“Selepas kemerdekaan Malaysia, penulis sastera Cina sama ada yang lahir di Malaysia ataupun menjadi pemastautin tetap di negara ini berusaha untuk menunjukkan identiti mereka sebagai seorang warganegara Malaysia melalui penulisan sastera seperti puisi dan novel. Oleh sebab itu, banyak watak bawahan dalam fiksyen Cina yang dilihat berusaha hidup sebagai warganegara Malaysia,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha penterjemahan sastera Mahua yang sedang digiatkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bukan sahaja dapat mengukuhkan lagi bahasa kebangsaan, malah dapat membayangkan persamaan dan perbezaan dalam cara pemikiran masyarakat Malaysia.
Oleh itu, beliau berharap agar lebih banyak lagi karya sastera Mahua diterjemahkan dan diperkenalkan kepada generasi muda sebagai “pintu masuk” untuk mengenali sastera Mahua, dan seterusnya menerapkan nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Program anjuran Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP ini dikendalikan oleh pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Pendidikan Teknik, YBrs. Dr. Khasturi Ramalingam sebagai pemudah cara.