Diterbitkan pada 4 Julai 2025, 12:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Karya pensyarah kanan Jabatan Pengajian Cina, Universiti Malaya (UM), Dr. Florence Kuek bertajuk An Ethical Literary Criticism of Han Suyin’s Autobiography: Braving Irrationality terbitan Routledge merupakan satu usaha ilmiah yang mengangkat semula nama tokoh penulis berdarah Eurasia tersebut yang selama ini dipandang sebelah mata dalam dunia sastera dan wacana akademik, khususnya di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Buku tersebut meneliti autobiografi enam jilid Han Suyin melalui pendekatan ethical literary criticism (ELC), suatu metodologi yang menekankan tafsiran sastera dari perspektif etika, bukan politik atau ideologi.

Ketika ditemui oleh Dewan Sastera dalam satu majlis pelancaran buku di Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM pada 2 Julai lalu, Dr. Florence berkongsi bahawa minatnya terhadap Han Suyin bermula pada tahun 2013, setahun selepas penulis itu meninggal dunia.

“Pada ketika itu, saya sedang mencari bahan bacaan yang mapan, lalu penyelia saya mencadangkan karya-karya Han Suyin,” ujar beliau.

Bermula dari situ, beliau mendaftarkan disertasinya tentang kajian karya Han Suyin di bawah dua bidang, iaitu kesusasteraan Cina dan politik China, menyebabkan beliau dinilai oleh dua penyelia daripada dua bidang berbeza.

Hal ini mencerminkan bahawa karya Han Suyin terlalu kompleks dan perlu pada pemahaman merentas disiplin akademik.

Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Cina Universiti Malaya, Dr. Florence Kuek menerangkan tentang kajiannya yang meliputi alam sastera Cina dan politik China.

Bagi Dr. Florence, kekuatan tulisan Han Suyin terletak pada cara penulis itu menulis autobiografi dalam bentuk yang hampir separuh fiksyen.

“Karya-karya Han Suyin bukanlah dapatan sejarah yang bersifat objektif, dan tidak seharusnya dinilai sebagai dokumen sejarah.

“Setiap karyanya menggambarkan peringkat kehidupannya, dan tema utama ialah perjalanan perkahwinan dan cinta yang ditulis dengan naratif dan gaya penceritaan yang berlapis-lapis,” jelasnya.

Karya pertama dalam siri autobiografi tersebut ialah The Crippled Tree yang ditulis ketika Suyin berusia 48 tahun, manakala jilid terakhir Wind in My Sleeve disiapkan pada usia 75 tahun.

Buku The Crippled Tree, menurut Dr. Florence, ialah karya terbaik Han Suyin kerana pendekatan eksperimentalnya dalam penukaran sudut pandang yang menggunakan perspektif bapa atau ibu beliau dalam naratif orang pertama.

Oleh sebab itu, dalam bukunya, Dr. Florence memperuntukkan satu bab khusus bagi membincangkan genre autobiografi dari segi fungsinya, keistimewaannya, dan bagaimana Han Suyin memanfaatkannya sebagai medium penulisan.

Autobiografi Han Suyin bukan hanya menyentuh aspek peribadi, tetapi turut mengungkapkan konteks geopolitik yang lebih luas seperti Perang Dingin, hubungan China-Barat, dan kebangkitan sastera Asia.

Namun begitu, setelah diteliti dengan lebih mendalam, keenam-enam jilid autobiografinya juga menyelami dilema seorang anak berdarah kacukan Eurasia yang hidup di antara dua dunia dan tidak berasa benar-benar diterima oleh mana-mana budaya kedua-dua orang tuanya.

Han Suyin menulis dengan gaya auto-etnografi, yang meletakkan dirinya sebagai watak utama, dan sering kali memberi gambaran separa benar terhadap kejadian dalam hidupnya.

Menurut Dr. Florence, tiga buku pertama Suyin mempunyai nilai sastera yang tinggi, manakala dua jilid seterusnya lebih bersifat jurnal, menggambarkan kesibukan hidupnya ketika itu.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran sejarawan ekonomi dan pengulas dasar kerajaan, Dr. Lim Teck Ghee, yang memberikan pandangan mendalam tentang peranan Han Suyin dalam membina naratif alternatif terhadap sejarah dunia dan tempatan serta impak dasar kolonialisme.

“Buku (An Ethical Literary Criticism of Han Suyin’s Autobiography) bukan sahaja untuk bacaan sarjana bidang sastera Cina moden atau pengkaji naratif silang budaya.

“Buku tulisan Dr. Florence ini adalah untuk sesiapa yang ingin memahami kebangkitan China moden melalui lensa seorang penulis hebat dan mapan,” ujar Dr. Lim.

Dr. Lim Teck Ghee menjelaskan peranan Han Suyin dalam membina naratif alternatif terhadap sejarah dan dasar kolonialisme di Tanah Melayu satu ketika dahulu.

Beliau turut menyifatkan bahawa Han Suyin sebagai pengarang yang wajar disenaraikan sebaris dengan tokoh seperti George Orwell dan Leo Tolstoy dalam kalangan calon penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, namun diketepikan atas sebab ideologi dan politik.

“Bagi penulis kacukan Eurasia seperti Han Suyin yang ideologi dan politiknya mencabar kolonialisme Barat di Timur, beliau juga disisihkan oleh sebab rasisme.

“Beliau bukan sahaja menulis dengan pemikiran tajam dan kritis, tetapi kehidupannya sendiri mencabar sempadan kaum, jantina, budaya, dan fahaman politik.

“Penulisan beliau mempamerkan citra eksistensialisme dan kesedaran nurani yang tinggi,” katanya.

Lim memuji keberanian Florence dalam menggabungkan naratif peribadi Han Suyin dengan perubahan drastik dalam masyarakat Cina di China serta Asia Tenggara, selain menampilkan pengaruh kuasa Barat yang menjadikan kajiannya sangat relevan untuk bacaan generasi muda hari ini.

Salah satu aspek penting dalam buku ini ialah penekanan terhadap tempoh 12 tahun Han Suyin berada di Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) dan Singapura, iaitu ketika Darurat Tanah Melayu, suatu fasa yang dianggap “sudah hilang” dalam banyak kajian terdahulu, tetapi sebenarnya merupakan titik perubahan besar dalam hidup dan pemikiran peribadinya.

Ketika di Tanah Melayu, Han Suyin bukan sahaja berkhidmat sebagai doktor perubatan tetapi juga mengkritik secara terbuka kolonialisme British melalui karya-karyanya, khususnya dalam konteks Darurat Tanah Melayu.

Dalam tempoh ini, beliau menulis empat buah buku yang kini dianggap sebagai antara karya pascakolonial paling penting di rantau ini.

Beliau turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Universiti Nanyang, dengan mereka bentuk kursus Kesusasteraan Asia yang mencabar kurikulum sastera berorientasikan Eropah.

Nota kuliah dan temu bual pelajarnya membuktikan betapa pentingnya peranan Suyin dalam usaha memupuk pemikiran pascakolonial.

Profesor Dr. Yang Gexin dari Universiti Zhejiang, China, yang turut hadir secara maya menyatakan bahawa Han Suyin melalui identiti Eurasianya dan penggunaan bahasa Inggeris dalam karyanya telah menjadikannya salah seorang sumber pertama yang mempunyai kerangka pemikiran antarabangsa yang berpusatkan masyarakat dan budaya Cina serta negara China.

“Dr. Kuek berjaya membuktikan bahawa pendekatan ELC bukan sahaja merentas sempadan bahasa dan budaya, tetapi juga menerangi ketegangan transkultural yang selama ini mengelirukan para pengkritik (sastera mahupun politik) Barat, misalnya antara kosmopolitanisme dengan patriotisme China. Han Suyin menjadi semacam ‘broker moral’ antara kem-kem Perang Dingin,” jelas beliau.

Majlis pelancaran turut dihadiri oleh Dekan Fakulti Seni dan Sains Sosial Universiti Malaya, YBrs. Datuk Profesor Dr. Danny Wong Tze Ken.

Sebagai rekod, Han Suyin mula dikenali ramai apabila novel beliau, A Many-Splendored Thing diadaptasi oleh Hollywood menjadi filem Love is a Many-Splendored Thing dan memenangi pelbagai anugerah pada tahun 1956.

Namun selepas itu, kajian terhadap beliau seolah-olah terhenti sebelum kini kembali mendapat perhatian, terutamanya di Malaysia dan Singapura.

Dr. Florence Kuek menunjukkan beberapa perbandingan karya Han Suyin sewaktu sesi soal jawab.

Oleh itu, buku An Ethical Literary Criticism of Han Suyin’s Autobiography: Braving Irrationality bukan sekadar sumbangan dalam bidang kesusasteraan, tetapi menawarkan satu jendela penting bagi memahami sejarah masa lalu, menilai semula peranan sastera dalam pembinaan bangsa, serta mendorong generasi baharu untuk menyoal dan mencabar status quo melalui pena.

Sebagai seorang penulis yang menggabungkan data ekonomi, pengalaman hidup dan kedalaman falsafah, Han Suyin bukan sahaja menghidupkan sejarah, tetapi juga menjadikan sastera sebagai alat perlawanan yang berkesan dalam menghadapi dominasi naratif Barat.

Buku ini membuktikan bahawa nama Han Suyin belum berakhir di halaman sejarah. Kini, karya Han Suyin diberi nyawa baharu melalui lensa sastera etika.

Buku ini boleh didapati di laman web Routledge untuk pembelian.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi