Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangEsei ini telah diubah suai daripada “Sebuah Catatan Buatan China” yang disampaikan oleh Azrin Fauzi sewaktu menyertai forum Southern Literary Creation and Exchanges and Mutual Learning Between Chinese and Western Literature pada 26 November 2024. Forum ini merupakan sebahagian daripada acara International Writers Dialogue di Liangzhu Forum yang berlangsung dari 25 hingga 27 November 2024 di Archaeological Ruins of Liangzhu City, Hangzhou, China. Dalam suatu sesi makan malam, seorang pengarang wanita dari Argentina sempat bertanyakan Azrin tentang apa yang akan dicakapkan dalam forum nanti. Balas penulis, “Hanya catatan.”
Segalanya bermula dengan tindakan mendengar …
“Dengar baik-baik,” tegas Ana María Shua, “Catatan ini sepenuhya akan dibuat di China.” Saya mendengar dan menerima arahannya itu menerusi fon telinga. Ana María Shua tidak berada di hadapan saya tatkala menuturkan kata-kata ini. Barangkali—siapa tahu?—dia sudah tidak lagi berada di sini. Saya hanya perlu mendengar dengan baik. Kalaupun masih menyimpan beberapa pertanyaan di benak, seperti Kenapa di China? dan Bukan di Malaysia? Mungkin terdengar suara saya, pengarang mikrofiksyen dari Argentina itu sekali lagi menegaskan sesungguh-sungguhnya, “Bukan di Malaysia. Bukan di Argentina. Bukan di mana-mana. Hanya di China.”
Menjadi buatan China sepertimana pen yang sedang mencoret-coret catatan ini. Sepertimana buku nota yang sedang menyimpan catatan ini. Sepertimana memori yang sedang dibina sepanjang saya berada di sini. Sepertimana nama saya sendiri—阿兹林•福齐—yang dipakai sepanjang saya berada di sini. Dengar baik-baik: 阿 (berbunyi “ā”), 兹 (“zī”), 林 (“lín”), 福 (“fú”), dan 齐 (“qí”). Nama yang telah diberikan oleh Dr. Florence Kuek kepada saya sewaktu di Malaysia. Nama yang terlebih dahulu tiba di China sebelum empunya.
Gaosu Dongche sedang menjauh dari kota Hangzhou.

Liangzhu Forum Kedua telah pun berlalu. Acara yang menghimpunkan lebih tiga ratus budayawan, sarjana, pengarang, ahli arkeologi, dan pemuzik dari lebih enam puluh negara ini telah dilangsungkan dari 25 hingga 27 November 2024 di Archaeological Ruins of Liangzhu City, Hangzhou; di atas bekas tapak tamadun Liangzhu yang mula dibina sejak tahun 3000 Sebelum Masihi lagi—sebelum diteroka buat pertama kalinya oleh seorang arkeologis bernama Shi Xingeng pada tahun 1936—dan sedang menggemakan 5000 tahun Tamadun China. Gema yang kami dengar berkali-kali sepanjang acara ini. Gema yang kami dengar bersama. Dalam simpang-siur berbagai-bagai bahasa, tema yang bersipongang: “Exchanges and Mutual Learning for a New Model for Human Advancement”.
Bersama-sama Dr. Fan Pik Wah (dari Universiti Malaya; juga selaku Presiden Persatuan Penulis-penulis Aliran China Malaysia), Dr. Chai Siaw Ling (juga dari Universiti Malaya), Dai Xiaohua (selaku Presiden Ketiga bagi Overseas Chinese Women Writer’s Association), dan M. Navin (pengasas Vallinam), kami berlima telah terpilih mewakili Malaysia dalam acara ini. Kerana tidak pandai bertutur apatah lagi memahami Mandarin, saya dan M. Navin tidak berenggang dengan alat terjemahan serentak (simultaneous interpretation) yang diguna pakai sepanjang acara.
Saya hanya mendengar (hearing) dan mendengar (listening). Di atas pentas, Ana María Shua sedang bercakap dalam bahasa Sepanyol. Jelasnya, “Berkuasanya susastera kerana mampu melangkaui batas ruang, bahasa dan budaya. Dunia China sudah sampai kepada para pembaca Argentina menerusi susastera dan pertukaran budaya telah menjadikan China sebagai negara yang tidaklah jauh mana.” Sesekali nama Jorge Luis Borges dan Franz Kafka terpacul dari mulutnya. Apa-apa yang sedang dicakap olehnya ketika itu dikutip oleh mikrofon lantas dihantar kepada para penterjemah yang berada di dalam bilik kedap bunyi di belakang dewan. Setiap penterjemah akan mendengar dan mendengar seraya menterjemah secara langsung dengan bercakap di hadapan mikrofon dalam bahasa masing-masing, bahasa-bahasa yang disiarkan kepada alat terjemahan serentak yang disambung pada fon telinga. Saya menekan-nekan butang siaran: daripada siaran 2-Inggeris, 3-Perancis, 4-Arab, 5-Sepanyol, 6-Korea, 0-bahasa sumber, 1-Mandarin, sehinggalah kembali ke siaran 2-Inggeris. Dan nama Franz Kafka serta Jorge Luis Borges masih diulang sebut.

“Azrin, kamu tulis apa?” tanya Ana María Shua. Jawab saya, “Saya pun tulis cerita pendek,” sebelum pengarang yang digelar “Ratu Mikrocerita” dalam kesusasteraan Sepanyol itu mengusik, “Oh! Tapi tak sependek cerita pendek saya, kan?” Saya hanya menyimpul senyum. Sebelum membaca mikrofiksyen Ana María Shua, sebelum membaca cerpen dua perenggan “Seni Tak Tertandingi Karya Ma Liang” tulisannya, sebelum membaca cerpen-cerpen Borges dan Kafka, saya mendengar cerita-cerita pendek yang diceritakan oleh ibu sebelum tidur sewaktu saya masih kecil dahulu.
……….Saya suka menulis.
……….Saya suka bercerita.
……….Kerana saya suka mendengar.
……….Segalanya bermula dengan tindakan mendengar.
Hanya setelah saya meremaja dan mendewasa, saya menyedari bahawa cerita-cerita sebelum tidur yang pernah diceritakan oleh ibu ini bukanlah foklor Melayu semata-mata, malahan ada juga fabel oleh penglipur lara Yunani bernama Aesop dan ada pula kōan, iaitu cerita-cerita yang digunakan dalam ajaran Zen. Apa-apa yang lama sentiasa terasa baharu. Apa-apa yang lama terus-menerus menjadi baharu. Bukan sebaliknya. “Semua seni ialah kontemporari,” kata Borges dalam sebuah wawancara bersama Commonweal Magazine pada 25 Oktober 1968, “Jikalau saya sedang membaca tulisan seseorang, pengarang itu ialah kontemporari—maksud saya, dia milik masa kini.”1
Gaosu Dongche deras membelah angin hujung musim luruh.

Liangzhu Forum Kedua ini telah menembungkan arkeologi, muzik dan susastera. Acara kelolaan Ministry of Culture and Tourism of the People’s Republic of China dan The People’s Government of Zhejiang Province dengan sokongan pihak Zhejiang University, Zhejiang Writer’s Association, Zhejiang Conservatory of Music serta Zhejiang Institute of Cultural Relics and Archaeology ini segerak dengan Global Civilization Initiative (GCI) yang dianjurkan oleh Xi Jinping pada tahun 2023 dalam “mencari kemajuan untuk kemanusiaan dan keserasian untuk seluruh dunia.” Saya tidak sempat mengikuti forum yang disertai oleh Dr. Fan Pik Wah kerana berlaku serentak di tempat lain. Manakala Dr. Chai Siaw Ling pula terlibat dalam sebuah forum yang berjudul “Science Fiction and Exchanges and Mutual Learning between Eastern and Western Civilizations”. Bersama dengan Dai Xiaohua dan M. Navin, kami bertiga terlibat dalam sebuah forum “Southern Literary Creation and Exchanges and Mutual Learning Between Chinese and Western Literarure”. Dai Xiaohua berkongsi tentang kesusasteraan Mahua dan letak duduknya dalam diaspora Cina manakala M. Navin pula berkongsi tentang kepengarangannya dalam mengangkat naratif komuniti India di Malaysia dalam kesemua novel dan cerpennya, kadangkala bersinggungan dengan watak-watak kaum Cina. Saya berkongsi tentang tindak balas sebagai pengarang Melayu kontemporari yang terdedah kepada pengalaman kecinaan menerusi cerpen-cerpen oleh pengarang Barat yang dibaca.

Saya berfikir dan bermimpi dalam bahasa Melayu. Dan mengarang menjadi salah satu cara untuk saya berkongsi buah fikir dan mimpi-mimpi saya dalam bentuk yang mudah difahami (readable form). Tetapi dalam forum ini, saya harus bercakap dalam bahasa Inggeris. Dan ketika giliran saya tiba untuk bercakap, saya menukar kepada siaran 1 lalu mendengar (hearing) apa yang difikirkan (dalam bahasa Melayu) dan apa yang dicakapkan (dalam bahasa Inggeris) itu sedang diterjemahkan secara langsung kepada suara berbahasa Mandarin ke dalam telinga. Dalam bahasa yang asing ini, saya hanya mendengar (hearing) tanpa mendengar (listening). Sememangnya saya gemar berimaginasi. Dan susastera—dengan bahasa—sentiasa menawarkan imaginasi, membebaskan kita untuk berimaginasi.
Saya membaca seraya mendengar dan mendengar cerpen “El jardín de senderos que se bifurcan” tulisan Borges dalam bahasa Inggeris. Terbit pada tahun 1941, cerpen ini merupakan tulisan pertama Borges yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, oleh Anthony Boucher pada tahun 1948. Kata-kata Borges tentang kontemporari—selain mengingatkan saya pada pasu berusia 2000 tahun yang langsung menjadi kontemporari dalam fotografi hitam putih Dropping a. Han Dynasty Urn (1995) bikinan Ai Weiwei—juga mengingatkan saya kepada protagonis dalam cerpen ini, bilamana Dr. Yu Tsun mengatakan: “Lalu aku merenung bahawa semua hal yang terjadi, terjadi ke atas seseorang, tepatnya sekarang. Abad demi abad, dan segala apa hanya terjadi di masa sekarang.”2

Dr. Yu Tsun ialah penyiasat kepada negara Jerman sewaktu Perang Dunia Pertama. Setelah mendapat maklumat tentang keberadaan artileri British di sesuatu tempat, dia cuba melarikan diri daripada intipan seorang pegawai perisik British bernama Richard Madden. Lalu menemukannya dengan Stephen Albert, iaitu seorang ahli kaji Cina (atau Sinologis) di perkampungan Ashgrove. Kebetulan—benarkah?—Stephen Albert sedang mengkaji novel yang tidak sempat disiapkan oleh seorang pengarang bernama Ts’ui Pên yang secara kebetulan juga—benarkah?—merupakan salah seorang nenek moyang kepada Dr. Yu Tsun sendiri. Novel terbengkalai ini dikatakan ingin ditulis dengan watak-watak yang lebih ramai daripada novel Hung Lou Mêng (atau Dream of the Red Chamber) dan menjadi labirin di mana semua manusia akan sesat di dalamnya. Novel ini tidak sempat diselesaikan kerana Ts’ui Pên mati dibunuh. Stephen Albert menunjukkan kertas merah yang telah ditulis oleh Ts’ui Pên dengan berus: “Aku tinggalkan buat berbagai-bagai masa depan, tetapi bukan buat semuanya, tamanku dengan laluan bercabang-cabang.”3
……….Segala seni ialah kontemporari.
……….Dan segalanya bermula dengan tindakan mendengar.
……….Tindakan mendengar ialah perlakuan masa kini.
……….Tindakan mendengar ialah kontemporari.
Saya berfikir dan bermimpi dalam bahasa Melayu. Dan mengarang menjadi salah satu cara untuk saya berkongsi buah fikir dan mimpi-mimpi saya dalam bentuk yang mudah difahami. Tetapi dalam forum ini, saya harus bercakap dalam bahasa Inggeris.
Hanya setelah saya membaca “The Garden of Forking Paths” berulang-ulang kali, saya menyedari bahawa cerpen ini bukan sekadar sebuah cerita detektif, tetapi juga tentang berbilang semesta. Barangkali dalam semesta yang lain, seorang Azrin Fauzi tidak pernah pun membaca cerpen ini. Barangkali dalam dunia yang lain, seorang 阿兹林•福齐 tidak terpilih untuk datang ke China. Kata Stephen Albert kepada Dr. Yu Tsun: “Contohnya, awak datang ke rumah ini; tapi dalam kemungkinan yang lain, awak ialah musuh saya; dalam kemungkinan yang lain pula, kawan saya.”4 Hanya setelah membaca cerpen ini, kita mendapat tahu bahawa Dr. Yu Tsun harus membunuh sesiapa sahaja yang bernama Albert untuk menghantar “mesej” (pembunuhan ini tersiar di akhbar) kepada tentera Jerman tentang keberadaan artileri British di kota Albert yang terletak di utara Perancis.
Gaosu Dongche baru sahaja meninggalkan Jiaxingnan dan akan singgah di Jiashan di utara Wilayah Zhejiang pula sebentar sahaja lagi.

“Dengar baik-baik,” beritahu Ana María Shua, “Jumpa saya di Shanghai.” Saya mendengar dan menerima arahannya itu menerusi fon telinga. Ana María Shua tidak berada di dalam dewan ini. Meninjau-ninjau dari atas pentas, tidak juga kelihatan di dalam bilik kedap bunyi di belakang sana. Saya menekan-nekan butang siaran: kembali ke siaran 0-bahasa sumber. Saya membaca seraya mendengar dan mendengar cerpen “Beim Bau der Chinesischen Mauer” tulisan Kafka dalam bahasa Inggeris. Terbit pada tahun 1930, judul yang diterjemahkan oleh Willa dan Edwin Muir ke dalam bahasa Inggeris pada tahun 1933 sebagai “The Great Wall of China” tidaklah begitu tepat. Kerana secara harfiahnya bermaksud “Sewaktu Pembinaan Tembok Besar China”. Keseluruhan cerpen ini bukanlah tentang tembok maha panjang itu tetapi tentang pembinaannya. Teks cerpen ini sendiri bergerak dengan waktu, menjadi suatu kerja dalam proses (work-in-progress) yang kabur masa depannya.
Diceritakan oleh narator dari wilayah selatan China, cerpen ini turut dibina dengan sebuah parabel berjudul “Eine kaiserliche Botschaft” (“A Message from the Emperor”) yang pernah terbit secara berasingan sebelumnya pada tahun 1919. Tentang Maharaja yang sedang tenat yang ingin mengutus suatu mesej kepada “engkau semata-mata, subjeknya yang menyedihkan, bayangan kecil yang berlindung pada jarak paling jauh dari mentari empayar”5 dengan menghantar seorang utusan yang sudah semestinya akan gagal dek halangan tak berpenghujung yang ditempuhinya:
Dia masih memaksa untuk melalui kamar-kamar peribadi di bahagian terdalam istana. Tidak akan dia pernah berjaya melewatinya. Dan jikalau dia berjaya pun, tiada apa yang akan dicapai. Dia harus bergelut menuruni anak tangga, dan, jikalau dia berjaya melakukannya, tiada apa yang akan dicapai. Dia perlu menapak melalui halaman-halaman istana, dan selepas halaman-halaman istana, dia harus melewati istana kedua yang mengelilingi istana pertama, dan, kemudian lagi, melalui tangga dan halaman, dan kemudian, sekali lagi, sebuah istana, dan seterusnya selama ribuan tahun. Dan jikalau dia akhirnya menerobos pintu paling luar pun—tetapi itu tidak mungkin, tidak akan pernah terjadi—ibu kota diraja, pusat dunia, masih berada di hadapannya, bertimbun tinggi dan penuh dengan mendapan. Tiada seorang pun yang berjaya sampai ke sini, pastinya bukan seseorang yang membawa pesan daripada orang yang sudah mati.6
Cerpen ini sendiri persis pesan Maharaja. Pesan atau mesej yang dibawa oleh seorang narator “luar” (“outsider”) atau pengisah lancung (unreliable narrator) daripada sejarah alternatif yang lain. Dengan menceritakan hal pembinaan Tembok Besar China yang lain. Tentang pembinaan Tembok Besar China di dunianya. Pembaca selaku penerima pesan atau mesej seterusnya dibiarkan untuk terus-menerus berimaginasi dan mencipta cereka, mereka-reka ceritanya pula bilamana narator menamatkan cerita dengan: “Tetapi engkau duduk di jendela dan bermimpikan mesej itu tatkala malam tiba.”7
……….Mendengar masa lalu tidak pernah berlaku.
……….Kita hanya mendengar masa kini.
……….Gema dari “masa lalu” yang didengar kini
……….tetaplah juga getar kontemporari.
Hanya setelah saya mendengar dan mendengar—dengan keupayaan, dengan kemahiran—kedua-dua cerpen yang bukan dalam bahasa asalnya ini (bukan dalam bahasa Sepanyol mahupun Jerman), saya menyedari bahawa bukan sahaja imaginasi (tentang apa) yang diingini dan diperlukan tetapi juga kebebasan berimaginasi (tentang bagaimana)—untuk bercerita, untuk menulis. Dan siapa sangka, tulisan Borges dan Kafka jugalah yang telah mendekatkan saya kepada manusia, alam bina, cereka; terlebih dahulu menibakan saya di “China”.
Gaosu Dongche meluncur laju menuju Shanghai yang telah pun menerima angin tajam musim dingin.

Yang lain-lain telah berangkat pulang ke Malaysia. Kecuali Dr. Fan Pik Wah yang telah naik ke Beijing. Kecuali seorang Azrin Fauzi yang sedang naik ke Shanghai. Belum Azrin Fauzi pasti lagi apa yang akan dilakukannya di Shanghai. Juga belum dia pasti lagi ke mana yang akan dilawatinya di Shanghai. Tetapi tegas Ana María Shua, “Kamu hanya perlu dengar baik-baik, catatan kamu nanti akan dihabiskan di sini. Menjadi catatan buatan China. Se-pe-nuh-nya.” Azrin Fauzi mendengar dan menerima arahannya itu menerusi fon telinga. Kerana atas arahannya itu jugalah, dia akan bertemu dengan pengarang Argentina ini di sebuah bangunan panggung wayang gambar bergaya Art Deco di West Nanjing Road pada malam nanti. Siang cepat berganti malam pada musim dingin. Akan diulang baca mikrofisyen “Seni Tak Tertandingi Karya Ma Liang” lagi sebelum bertemu dengannya malam ini. Akan didengar dan didengar bagaimana seorang maharaja berserta seisi istananya tenggelam ke dalam laut yang dilukis oleh Ma Liang.
Dan akan dia sedari bahawa sebuah foto hitam putih bangunan pawagam (ditangkap pada tahun 1930) yang ditatap sewaktu mereka berdua berkunjung ke China Art Museum keesokannya merupakan pawagam yang sama yang mereka lawati malam ini. Dan akan dia sedari bilamana Ana María Shua tidak pernah mendengar langsung tentang sebuah cerpen yang berjudul “Seni Tak Tertandingi Karya Ma Liang” itu. Apatah lagi mendengar perenggan terakhirnya: “Untuk melampaui kehebatan Ma Liang, dunia Barat menciptakan fotografi dan kemudian sinema, yang di dalamnya orang-orang yang sudah mati bisa terus hidup, memeragakan tindak tanduk yang sama berulang-ulang kali, seperti dalam neraka yang mana saja.”8
Dan akan seorang Azrin Fauzi atau 阿兹林•福齐 sedari bahawa Ana María Shua yang dia temui di Shanghai ini ialah Ana María Shua yang lain sesudah mendapat tahu pengarang itu telah pun pulang ke Buenos Aires menerusi foto yang dimuat naik pada laman media sosial miliknya! Adakah dia benar-benar berada di dunianya? Atau 阿兹林•福齐 yang berada di dunia yang lain? Sehinggalah akan 阿兹林•福齐 sedari tatkala angin musim dingin mengelus rambut perang Ana María Shua lalu wanita itu menoleh ke kiri seraya menampakkan belakang telinga kanannya, jelas tercetak: “Made in China.”
Nota Hujung
_________________________
Azrin Fauzi pengarang tiga kumpulan cerpen: Urban (2015), Metaskandal (2018), dan Amok-Imago (2022). Cerpen dan esei beliau pernah diterbitkan dalam media antarabangsa seperti Mekong Review, Samovar, ArtsEquator; juga antologi, jurnal, majalah sastera, dan akhbar tempatan. Beliau merupakan penerima Hadiah Sastera Selangor pada tahun 2017, 2019, dan 2021 untuk kategori cerpen dan pada tahun 2018 untuk kategori esei. Pada tahun 2019, beliau telah menjadi kurator bersama bagi Pesta Playlet, sebuah festival nirlaba kendalian orang seni atas inisiatif berasaskan persembahan menerusi pembinaan komuniti, penyelidikan, bengkel, wacana, dan penerbitan, yang dianjurkan oleh Ensembel Teater Kaos Nol. Beliau juga terpilih untuk mewakili Malaysia dalam Program Penulisan MASTERA 2019: Esei di Bandung, Indonesia, anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA). Selain menulis, beliau gemar menonton sinema perlahan.