Oleh Zurinah Hassan
19 Januari 2022, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan menyelidik kekuatan karya seni Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menjalinkan integrasi nasional dalam sebuah novel pemenang tentang saga sebuah keluarga Cina di Sarawak, Ah Fook.

Hal ini memperlihatkan lagu-lagu P. Ramlee menjadi media sosialisasi antara anak-anak remaja kampung tersebut. Lebih daripada itu, lagu-lagu ini menjadi pengikat rasa antara Ah Yi dengan anak Pak Saat yang berketurunan Jawa.

Novel Ah Fook (ITBM, 2015) karya Jong Chian Lai merupakan kisah kehidupan seorang lelaki China bernama Yong Ah Fook. Novel dimulakan dengan gambaran keperitan hidup Ah Fook dan leluhurnya sejak tiga generasi di Tanah Besar China, menyebabkan Ah Fook mengharungi lautan untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Ah Fook sampai di Kepulauan Borneo, bekerja sebagai kuli di sebuah rumah agam dan berkahwin dengan seorang wanita berketurunan Cina-Melanau. Dia meneruskan kehidupan dan mempunyai 12 orang anak. Setelah bertahun-tahun bekerja keras, Ah Fook tidak berjaya melepaskan diri daripada kemiskinan.

Novel ini menggambarkan watak Ah Fook yang sangat bangga dengan kedudukannya sebagai seorang Cina dan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan identiti kecinaan pada dirinya dan keluarganya. Dia melarang mereka bergaul dengan orang-orang di sekeliling, apatah lagi terpengaruh dengan budaya tempatan. Ah Fook berkata kepada keluarganya bahawa bangsa itu sangat penting, malah lebih penting daripada agama, “Kamu lahir kerana bangsa ….. kemudian baru agamanya,” (2015:503).

Namun begitu, Ah Fook dapat merasakan bahawa sikap dan pilihannya ini akan membuatnya kecewa. Novel ini seterusnya mengisahkan integrasi yang berlaku antara anak-anak Ah Fook dengan jiran-jiran dan masyarakat tempatan.

Pada pandangan Ah Fook, ada beberapa faktor yang menggalakkan integrasi dan mengecewakan hasratnya untuk mengekalkan semangat kecinaan pada diri anak-anaknya. Empat perkara yang digeruni oleh Ah Fook ialah (2015:542):

  1. Suara azan di radio,
  2. Tayangan orang Islam sembahyang di TV,
  3. Filem-filem P Ramlee, dan
  4. Asosiasi dalam permainan bola sepak.

Antara keempat-empat faktor di atas, pengarang novel ini, Jong Chian Lai, hanya memberikan tumpuan kepada faktor ketiga, iaitu pengaruh P. Ramlee. Pengarang menceritakan situasi pada tahun-tahun 1950-an dan awal 1960-an semasa anak-anak Ah Fook sedang membesar. Ketika itu, ada kereta masuk ke kampung untuk menghebahkan sesuatu pertunjukan yang dibawa masuk ke tempat itu, biasanya fun fair atau bangsawan yang akan berlangsung untuk beberapa hari. Kedatangan kereta-kereta hebahan ini membawa kemeriahan dan menggembirakan anak-anak kampung. Anak-anak akan berlari-lari keluar dengan gembiranya dari rumah masing-masing ke tepi jalan besar. Kereta yang masuk itu akan memainkan lagu P. Ramlee kerana lagu-lagunya menjadi daya penarik untuk memanggil lebih ramai penduduk, khasnya kanak-kanak untuk datang ke jalan raya serta meramaikan penonton di sesuatu pertunjukan fun fair dan bangsawan.

Juruhebah mengumumkan “Fun fair main dari malam ini sampai malam minggu. Bayar masuk dua ringgit. Lekas lekas, banyak permainan, banyak persembahan. Ada nyanyian ada persembahan pentas, lakonan babak P. Ramlee.” (2015:479).

Anak-anak Ah Fook, iaitu Ah Chang, Ah Cheng, Ah Fa, Ah Gui, Ah Fang, Ah Yi, Ah Jia, Ah Wei, Ah Xiang, Ah Rong, Ah Niu, dan Ah Liu, tidak terkecuali daripada pengaruh ini, walaupun cuba dihalang oleh bapa mereka.

Seterusnya, pengarang juga mengisahkan bagaimana filem-filem P. Ramlee mula menular ke dalam kehidupan Ah Fook dan keluarganya. Anaknya Ah Cheng membeli sebuah televisyen kecil yang memakai kuasa bateri (2015:535). Sejak ada televisyen, Ah Fook cuba pulang lebih awal untuk menonton siaran Berita Bahasa Mandarin. Kemudian, peti televisyen itu ditutup agar dapat menjimatkan tenaga bateri yang bila kehabisan, perlu dibawa ke kedai untuk dicas semula.

Pengarang menceritakan bagaimana isteri Ah Fook hanya boleh menonton seminggu sekali dan mereka memilih untuk menonton pada hari Jumaat kerana pada hari Jumaat, ada tayangan filem Melayu, khasnya filem P. Ramlee. Isteri dan anak-anak Ah Fook menunggu di depan televisyen untuk menonton filem-filem P. Ramlee. Mereka bersembang di hadapan televisyen kecil itu sambil ketawa tanpa mempedulikan jelingan tajam Ah Fook.

Pengarang novel ini menceritakan bibit-bibit awal minat anak-anak Ah Fook terhadap P. Ramlee. Jong Chian Lai menunjukkan anak-anak Ah Fook turut berlari-lari bersama anak-anak jiran, mengikuti kereta hebahan yang memainkan lagu P. Ramlee (2015:539). Digambarkan juga bagaimana anak-anak Ah Fook berebut-rebut menolak basikal apabila bapa mereka balik dari kedai, mengharapkan ada gula-gula. Bila gembira, mereka menyanyikan lagu P. Ramlee. Sebuah lagu yang disebut oleh pengarang ialah Bunga Melur.

Kedudukan dan peranan P. Ramlee dalam kehidupan masyarakat, khasnya keluarga Ah Fook diperihalkan dengan lebih terperinci dalam Bab 38. Bab ini ditumpukan kepada Ah Yi, anak ketujuh Ah Fook yang berbakat dan gemar menyanyi lagu-lagu P. Ramlee. Bab ini menggambarkan proses sosialisasi dan hubungan rasa antara para remaja di kampung itu. Ah Yi berkawan dengan jiran-jiran termasuk masyarakat Jawa, Melayu, Iban, dan anak Cina. Mereka sering memekak di tepi jalan menyanyikan lagu P. Ramlee dan Saloma (2015:594).

Hal ini memperlihatkan lagu-lagu P. Ramlee menjadi media sosialisasi antara anak-anak remaja kampung tersebut. Lebih daripada itu, lagu-lagu ini menjadi pengikat rasa antara Ah Yi dengan anak Pak Saat yang berketurunan Jawa. Ah Yi menggunakan lagu P. Ramlee dan Saloma untuk meluahkan perasaan terhadap gadis pujaannya. Pengarang menggambarkan Ah Yi sering menyanyikan lagu Kalau Jodoh Tak Ke Mana dengan suaranya yang merdu sambil memetik gitar murah yang dibeli dengan gaji pertamanya sebagai buruh (2015:594). Kemerduan suara Ah Yi menyebabkan adik-adiknya semakin meminati lagu-lagu P. Ramlee dan turut menghafal seni katanya.

Suara Ah Yi berkumandang di kebun getah, lalu “menyusup ke rumah Pak Saat dan meresap dalam sanubari kekasihnya yang terbaring sambil membayangkan wajah Ah Yi. Semuanya sepi seolah-olah mendengar alunan kemerduan suara itu” (2015:595).

Minat Ah Yi terus diceritakan: “tengah malam nanti barulah Ah Yi pulang selepas pertemuan dengan pacarnya. Siulan lagu P. Ramlee tidak lekang dari mulut itu sekalipun sudah merebahkan tubuhnya.” (2015:655).

Pada tahap ini, ada perkembangan yang menarik pada diri Ah Fook. Beliau yang selama ini melarang keras anak-anaknya menyukai lagu-lagu Melayu diperlihatkan mula memberikan perhatian kepada nyanyian Ah Yi. Ah Fook tidak dapat menafikan kemerduan suara anaknya itu, walaupun beliau sesekali bersungut “Itu cara orang Melayu memikat perempuan. Cara P. Ramlee. kalau nyanyi sahaja, mesti ada perempuan terpikat.” (2015:96).

Lagu-lagu P. Ramlee menjalinkan hubungan cinta antara Ah Yi dengan anak Pak Saat sehingga Ah Yi menjadi anak Ah Fook yang pertama memeluk agama Islam dan berkahwin dengan gadis berketurunan Melayu-Jawa itu.

Perkembangan ini tidak dapat dibendung oleh Ah Fook dan dia berkata, “Aku tak mampu halang mereka, terpulanglah pada anak-anak mencorakkan kehidupan masing-masing. Mereka dah besar tidak perlukan seorang bapa lagi.” (2015:655). Pengarang menulis, “Kali ini, Ah Fook seperti tidak dapat mempertahankan kelangsungan anaknya untuk membawa lagu P. Ramlee dalam kehidupannya.” (ibid.:601). Seperti itulah juga Ah Fook tidak dapat membendung proses integrasi nasional yang sedang berlaku.

Ah Fook ialah pemenang tempat pertama Sayembara Penulisan II ITBM-PENA-BH (2014) kategori novel. Novel ini boleh dibeli di sini.

_________________________

Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan dilahirkan di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah pada 13 Jun 1949. Beliau telah menghasilkan banyak kumpulan puisi perseorangan, termasuk Sesayup Jalan (Penerbit USM, 1974), Di Sini Tiada Perhentian (Pewarna, 1977), Keberangkatan (DBP, 1985), Kuala Lumpur and Other Places (Al-Huda, 1988), Pujangga Tidak Bernama (DBP, 1994), Pesanan dari Gunung Ledang/A Message from Mount Ledang (DBP, 2004), Salasilah (DBP, 2005), Menghadap ke Pelabuhan/Facing the Harbour (ITBM, 2010), Cerita dalam Cerita (ITBM, 2014), dan Menunggu Pesawat (DBP, 2021). Zurinah Hassan turut melahirkan beberapa cerpen yang sudah dibukukan dalam kumpulan cerpen Meneruskan Perjalanan (DBP, 1987) dan Menjelang Pemilihan (DBP, 2004). Di samping itu, beliau telah menghasilkan sebuah novel remaja, Hatimu Aisyah (DBP, 1991) dan beberapa buku kajian sastera. Selain menerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 2015, Zurinah telah menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) di Thailand pada tahun 2004 dan penyair Malaysia yang pertama menerima Anugerah Sunthorn Phu pada tahun 2013 sebagai pengiktirafan penyair cemerlang ASEAN.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!