Diterbitkan pada 4 Ogos 2025, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Usaha menterjemah karya sastera tempatan perlu diperluas kepada bahasa-bahasa ibunda, seperti Tamil dan Cina, bukan sekadar antara bahasa Melayu dengan bahasa asing.

Pauline Fan dalam acara Suara dari Anjung Dewan SasteraGlobalisasi Sastera Malaysia: Mimpi atau Realiti?” yang dibawakan oleh majalah Dewan Sastera, baru-baru ini berkata, agensi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu memperluas tumpuan terhadap penterjemahan rentas bahasa tempatan bagi memupuk kefahaman silang budaya dan memartabatkan kepelbagaian linguistik negara.

“Penterjemahan daripada dan kepada bahasa Melayu memang penting untuk menyebarkan ilmu serta memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan. Namun, dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia, usaha ini tidak wajar terhad kepada bahasa asing sahaja,” katanya dalam acara yang dimudahcarakan oleh Penolong Pengarah, Pusat Kajian Politik dan Diplomasi, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri, Ahmad Muziru Idham Adnan.

Acara itu turut menampilkan Pengurus Jualan dan Pemasaran Insentif Buku Darul Ehsan (IBDE), Ainunl Muaiyanah Sulaiman serta Penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia, Dr. Hani Salwah Yaakub.

Pauline berkata, penterjemahan antara bahasa tempatan mampu membuka ruang wacana yang lebih luas, selain memberi peluang kepada komuniti pelbagai kaum untuk saling mengenali karya dan pandangan alam masing-masing.

Beliau turut menyatakan bahawa melalui pengalamannya sebagai penterjemah dan kurator, penterjemahan antara bahasa tempatan telah membuktikan keberkesanannya dalam memperkaya wacana sastera dan budaya.

Katanya, walaupun beliau secara peribadi tidak menguasai bahasa Cina, namun beliau maklum penulis-penulis dalam komuniti sastera Mahua amat aktif berkarya, dan hasil tulisan mereka bukan sahaja telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa, malah turut meraih pengiktirafan pada peringkat antarabangsa, seperti di China dan Taiwan.

Hal ini katanya amat unik dan sastera Mahua dilihat sebagai aliran sastera bahasa Cina yang unik dari Malaysia.

Pada tahun 2017, DBP pernah menerbitkan terjemahan novel kanak-kanak Mahua tulisan Ai Wei, Kampung Halaman Datuk.

Oleh itu katanya, usaha menterjemah karya-karya begitu ke dalam bahasa Melayu juga boleh diusahakan dan termasuk memberi perhatian kepada suara dari Sabah dan Sarawak yang turut menyumbang naratif penting dalam landskap sastera negara.

Katanya, penterjemahan merentas bahasa tempatan bukan sahaja memelihara warisan pelbagai komuniti, malah menyatukan rakyat melalui apresiasi bersama terhadap karya sastera tempatan.

Kredit Foto: Zaidah Zakaria
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi