Oleh Suyuthi Yusuf
7 November 2023, 03:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – “Kelantan awal abad ke-20 telah bangkit sebagai pusat intelektual di Pantai Timur, sekali gus terkenal sebagai pusat budaya dan sastera yang bukan sahaja menghimpunkan penulis-penulis besar tetapi juga karya-karya yang menjadi penanda sejarah sastera moden di Tanah Melayu”, ujar S.M. Zakir, ketika menyampaikan ucapan beliau sebagai penerima Anugerah Sasterawan Kelantan 2023.

Menerusi ucapannya lagi, beliau turut menyentuh bagaimana Kelantan merupakan tempat lahirnya penerbitan dan majalah terawal di Tanah Melayu yang bersifat intelek dan mampu menajamkan minda masyarakat. Antara majalah terawal yang terbit di Tanah Melayu pada ketika itu termasuklah majalah Pengasuh yang terbit pada tahun 1918.

Pengarang pertama majalah Pengasuh, iaitu Datuk Haji Muhammad Muhd Said, seorang ulama, pentadbir, intelektual dan dianggap sebagai ‘Bapa Wartawan Kelantan” juga merupakan penulis novel Kecurian Lima Million Ringgit pada tahun 1922 yang dikatakan sebagai novel Melayu terawal di Semenanjung Tanah Melayu.

Penerbitan majalah dan akhbar lain yang berkualiti dari segi pemikiran seperti Al-Hidayah, Suara, Kencana, Al-Hikmah, Sinaran Kelantan dan Al-Riwayat juga menyaksikan suatu kegemilangan gerakan inteletual di Kelantan.

Selain terkenal dahulunya dengan penerbitan intelektual dan sastera, Kelantan juga merupakan tempat pertembungan wacana dan idea serta tempat berkumpulnya para tokoh intelektual Melayu.

Kelantan menjadi tempat pertemuan golongan intelektual agama, malah perdebatan tentang isu-isu besar yang menyangkuti ranah pemikiran dunia. Contohnya ialah polemik Kaum Muda dan Kaum Tua yang menyaksikan turunnya tokoh-tokoh pemikir dari Singapura dan serata negeri.

Selain mengimbau tentang kehebatan keilmuan dan kesusasteraan negeri Kelantan, beliau juga menyatakan bahawa adalah menjadi cita-cita golongan penulis pada hari ini untuk melihat suburnya kembali negeri Kelantan yang bertuah ini dengan kegemilangan gerakan intelektual seperti dahulu.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.