29 Oktober 2024, 17:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) sentiasa aktif menganjurkan pelbagai program dalam usaha melestarikan seni kesusasteraan di Pantai Timur.

Terbaharu, dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK), DBPWT telah menganjurkan seminar Pemikiran Sasterawan S.M. Zakir bagi memupuk cinta khalayak terhadap sastera dan budaya tempatan.

Ketua Unit (Sastera) DBPWT, Encik Muhammad Ikhram Fadhly Husin berkata, program ini merupakan satu usaha merungkaikan penghasilan karya sastera yang memaparkan tema kemanusiaan, jati diri, patriotisme, dan perjuangan.

Pada masa yang sama sebagai platform untuk menyampaikan peri pentingnya peranan sastera dalam melahirkan masyarakat berjiwa luhur, berperibadi mulia ke arah membina peradaban bangsa.

“Selain itu, seminar seumpama ini juga ternyata menjadi wadah penting bagi ahli panel terlibat berkongsi hasil kajian mereka kepada khalayak tentang karya dan penulis itu sendiri di samping memperkukuhkan jaringan atau mewujudkan peluang Sasterawan Negeri, penulis, ahli akademik dan pencinta sastera mengakrabkan hubungan sebagai sahabat sastera,” katanya.

Ketua Unit (Sastera) DBPWT, Encik Muhammad Ikhram Fadhly Husin berucap mewakili Pengarah DBPWT, Ariza Che Ismail pada Seminar Pemikiran S.M. Zakir di Kompleks Akademik UMK pada 24 Oktober 2024.

Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili pengarah DBPWT, Puan Ariza Che Ismail dalam seminar tersebut yang berlangsung di Kompleks Akademik UMK, Bachok, baru-baru ini.

Selain itu, beliau juga berharap seminar berkenaan turut menjadi sumber inspirasi bagi mendorong generasi muda untuk terus berkarya sekali gus meningkatkan kesedaran minat membaca karya-karya sastera tempatan.

“Ini adalah antara ruang menggalakkan pemikiran kritis dan peka terhadap isu-isu sosial melalui sastera, membantu siswa khususnya agar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, sensitif dan berdisiplin terutama dalam penulisan,” katanya.

Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Bitara Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  Prof. Madya Dr. Mawar Safie telah menyampaikan ucap utama dalam seminar tersebut.

Sementara itu, enam orang panel terlibat dalam pembentangan kertas kerja, iaitu Sasterawan Negeri Kelantan, Rosli K. Matari, penyair Zaen Kasturi, Pensyarah Universiti Walailak Thailand, Abdul Razak Panaemalae, Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Norazimah Zakaria, Pensyarah Universiti Malaysia Kelantan, Dr. Afidatul Syazwani Affandi, dan Sdr. Sudirman Kiffli.

Kira-kira 500 peserta mengikuti seminar tersebut yang dirasmikan oleh Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK, Prof. Madya Dr. Raja Iskandar Raja Halid.

S.M. Zakir mula terlibat dengan penulisan kreatif sejak tahun 1990 hingga kini berjaya menghasilkan lapan buah kumpulan cerpen, dua buah novel dan lima buah kumpulan puisi. Terdapat beberapa karyanya sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.

Cerpen merupakan genre ikon yang telah mengunggulinya sehingga membawa S.M. Zakir ke puncak kejayaan, sekali gus mencipta sejarah sastera tanah air sebagai tokoh termuda dianugerahkan penerima SEA Write Award pada tahun 2011.

Hampir 500 peserta mengikuti Seminar Pemikiran S.M. Zakir di Kompleks Akademik UMK.
Kredit Foto: Zuharman Mohammad Nor
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.