Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTumpat – Kumpulan Penulis Tanpa Ijazah Kelantan (K-PETANPIK) sedang merancang secara proaktif untuk menerbitkan sebuah buku biografi yang menghimpunkan tidak kurang daripada 100 penulis kelahiran Kelantan, sebagai usaha mengumpul dan mendokumentasikan nama serta sumbangan mereka dalam pelbagai genre penulisan.
Pengerusi K-PETANPIK, YBrs. Encik Wan Abdul Rahman Wan Muhammad berkata, inisiatif tersebut digerakkan selepas menerima cadangan daripada mantan Exco Kerajaan Negeri yang turut menyatakan kesediaan untuk membiayai kos percetakan buku berkenaan.
Menurut beliau, penulis berperanan sebagai penyalur ilmu dan maklumat kepada masyarakat, namun sering terpinggir daripada perhatian umum, termasuk pihak pemerintah, kerana kurang dikenali, khususnya dalam kalangan penulis yang menggunakan nama samaran.
“Tidak ramai penulis yang menonjolkan diri untuk dikenali. Malah, sebahagian besar memilih untuk menyembunyikan identiti melalui penggunaan nama pena,” katanya.
Tambah beliau, persepsi masyarakat yang sering mengaitkan gelaran penulis atau sasterawan hanya kepada penyajak menyebabkan sumbangan penulis genre lain kurang diberi perhatian.
“Ramai yang tidak mengenali tokoh seperti Abdul Razak Mahmood, Ismail Che Daud, Zain Salleh, Rusman Salim, Salim Awang, Fatihah Yusoff, Bayu Timur, Marhan, Darma Wahida, A. Sani Hassan, Ismail Net, Nordin Harun, dan Ghazali Awang Lah, walaupun mereka prolifik menghasilkan karya,” jelasnya.
Beliau turut mencontohkan mantan pengarang majalah Pengasuh, Abdul Razak Mahmood, yang pernah dilabel sebagai “perpustakaan bergerak” oleh Majlis Agama Islam Kelantan kerana keluasan ilmunya dan banyaknya karya yang dihasilkan, namun jarang-jarang diketengahkan dalam wacana sastera.
Dalam masa yang sama, Wan Abdul Rahman yang juga bertindak sebagai penyelaras dan editor projek tersebut mempelawa penulis asal Kelantan daripada pelbagai latar belakang untuk memberikan kerjasama bagi menjayakan penerbitan buku berkenaan.
Menurutnya lagi, tiada sebarang bayaran akan dikenakan kepada penulis, sebaliknya setiap penyumbang akan menerima senaskhah buku secara percuma.
Buku tersebut dijangka diterbitkan sebelum akhir tahun ini dan penulis yang berminat untuk menghantar bahan biografi boleh menghubungi beliau di talian 011-37574898.