Diterbitkan pada 29 Julai 2025, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pendapat bahawa pembaca di Malaysia kurang gemar membaca karya terjemahan dan lebih selesa menikmati karya dalam bahasa Inggeris atau bahasa asal kini dianggap tidak lagi relevan.

Sebaliknya, pembaca di Malaysia didapati juga menyukai karya asing dalam bahasa Melayu.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Puan Ainunl Muaiyanah Sulaiman berkata, hal ini seharusnya dipercayai malah disokong oleh data-data yang jelas.

“Pendapat yang kata orang Malaysia hanya baca karya dalam bahasa Inggeris atau bahasa asalnya sudah tertinggal 10 tahun.

“Hal ini disokong dengan ekosistem dan data penjualan secara dalam talian. Mereka didapati selesa membaca dalam bahasa kita sendiri, bahasa Melayu,” katanya dalam acara Suara dari Anjung Dewan Sastera, “Globalisasi Sastera Malaysia: Mimpi atau Realiti?” yang dibawakan oleh majalah Dewan Sastera, semalam.

Ainunl Muaiyanah Sulaiman melontarkan beberapa pandangan tentang usaha pragmatik untuk mengantabangsakan sastera Melayu.

Dimudahcarakan oleh Penolong Pengarah Pusat Kajian Politik dan Diplomasi, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri, Encik Ahmad Muziru Idham Adnan, acara itu turut menampilkan Pengarah Kreatif PUSAKA, penterjemah dan penulis, Puan Pauline Fan serta Penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia, Dr. Hani Salwah Yaakub.

Tambah Ainunl Muaiyanah, justeru penting bagi penerbit tempatan untuk membeli hak cipta dari luar negara dan membuat penterjemahan ke dalam bahasa Melayu.

Katanya, selain memenuhi permintaan semasa, hal itu juga membuka peluang pemasaran dua hala antara penerbit dua negara.

“Apabila kita banyak berurusan dengan mereka, hal ini akan membuka lebih banyak peluang.

“Perkara ini bukan peluang bertukar-tukar hak cipta ya, macam yang selalu institusi lakukan, tetapi sebuah perdagangan hak cipta,” katanya.

Dalam konteks yang sama katanya, penerbit Malaysia juga perlu berdagang dengan negara-negara ASEAN, malah adalah antara hal penting dalam memperkukuh prestij dan jaringan pemasaran.

Hal ini sebenarnya membina kepercayaan dan memberi nilai tambah kepada penerbit luar, kerana karya itu sudah diterjemahkan oleh negara-negara jirannya.

Malah, tegas Ainunl Muaiyanah, hal ini juga boleh membuka ruang penerbit negara-negara ASEAN menampilkan diri di pentas antarabangsa sebagai satu wilayah sama, sekali gus membuka peluang dagang yang lebih luas.

Mengambil contoh Filipina yang akan menjadi negara tamu dalam Pesta Buku Frankfurt 2025, selain tampil sebagai sebuah negara, Filipina juga katanya boleh ditampilkan sebagai anggota ASEAN.

Pauline Fan menyampaikan isi pemikirannya tentang usaha memperkasakan terjemahan negara sambil didengar oleh Ahmad Muziru Idham.

Namun begitu, dalam masa sama, usaha mengangkat sastera kebangsaan ke persada global juga perlu diperkemas dengan kewujudan dana terjemahan persendirian selain dana institusi.

Hal ini ditegaskan oleh seorang lagi panel, Pauline Fan yang menyebut, dana itu boleh saja diuruskan oleh institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) tetapi harus berasingan daripada kegiatan institusi itu sendiri.

Dana ini katanya akan membantu memperluas dan memberi insentif kepada penterjemah bebas atau penterjemah muda.

“Usaha ini sebenarnya tidak pun memerlukan dana yang berjumlah berjuta-juta, RM100,000 juga mencukupi.

“Jika dilihat di luar negara, usaha sebegini sudah pun dibuat dengan menyediakan geran-geran.

“Tapi penterjemah bebas kita tidak dapat menembusinya kerana geran itu terhad kepada warga AS atau UK saja, jadi bagaimana dengan karya kita?” soalnya.

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi