Diterbitkan pada 23 November 2025, 10:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bachok – Dua tokoh penting dalam dunia sastera Kelantan, Abham T.R dan Rogayah Abas diraikan sebagai penerima Anugerah Tokoh Penyair dan Tokoh Penggerak Puisi PUSPA 2025 sempena Majlis Hari Puisi Nasional Peringkat Negeri Kelantan 2025.

Acara anjuran Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan (MKNK) itu berlangsung di D’Heritage Resort, Bachok, Kelantan semalam.

Tokoh penulis dan pendidik, YBrs. Dr. Abdul Aziz Mahmood atau lebih dikenali dengan nama pena Abham T.R diangkat sebagai penerima Anugerah Tokoh Penyair PUSPA 2025. Beliau dilahirkan di Kampung Tualang Rendah, Selising, Pasir Puteh dan menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Tualang Tinggi, Sekolah Menengah Kamil dan Maahad Muhammadi. Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang bahasa dan budaya dari Berkeley International University, Amerika Syarikat.

Perjalanan kerjaya beliau merentasi beberapa buah sekolah di Kelantan, termasuk SMR Dabong, SMK Pak Badol, Maahad Amir Indera, SMK Tanah Merah 1 dan SMK Puteri Saadong. Selepas bersara wajib pada tahun 2005, beliau terus mencurahkan bakti sebagai pensyarah pelawat di Universiti Yala (kini Universiti Fatoni) dari tahun 2008 hingga tahun 2013 sebelum dilantik sebagai kaunselor dan pensyarah kontrak di Institut Dakwah Islamiah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Dr. Abham mula berkarya sejak tahun 1960-an dengan karya pertamanya berjudul “Pelajar Agama” tersiar dalam majalah Warta pada Disember 1969 . Sejak itu, ratusan karyanya merangkumi sajak, cerpen, esei dan novel telah menghiasi pelbagai akhbar, majalah dan antologi.

Antara karya penting beliau termasuklah “Tafakur”, “Tali Iman”, “Wasiat”, “Dua Samudera”, “Laut Buih”, “Dasar Laut”, “Seberang Diri”, “Kupilih Penjara Wahai Zulaikha” dan “Di Negeri Ulat”.

Rekod penghargaan beliau amat cemerlang antaranya Hadiah Utama Peraduan Menulis Sajak Maahad Muhammadi (1970), Hadiah Utama Sajak Hari Guru Maktab Perguruan Ilmu Khas (1973), Hadiah Utama Peraduan Menulis Sajak PUSPA (1973), Hadiah Penghargaan Sayembara Puisi Islam JPMDBP (1985), Hadiah Puisi Kebangsaan EssoGAPENA, Hadiah Pertama Sayembara Puisi Hari Guru, Hadiah Puisi Kebangsaan SyahpaduGAPENA, Hadiah Puisi Kebangsaan PNB-GAPENA serta Hadiah Sagu Hati sempena 50 Tahun GAPENA dan 50 Tahun DBP.

Beliau turut menerima Anugerah Penulis Kreatif Kerajaan Kelantan, Anugerah Penggerak Sastera Kelantan 2015, Anugerah Bakti Sastera GAPENA 2022, Hadiah Sastera Kelantan 2023 dan Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan 2023.

Sebagai Ketua Satu PUSPA sejak tahun 1980-an, Abham T.R merupakan antara nadi utama persatuan, selain turut berkhidmat sebagai Pemeriksa Kira-kira Satu GAPENA selama lebih sedekad. Keanggotaannya dalam PUSPA bermula sejak tahun 1973 sebagai Setiausaha Dua sebelum memegang tanggungjawab tertinggi persatuan hingga hari ini.

Turut diraikan ialah Rogayah Abas, penerima Anugerah Tokoh Penggerak Puisi PUSPA 2025. Beliau mula berkecimpung dalam dunia penulisan pada penghujung tahun 1980-an. Sajak pertamanya, “Secebis Perjalanan” diterbitkan dalam Mingguan Famili pada tahun 1988, diikuti dengan cerpen sulung “Keputusan” dalam Mingguan Malaysia pada tahun 1989. Sejak itu, karya beliau mewarnai pelbagai penerbitan termasuk Mingguan Malaysia, Mingguan Famili, Mingguan Islam, Bacaria, majalah Wanita dan majalah Perempuan.

Cerpen pendeknya turut menjadi pilihan dalam ruangan popular Secebis Kisah di Utusan Malaysia. Rogayah juga aktif dalam dunia cerpen radio dengan karya seperti “Tikar Mengkuang”, “Memori” dan “Wasiat” pernah disiarkan di Radio Malaysia serta Radio Kelantan.

Rogayah memikul amanah sebagai Setiausaha PUSPA sejak tahun 1992 sehingga kini. Beliau merupakan antara tulang belakang penerbitan antologi puisi Bisikan (1 hingga 8), Titisan, serta terlibat dalam penyelenggaraan antologi Rawa Pertiwi, Gurisan Atma, Jagat Bumantara, Malai Puspasari, Haiku, Sonian, Senyru, Syair Cakerawati Madani dan antologi terbaharu Pelayaran Kenyir yang bakal dilancarkan pada tahun 2026.

Selain menyelenggara, beliau turut giat menggerakkan pelbagai program persatuan seperti bengkel, seminar dan sayembara puisi peringkat negeri, termasuk Sayembara Puisi Kemerdekaan anjuran GAPENA dan DBP Wilayah Timur. Karya beliau juga termuat dalam Gema Membelah Gema, Cinta di Pintu Mihrab dan Kembara Sastera Kota Bharu dalam Puisi.

Rogayah tidak melupakan insan yang membimbing perjalanan kreatifnya, termasuk Allahyarham Mat Daud Molly, Allahyarham Norhisyam Mustaffa, Allahyarham Abdullah M. Amin, Allahyarham Mohd Khairi Che Teh. Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman, YBrs. Dr. Abham T.R, Mazli Husma dan seluruh penggiat seni di Kelantan.

Penganugerahan dua tokoh ini bukan sahaja mengiktiraf ketekunan mereka dalam bidang penulisan dan penggerakan puisi, malah memperlihatkan kesinambungan tradisi persajakan Kelantan yang telah lama menjadi nadi perkembangan sastera tanah air. Dengan dedikasi lebih daripada tiga dekad Rogayah Abas dan lebih daripada lima dekad YBrs. Dr. Abham T.R, PUSPA menegaskan iltizamnya untuk terus memartabatkan puisi sebagai wahana pemikiran dan budaya bangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi