Diterbitkan pada 29 Januari 2026, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

George Town – Selaras dengan semangat Malaysia MADANI, sastera dilihat sebagai wahana penting untuk merapatkan jurang budaya, menyemai kefahaman serta membina masa depan negara yang lebih harmoni melalui kekuatan cerita dan bahasa komuniti tempatan yang rencam.

Kepelbagaian warna suara dalam landskap kesusasteraan negara diraikan menerusi forum “Sastera Mahua dalam Konteks Malaysia MADANI” yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang pagi tadi.

Forum ilmiah yang menghimpunkan tokoh akademik dan penggiat sastera pelbagai latar itu menyorot peranan sastera Mahua sebagai jambatan budaya yang memperkukuh persefahaman antara kaum, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Program tersebut dikendalikan oleh pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang, Puan Rozeerozanna Rosli. Tiga ahli panel telah berkongsi pandangan, iaitu Pengerusi Persatuan Penulis-penulis Aliran Cina Malaysia, YBrs. Profesor Dr. Ng Yean Leng, Ketua Pusat Sastera Mahua Universiti Kolej Selatan, YBrs. Encik Kho Tong Guan, serta penerima SEA Write Award dan pengasas Nusa Centre, YBrs. Tuan S.M. Zakir.

Dalam mukadimah forum, Rozeerozanna menegaskan bahawa sastera Mahua merupakan antara cabang penting dalam ekosistem sastera kebangsaan yang berbilang bahasa dan budaya. Menurut beliau, karya Mahua merakamkan pengalaman sejarah, realiti sosial dan pencarian identiti dalam konteks negara majmuk.

Menjawab persoalan tentang definisi dan kedudukan sastera Mahua, Prof. Ng menjelaskan bahawa istilah tersebut merujuk karya sastera berbahasa Cina yang dihasilkan oleh penulis Cina di Malaysia. Definisi itu, katanya, dipopularkan oleh sejarawan sastera, Fang Xiu, yang banyak mendokumentasikan perkembangan kesusasteraan tersebut.

Beliau menekankan bahawa karya Mahua telah menembusi peringkat antarabangsa melalui terjemahan dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, Jerman dan Jepun. Kejayaan itu membuktikan bahawa pengalaman masyarakat Malaysia mampu diangkat sebagai wacana sejagat.

“Latar tempatan seperti bandar perlombongan bijih timah, kampung dan kota pelbagai kaum menjadi ruang naratif penting.

“Watak Melayu, Cina dan India hidup bersama dalam karya-karya ini, mencerminkan realiti masyarakat Malaysia,” ujarnya.

Ng turut menonjolkan peranan tokoh terjemahan seperti Dr. Yang Quee Yee dan Chan Maw Woh yang menjadi jambatan antara bahasa Cina dengan bahasa Melayu.

Usaha terjemahan, katanya, penting bagi memperluas capaian pembaca serta mengukuhkan dialog silang budaya.

Beliau mencadangkan agar pemilihan karya untuk diterjemah memberi penekanan kepada tiga aspek utama, iaitu pengalaman kebangsaan, penggambaran ruang tempatan Malaysia serta potensi membina persefahaman antara budaya.

Dalam konteks generasi muda, beliau memuji inisiatif majalah puisi digital Koukou Poetry yang menerbitkan karya Mahua, sekali gus memperlihatkan kecenderungan baharu anak muda terhadap sastera.

Sementara itu, Kho memperluas perbincangan dengan menekankan bahawa sastera Mahua perlu dilihat dari sudut kandungan, bukan semata-mata bahasa. Beliau merujuk pandangan sarjana terdahulu seperti Han Suyin yang mentakrifkan kesusasteraan berdasarkan pengalaman dan tema masyarakat.

Kho turut mengangkat tradisi sastera Baba sebagai sebahagian daripada akar sejarah sastera masyarakat Cina di Tanah Melayu. Menurutnya, komuniti Baba di Negeri-negeri Selat telah menghasilkan pelbagai karya dalam bentuk pantun, syair dan novel terjemahan sejak akhir abad ke-19.

“Karya-karya ini memperlihatkan penguasaan pelbagai bahasa dan percampuran budaya yang unik, selain membuktikan bahawa interaksi budaya telah lama berlaku dan menyumbang kepada pembentukan identiti tempatan,” jelasnya.

Beliau menambah bahawa walaupun tradisi tersebut semakin merosot selepas pertengahan abad ke-20, sumbangannya terhadap sejarah kesusasteraan dan hubungan antara kaum tidak harus dipinggirkan.

Dalam peranan sastera Mahua dalam pendidikan, S.M. Zakir menegaskan bahawa pembacaan karya pelbagai kaum mampu memupuk empati, toleransi dan nilai ihsan dalam kalangan pelajar.

Menurut beliau, tema kemiskinan, perjuangan hidup dan keadilan sosial yang sering diketengahkan oleh penulis Mahua selari dengan perkembangan sastera moden Melayu.

“Sastera membolehkan kita memahami pengalaman orang lain. Apabila pelajar membaca kisah masyarakat yang berbeza latar budaya, mereka belajar melihat dunia dari sudut yang lebih luas,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan usaha terjemahan yang berterusan agar karya Mahua dapat diakses oleh khalayak yang lebih luas. Dalam jangka panjang, katanya, sastera Mahua berpotensi menjadi jambatan yang lebih kukuh dalam ekosistem budaya Malaysia MADANI.

Kredit Foto: Dewan Bahasa dan Pustaka
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi