Diterbitkan pada 9 Februari 2026, 14:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan sejak tahun 1956 merupakan sebuah institusi yang berperanan penting untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam semua bidang, termasuk ekonomi, sosial dan politik.

Malah Pengarah DBP Wilayah Timur (DBPWT), YBrs. Puan Ariza Che Ismail berkata, fungsi DBP sangat signifikan dalam memartabatkan kesusasteraan Melayu tanah air agar relevan sepanjang zaman.

Katanya, prinsip dan wadah DBP akan lebih berimpak kepada umum sekiranya terus mendapat sokongan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), terutamanya daripada kalangan persatuan-persatuan penulis di seluruh tanah air.

“Justeru kita (DBP) sentiasa terbuka untuk sentiasa bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan dalam merealisasikan prinsip serta wadah tersebut, termasuklah seperti anjuran program seperti ini.

“Program ini merupakan antara inisiatif dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu, selain memupuk amalan membaca dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pelancaran Tiga Buku Antologi Puisi yang berlangsung di Dewan Seminar DBPWT, semalam.

Antologi tersebut ialah, Ingin Kulukis Alam Ini (terbitan DBP), Puisi Langit Biru Perth: Perth Sky Blue Poems terbitan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dan Puisi Veteran Pesisir: Di Pesisiran terbitan Persatuan Penulis dan Budayawan Kelantan (PESISIR).

Dalam perkembangan yang sama, Ariza berkata bahasa dan kesusasteraan Melayu juga turut berperanan sebagai tunjang pada pembentukan akal budi serta kekuatan jati diri masyarakat Melayu khususnya.

“Bahkan, bahasa dan sastera merupakan suatu wahana penting dalam memelihara nilai budaya dan identiti bangsa yang diwarisi sejak zaman ke zaman,” katanya.

Tambahnya, oleh hal yang demikian, kesedaran serta komitmen semua pihak perlu diperkasakan agar setiap lapisan masyarakat tampil sebagai pewaris yang bertanggungjawab bagi memastikan kedaulatan bahasa kebangsaan dan sastera kekal terjamin sepanjang zaman.

Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail merasmikan tiga antologi puisi di Dewan Seminar DBPWT, semalam.
Kredit Foto: Mohd Zulkarnain Jamaludin Ansor
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi