20 Februari 2024, 17:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – S.M. Zakir menyeru agar penulis tanah air menyerlahkan pemikiran tempatan dalam karya agar dapat disebarkan secara global.

Pemikiran itu merujuk falsafah, agama dan budaya dalam bahasa masyarakat Malaysia yang pelbagai dan sangat unik.

Karya yang kaya dengan kearifan tempatan akan lebih bermanfaat dan menjadi apresiasi kepada pembaca antarabangsa.

Dengan cara ini sahaja, kredibiliti seorang penulis dapat diserlahkan.

S.M. Zakir berkongsi pandangannya dalam program Bicara Sastera dan Editor, bersama-sama editor Dewan Sastera, Fadli al-Akiti di Dewan Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK), Kota Bharu, Kelantan pada 17 Februari 2024.

Beliau turut menambah, kredibiliti penulis tempatan akan lebih menyerlah melalui pemikiran dan kreativiti pengolahan karyanya.

Pemikiran yang luas dan bijaksana juga boleh dijana melalui penelitian berterusan karya penulis mapan tempatan dan luar negara.

Manakala, kebolehan mengolah puisi, cerpen atau rencana hanya dapat dicapai melalui minda kreatif penulis yang terdedah pada banyak pengalaman dan ilmu yang baharu.

Beliau juga tidak lupa untuk menasihati para penulis yang mempunyai bakat penulisan yang baik agar terus mengasah bakat tanpa noktah.

Dikhuatiri sekiranya bakat dibiarkan sahaja tanpa penghasilan karya atau penambahan ilmu melalui sesi bengkel atau seminar penulisan, ketokohan penulis itu akan terpadam.

Program ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) sempena Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2024 (Dalam Talian) yang berlangsung pada 19 Januari hingga 17 Februari 2024.

Kredit Foto: GEMA

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.