Diterbitkan pada 23 November 2025, 09:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bachok – Penganjuran Hari Puisi Nasional (HPN) Peringkat Negeri Kelantan 2025 diharapkan dapat diperluas pada masa hadapan, bukan sahaja sebagai medan mengiktiraf para penyair, tetapi juga sebagai platform memperkenalkan pertubuhan penulis serta memupuk apresiasi terhadap puisi dalam kalangan khalayak yang lebih luas.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan, YBhg. Datuk Haji Kamarudin Md Nor dalam ucapan perasmian majlis tersebut di D’Heritage Resort, Bachok semalam.

Dalam program yang menghimpunkan penyair, sarjana dan penggiat sastera tanah air itu, beliau turut menegaskan perlunya program ini dianjurkan secara berterusan demi mengangkat seni puisi sebagai warisan budaya negeri.

Majlis dimulakan dengan pembentangan ucap utama oleh Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman menerusi kertas kerja bertajuk “Puisi Manusia dan Kemanusiaan: Merenungi Tradisi Melayu dan Dunia”. Dalam pembentangannya, beliau mengupas maksud dan tradisi puisi Melayu, selain menonjolkan peranan puisi sebagai wahana nilai sejagat yang menyentuh jiwa manusia merentas zaman.

Terdahulu, Ketua Satu Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA), YBrs. Dr. Haji Abdul Aziz Mahmood atau Abham TR menekankan bahawa HPN yang diraikan sejak tahun 1971 merupakan antara usaha penting memasyarakatkan puisi kebangsaan. Menurutnya, puisi berperanan besar dalam pembinaan insan serta pembentukan tamadun bangsa.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), YBrs. Encik Zainal Mohd Jais dalam ucapannya menegaskan bahawa asas menjadi seorang penyair ialah keikhlasan.

Menulis katanya, bukanlah kerja pura-pura atau sekadar rekaan kosong, sebaliknya merupakan suatu amanah untuk membina masyarakat dan memperkayakan peradaban. Justeru, beliau menyeru para penulis agar berkarya dengan hati serta tidak mensia-siakan bakat yang dianugerahkan Tuhan.

Majlis turut menyaksikan penganugerahan dua tokoh penting dunia sastera Kelantan. YBrs. Dr. Abham TR dinobatkan sebagai Tokoh Penyair PUSPA 2025, manakala Setiausaha PUSPA, YBrs. Puan Rogayah Abas menerima Anugerah Penggerak Puisi PUSPA 2025 sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi dan sumbangan mereka dalam memartabatkan puisi.

Suasana majlis diserikan dengan persembahan lagu rakyat Ulek Bonda oleh trio penyair PUSPA serta deklamasi sajak oleh para peserta, menjadikan HPN Kelantan bukan sahaja sebuah wacana ilmu, tetapi juga satu perayaan seni yang penuh hidup dan berwarna.

HPN Kelantan 2025 dianjurkan oleh Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK), menghimpunkan tokoh-tokoh sastera dari seluruh negara.

Yang turut hadir ialah tokoh akademik antarabangsa, YBrs. Dr. Harry Aveling, Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail; Ketua Satu Persatuan Sasterawan Muda Terengganu (PELITA), YBrs. Encik Kamarulzaman Ismail; Ketua Satu Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA), YBrs. Encik Zainal Abidin Muhamad; penerima Anugerah Penyair GAPENA 2025, Wadi Leta SA, tokoh sastera, akademik dan penulis muda Kelantan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi