Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPasir Puteh – Sempena Dekad Membaca Kebangsaan dan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Kelantan 2025, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan melancarkan novel Di Perdu Serambi.
Pelancaran tersebut diadakan di Dewan Haji Salleh, Sekolah Kebangsaan Panggong, Pasir Puteh, Kelantan dalam satu majlis Pelancaran dan Bicara Buku Novel Sejarah Di Perdu Serambi yang disempurnakan oleh Pengarah DBPWT, YBrs. Puan Ariza Che Ismail pada 25 Ogos 2025.

Semasa berucap merasmikan pelancaran tersebut, Ariza berkata, Di Perdu Serambi merupakan sebuah novel yang menghubungkan masyarakat dengan sejarah perjuangan pahlawan Melayu Kelantan dari Pasir Puteh, iaitu Tok Janggut yang bangkit menentang penjajahan demi maruah bangsa dan tanah air.
“Sejarah bukan sekadar cerita lama untuk diingati, tetapi sejarah merupakan sumber ilmu, semangat, dan jati diri.
“Melalui buku, sejarah itu hidup kembali. Hal itu mengajar kita tentang keberanian, pengorbanan, dan harga sebuah kemerdekaan.
“Bertepatan dengan Dekad Membaca Kebangsaan dan Sambutan Bulan Kemerdekaan 2025, program pada hari ini menjadi simbolik bahawa membaca ialah satu bentuk perjuangan. Perjuangan membina bangsa berilmu, bangsa berwawasan dan bangsa berjati diri,” katanya.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah (Bahasa), Encik Hamdan Abdul Kadir yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri.
Sesi bicara buku dikendalikan oleh penerima anugerah Sasterawan Muda MASTERA, Puan Hajah Nisah Haron dengan menampilkan tiga ahli panel, iaitu tokoh akademik dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Profesor Dr. Hashim Ismail, pensyarah Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Nik Rafidah Nik Muhammad Affendi dan penulis novel tersebut, Puan Mazny M.R.
Ariza berkata, kisah perjuangan Tok Janggut wajar disemai dalam jiwa anak muda agar mereka membesar sebagai warganegara yang sedar akan nilai kemerdekaan tanah air selain memiliki jati diri yang kukuh.
Sehubungan dengan itu, beliau mengharapkan agar program tersebut menjadi titik tolak bagi memperkukuh semangat kemerdekaan melalui budaya membaca dan roh perjuangan Tok Janggut yang tersurat dan tersirat menerusi Di Perdu Serambi terus hidup dalam sanubari seluruh masyarakat.
“Semoga program ini berjaya menanam kecintaan terhadap karya sastera dan sejarah bangsa, sekali gus mengangkat nama Kelantan sebagai negeri yang kaya dengan warisan perjuangan serta tradisi ilmu.
“Selain itu, hal ini dapat mengeratkan hubungan antara DBP, institusi pendidikan dengan masyarakat ramai dalam usaha bersama memartabatkan bahasa, sastera dan budaya bangsa,” katanya.
Di Perdu Serambi ialah sebuah novel sejarah karya Mazny M.R. yang mengisahkan kebangkitan penentangan terhadap penguasaan British di Kelantan melalui jalur sejarah yang tepat berdasarkan sumber sejarah sedia ada.
Novel tersebut memenangi Hadiah Tempat Pertama Sayembara Penulisan Novel Sejarah untuk Remaja DBP-PSM 2022/2023.

Beli novel Di Perdu Serambi di sini.