Diterbitkan pada 23 Ogos 2025, 17:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ketiadaan dana khusus menjadi kekangan utama yang mengekang kegiatan penterjemahan karya sastera di Malaysia meskipun bidang itu mempunyai potensi yang besar untuk diperkembangkan.

Florence Kuek menyatakan hal itu ketika menjadi ahli panel bagi slot ketiga dalam sesi “Dari Kamar Penterjemah: Tanah Tak Tercambah” bersempena dengan Festival Mini Sastera OPERA anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Organisasi Alumni Program Penulisan Mastera (OPERA) Malaysia.

Florence Kuek

Beliau menganggarkan sebanyak RM80,000.00 setahun diperlukan bagi melaksanakan program penterjemahan secara terancang, selain berharap pihak swasta dapat membantu membiayai projek terjemahan bahasa Tamil ke Mandarin yang dirancang bermula pada tahun hadapan.

Florence yang juga merupakan seorang pengkaji menubuhkan pasukan penterjemah sendiri dan telah memilih karya yang dekat dengan jiwanya untuk diterjemahkan kerana kerja terjemahan bukan sahaja berkait dengan bahasa, tetapi melibatkan budaya, kepercayaan dan pemikiran penulis.

Seorang lagi ahli panel, Pauline Fan berpandangan bahawa sejumlah dua juta setahun wajar diperuntukkan untuk menyokong industri terjemahan, selain menekankan keperluan kepada ejen sastera, jaringan antarabangsa dan penganjuran pesta buku.

Pauline Fan

Beliau berkata, kegiatan di negara ini wajar meneladani Korea Selatan yang menyediakan geran khas untuk penterjemah asing, melaksanakan latihan terjemahan dan berjaya menghasilkan lebih daripada 1000 karya terjemahan dalam tempoh 17 tahun.

Ujarnya, ketiadaan dana menyebabkan hanya usaha individu yang mampu menggerakkan kerja terjemahan seperti yang dilakukan oleh Pendeta Za’ba apabila menterjemahkan novel The Prince and the Pauper karya Mark Twain kepada Anak Raja dengan Anak Papa pada tahun 1958.

Pauline yang kini menterjemahkan novel Hari-hari Terakhir di Jesselton karya Ruhaini Matdarin menegaskan bahawa strategi jangka masa panjang selama 10 tahun hingga 20 tahun perlu diwujudkan agar terjemahan dapat dikomersialkan dan diperluas ke peringkat global.

Dalam isu teknologi, Florence menolak penggunaan kecerdasan buatan (AI) kerana dianggap dangkal dan tidak menusuk jiwa, manakala Pauline berpendapat teknologi AI hanya sesuai untuk terjemahan teknikal, bukan karya sastera yang memerlukan ketelitian bahasa dan kehalusan makna.

Sementara itu, Presiden OPERA, Muhammad Lutfi Ishak berpendapat bahawa kegiatan terjemahan di negara ini masih hebat walaupun tanpa dana khusus, namun industri sebenar belum wujud kerana kekurangan sokongan kewangan yang mampan.

Muhammad Lutfi Ishak

Festival Mini Sastera OPERA yang bertemakan “Ingatan kepada Rumah Kita” julung-julung kalinya diadakan dan turut menampilkan slot bual bicara lain serta sesi Bacaan dan Perbualan Khas bersama-sama Pengarang (Ingatan kepada Zaen Kasturi).

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi