Diterbitkan pada 17 April 2025, 14:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia dan China akan bekerjasama dalam penterjemahan dan penerbitan 50 hingga 100 karya sastera klasik kedua-dua negara.

Projek itu yang dijangka selesai dalam tempoh lima tahun dijayakan menerusi Asian Classics Translation Programme.

Menurut kenyataan media Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada kunjungan hormat dan perbincangan awal antara ITBM dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan beberapa penerbit dari China pada Jun tahun lalu. Hal itu disusuli dengan pertemuan lanjutan yang berlangsung pada hujung Februari lalu.

Menurut ITBM, inisiatif itu dijangka akan memberi impak besar dalam memperkenalkan karya-karya terkemuka dari kedua-dua negara kepada khalayak antarabangsa, selain menjadi penguat hubungan bilateral melalui beberapa projek intelektual yang berterusan.

Projek berimpak tinggi ini akan melibatkan pelbagai karya penting negara, termasuk karya Sasterawan Negara, penerima SEA Write Award, karya Malaysiana, dan sastera klasik tempatan.

Sementara itu, senarai judul dari China akan dimuktamadkan melalui perbincangan lanjut antara kedua-dua pihak.

Kerjasama ini turut mendapat perhatian tertinggi apabila petang semalam, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama-sama Presiden China, Xi Jinping, menyaksikan pemeteraian kerjasama intelektual antara Malaysia dengan China dalam satu majlis rasmi sempena sambutan 50 tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Majlis itu menyaksikan pertukaran dokumen memorandum antara Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, dan Presiden serta Ketua Pengarang China Media Group (CMG), Shen Haixiong, yang diselaraskan oleh Bahagian Perancangan Strategik dan Hubungan Antarabangsa (BPSHA).

Dalam kenyataan sama, ITBM memaklumkan bahawa mereka kini giat membangunkan beberapa inisiatif bersama-sama UTM dan pihak China, termasuk pembangunan sistem terjemahan berteknologi kecerdasan buatan (AI) yang dikenali sebagai MyTRANSLATE.

Usaha ini, menurut ITBM, adalah selari dengan misi jangka panjang untuk mengantarabangsakan kesusasteraan tempatan melalui penterjemahan, pemindahan ilmu, penerbitan dan pembangunan modal insan.

Kerjasama intelektual ini dilihat sebagai pemangkin pada hubungan strategik antara Malaysia dengan China dalam bidang kesusasteraan dan ilmu, dan dijangka memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara dalam jangka masa panjang.

Kredit Foto: Fadhlina Sidek/Facebook
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi