Diterbitkan pada 18 Ogos 2025, 13:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Guangzhou – Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) memeterai Comprehensive Agreement of Interest dengan South China Publishing Group sempena Pesta Buku Antarabangsa China Selatan 2025 pada 16 Ogos lalu.

Perjanjian bersejarah itu ditandatangani oleh Pengarah PPAS, YBhg. Datin Paduka Mastura Muhammad dan Pengarah Jabatan Antarabangsa South China Publishing Group, YBrs. Encik Chen Bin.

Perjanjian tersebut merangkumi empat bidang utama, iaitu program penerbitan dua hala, inisiatif penterjemahan, kerangka penerbitan bersama untuk judul khas, serta pembangunan platform perkongsian ilmu.

Menurut Mastura, kerjasama ini bertujuan membina jambatan kekal antara komuniti kreatif Malaysia dengan China di samping memperkukuh ekonomi kreatif negara.

“Ini bukan sekadar soal hak terjemahan atau saluran pengedaran, tetapi lebih kepada membentuk paradigma baharu dalam pertukaran budaya,” katanya.

Selaras dengan komitmen itu, PPAS turut memperkenalkan pelbagai judul karya penulis dan ilustrator tempatan, khususnya daripada penerbit bebas, sebagai usaha menyokong penggiat kandungan kreatif kecil dan baharu.

Kerjasama ini bakal diperluas apabila South China Publishing Group turut menyertai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) pada tahun ini.

Pesta Buku Antarabangsa China Selatan merupakan salah satu acara penerbitan terbesar di Asia, dan pelibatan PPAS kali ini mengangkat peranan Selangor sebagai hab pertukaran kesusasteraan dan kreativiti yang semakin berkembang di rantau ini.

Untuk makluman, Kerajaan Negeri Selangor melalui PPAS selaku sekretariat juga akan menganjurkan Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2025 pada 28 November 2025 hingga 7 Disember 2025 di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia Alam.

Kredit Foto: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi