Diterbitkan pada 11 Disember 2025, 15:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dr. Khairul Nizam Zainal Badri memperkenalkan Ma Huan, seorang sarjana yang telah menghasilkan sebuah catatan perjalanan yang mendokumentasikan ekspedisi pelayaran Laksamana Cheng Ho di serata lautan Asia Tenggara sampai ke Teluk Parsi.

Karya Ma Huan ini menjadi salah satu sumber sejarah yang paling penting dalam dunia moden hari ini untuk memahami latar belakang peradaban manusia dengan mendalam yang meliputi pelbagai negara, dari Kepulauan Maluku hinggalah ke Makkah.

Catatan perjalanan ialah sumber maklumat yang sangat berharga, terutamanya bagi ahli sejarah kerana menjadi tingkap kepada masyarakat eksotik yang asing bagi pengembara, namun pada masa yang sama, menjadi pintu dan cermin kepada pembaca tentang nilai sesuatu perjalanan dan masyarakat asal di sesuatu tempat. Pada tahap yang terbaik, catatan perjalanan menjadikan seluruh pengalaman deria pengembara hidup apabila pembaca dibawa ke dunia dan pandangan dunia mereka.

Meneliti semula Ying-Yai Sheng-Lan yang boleh diterjemahkan sebagai Tinjauan Am Pesisiran Laut (dalam bahasa Inggeris, The Overall Survey of the Ocean’s Shores), manuskrip ini merupakan sebuah catatan ekspedisi pelayaran empayar Dinasti Ming China pada abad ke-15 yang ditulis oleh Ma Huan. Menerusinya, pembaca ditawarkan dengan gambaran sekilas tentang dunia yang terkepung antara budaya dengan ras yang mengalir dalam masyarakat Asia, dari Tenggara hinggalah ke Barat, ketika kelompok penduduk seperti “tempatan”, “peribumi” dan “asing” belum lagi mengambil makna dari segi etnik dan politik yang mereka ada pada hari ini.

Oleh itu, karya Ma Huan ini menjadi salah satu sumber sejarah yang paling penting dalam dunia moden hari ini untuk memahami latar belakang peradaban manusia dengan mendalam yang meliputi pelbagai negara, dari Kepulauan Maluku hinggalah ke Makkah. Menurut Marie Ngiam (2023), gaya penceritaan dan penyampaian Ma Huan berkonsepkan kedualan, iaitu sebagai orang dalam dan orang luar. Hal ini telah memberikan kelebihan kepada penyelidik zaman ini, khususnya dalam kalangan sejarawan untuk menggunakannya sebagai sumber sejarah dari sudut pengetahuan kontekstual.

Timbulnya kedualan dalam pemikiran Ma Huan dapat difahami kerana perasaannya yang sentiasa bercampur baur tatkala dirinya berada di tempat orang dari segi pandangan dan bandingannya antara tanah asing dengan tanah asal. Penyaksiannya terhadap sesuatu budaya dan ras pada satu sisi mendatangkan rasa hormat, manakala pada sisi yang lain, menerbitkan rasa jijik.

Ma Huan yang dilahirkan sekitar tahun 1380 di Hui Ji (juga disebut sebagai Kuei chi atau Kuaiji), sebuah daerah di bandar Shaoxing, Wilayah Zhejiang, bagaimanapun tidaklah menulis karya tersebut dengan menggunakan perbendaharaan kata yang tinggi. Sebaliknya, catatan ini ditulis dengan laras bahasa yang biasa-biasa, barangkali atas dua faktor. Pertama, karya tersebut ditulis dalam suasana yang kacau-bilau apabila hubungan dalam birokrasi Dinasti Maharaja Ming masa itu berada dalam keadaan tidak menentu, ditambah dengan keadaan pemerintah yang mengamalkan dasar tertutup atau tradisional pada ketika itu (setelah kemangkatan Maharaja Yongle). Malah pada satu ketika, terdapat percubaan untuk memusnahkan karya tersebut kerana kaitannya dengan dasar terbuka yang diamalkan ketika pelayaran itu dilakukan. Oleh itu, karya tersebut telah ditulis sedemikian rupa dengan harapan tidak mendapat perhatian daripada kalangan pembesar dan pegawai kerajaan.

Kedua, selepas kembali ke kampung asal mereka, Ma Huan dan rakan penterjemahnya, Guo Congli, bercadang untuk memberikan pencerahan kepada orang ramai tentang pelayaran yang telah mereka sertai ke Lautan Barat. Sekiranya mereka menulis pengalaman tersebut dalam gaya bahasa yang tinggi, sudah tentu kandungannya hanya akan dinikmati oleh golongan elit. Sebaliknya jika ditulis dengan menggunakan gaya bahasa yang biasa, maka kandungannya dapat difahami oleh semua orang, dan hasrat mereka untuk menyebarkan pengalaman tersebut kepada rakyat jelata akan menjadi lebih berkesan.

Walaupun ditulis dalam gaya biasa yang biasa, karya tersebut tetap menjadi tumpuan sekurang-kurangnya dari dua sudut. Pertama, pelayaran itu berjaya meluaskan pengaruh Dinasti Ming merentasi Laut China Selatan, Teluk Benggala dan Selat Hormuz, sampai ke Laut Merah dan pantai timur Afrika. Hal ini dengan jelas menunjukkan kekuatan ketenteraan maritim China yang begitu gagah dan hebat dari segi prasarana angkatan laut yang dimiliki, lalu dipamerkan dan pada masa yang sama dengan menyebarkan legitimasi politik China di serata benua yang dijelajahinya. Kedua, pelayaran berkenaan meningkatkan kesedaran tentang fakta bahawa kelompok besar di sebahagian besar dunia telah pun mengamalkan Islam pada waktu itu.

Halaman pertama Ying-Ya Sheng-Lan atau Tinjauan Am Pesisiran Laut, seperti yang diterbitkan semula dalam koleksi tulisan Jilu Huibian (1617).

Menerusi garapan penulisan yang kemas, pembaca dapat mengetahui adanya komuniti besar yang mengamalkan Islam di luar China. Pemerhatian Ma Huan terhadap Islam yang dianuti oleh masyarakat di sesetengah tempat membolehkan pembaca mendapat gambaran tentang bagaimana Islam diasmilasikan secara beransur-ansur dalam budaya mereka, sekali gus dapat memecahkan persoalan tentang proses sinkretisme budaya dan agama yang berlaku dalam sesuatu bangsa.

Dikhabarkan bahawa Ma Huan mengiringi Laksamana Cheng Ho dalam tiga daripada tujuh ekspedisinya ke Lautan Barat …

Dalam Ying-Ya Sheng-Lan, Ma Huan menggelari dirinya sebagai “Ma Huan Si Penebang Kayu Gunung”, suatu pengenalan diri yang sangat merendah diri, malah menyebabkan John Vivian Gottlieb Mills (m. 1987), salah seorang cendekiawan terawal yang menterjemahkan karya tersebut ke dalam bahasa Inggeris, kuat menduga bahawa Ma Huan mungkin berasal daripada keluarga miskin. Malah, berdasarkan pada gaya bahasa yang digunakannya, hal ini seolah-olah menggambarkan bahawa beliau hanyalah seorang lelaki biasa yang menjunjung arahan ketuanya (Laksamana Cheng Ho atau Zheng He). Namun begitu, pengamatannya yang tajam dalam memerihalkan cara mengemudi kapal dan ketepatan tentang sesuatu lokasi sebagaimana yang diterjemahkannya dalam bentuk penulisan jelas menunjukkan bahawa beliau sebenarnya seorang sarjana yang berwibawa. Catatannya yang menjangkau 20 buah negara, dari Pulau Jawa hingga ke Afrika, menunjukkan ketelitian dan keahliannya dalam membuat pemerhatian, sama ada dari sudut antropologi atau sosiologi, mahupun sejarah dan geografi.

Ying-Ya Sheng-Lan terjemahan Inggeris Mills.

Adapun Mills, pegawai tinggi Inggeris yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu selama puluhan tahun telah menghabiskan masa selama 15 tahun lebih dalam melaksanakan tugas menterjemahkan karya yang sangat berharga itu. Beliau menggunakan teks moden yang telah diusahakan oleh Feng Ch’eng-Chun yang diterbitkan pada tahun 1935 (yang kemudiannya dikeluarkan sekali pada tahun 1955). Dengan bantuan rakan-rakan penyelidik yang lain, buku terjemahan Mills itu akhirnya berjaya diterbitkan pada tahun 1970 oleh Hakluyt Society. Mills turut dianugerahi gelaran doktor persuratan ketika berusia 83 tahun atas sumbangan besarnya menterjemah dan memberi komentar pada catatan perjalanan Ma Huan itu.

Menjadi seorang Muslim merupakan antara faktor penting dalam ekspedisi pelayaran yang diketuai oleh Laksamana Cheng Ho. Hal ini kerana Cheng Ho sendiri ialah seorang Muslim. Walaupun Ma Huan terpilih dalam ekspedisi yang dipimpin oleh Cheng Ho, namun penyertaannya tidaklah melibatkan kesemua ekspedisi. Selain beragama Islam, sebab utama Ma Huan terlibat dalam ekspedisi pelayaran dalam era Dinasti Ming adalah kerana kebolehan dan kemahirannya menterjemahkan bahasa asing. Beliau juga dikatakan mempunyai keahlian dan pengetahuan yang mendalam dalam agama, malah mahir dengan adat resam serta budaya di negara-negara Islam yang lain.

Dikhabarkan bahawa Ma Huan mengiringi Laksamana Cheng Ho dalam tiga daripada tujuh ekspedisinya ke Lautan Barat, iaitu ekspedisi pada tahun 1413 apabila beliau melawat Champa, Jawa, Sumatera, Palembang, Siam, Kochi, dan Hormuz. Kemudian, ekspedisi pada tahun 1421 apabila beliau melawat Melaka, Aru, Sumatera, Trincomalee, Sri Lanka, Kochi, Kalikut (Kozhikode), Zufar, dan Hormuz. Akhirnya, ekspedisi pada tahun 1431 apabila beliau melawat Bengal, Chittagong, Sonargaon, Gaur, dan Kalikut. Dari Kalikut, beliau dihantar oleh Kasim Hong Bao sebagai utusan ke Makkah.

Sepanjang penyertaannya dalam ekspedisi-ekspedisi yang dinyatakan, Ma Huan bukan sahaja membuat catatan tentang geografi, keadaan cuaca dan alam sekitar, tetapi juga melangkaui hal ehwal masyarakat setempat yang meliputi hal politik, ekonomi, adat tempatan, dan juga kaedah hukuman bagi penjenayah. Dinyatakan, beliau mula menulis Ying-Ya Sheng-Lan apabila pulang ke rumah setelah menyertai ekspedisinya yang pertama. Draf pertama siap sekitar tahun 1416, manakala versi terakhirnya telah dimuktamadkan sekitar tahun 1451.

Selain Ma Huan, tokoh lain yang terlibat dalam ekspedisi pelayaran Laksamana Cheng Ho adalah seperti Hasan, seorang ulama yang namanya tercatat dalam sebuah inskripsi yang dipercayai ditulis pada tahun 1413, ditemui di sebuah masjid lama, Qingjingsi yang terletak di Quanzhou, sebuah bandar pelabuhan dalam wilayah Fujian di selatan China. Tokoh lain adalah seperti Guo Congli, yang juga merupakan seorang penterjemah yang berwibawa. Perkenalan dengan tokoh inilah yang telah mendorong Ma Huan untuk menulis dan menerbitkan Ying-Ya Sheng-Lan. Walaupun tidak jelas bagaimana kedua-duanya berkenalan memandangkan sesebuah ekspedisi biasanya akan melibatkan lebih daripada 27,000 orang, namun minat dan kepakaran yang sama mungkin telah menyatukan kedua-duanya sehingga akhirnya menjelmakan sebuah karya agung yang kini dirujuk di seluruh dunia, khususnya bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat tentang peradaban masyarakat Asia dan kartografi pada abad ke-15.

Dalam karya tersebut, Ma Huan turut melampirkan sebuah puisi yang barangkali dihasilkannya dengan tujuan untuk mengabadikan keseluruhan pelayaran yang telah ditempuhinya. Pandangan kedualannya yang ketara terhadap bangsa lain turut diketengahkan dalam puisi tersebut, yang jika dihalusi dengan mendalam, karya puisi ini seolah-olah menekankan keunggulan budaya Cina daripada budaya lain yang mereka temui. Kandungan puisi ini seperti menonjolkan identiti budaya Cina dengan menggambarkan diri orang Cina sebagai bertamadun tinggi malah lebih maju ke hadapan daripada kumpulan sosial lain yang mengelilingi mereka.

Utusan Maharaja yang mulia menerima perintah suci
Pengisytiharan ke luar dari gema sutera, dan pergi menuju ke negeri gasar
Bahtera gergasinya di atas ombak yang mengaum dan lautan yang tidak bertepi
Dalam kejauhan, ia menjelajahi dalam gulungan ombak yang luas tanpa had, ia belayar
Lautan yang luas bergelombang dalam sapuan pemecah yang indah;
Gugusan pelekap, cangkerang terapung yang menghijau, dalam misteri ia memudar dan mengintip
Di dalam kawasan persembunyian di kota Tanah ia terhenti seketika, dia berehat;
Angkat layar! Mereka meluncur bersama; bahtera itu cepatnya ia bertindak
Dari Negara Tengah yang Gemilang bahtera belayar jauh
Wap yang bising adalah nafas syurga, dan menghairankan manusia
Dengan kepala yang tidak terawat dan kaki yang bertelanjang,
lidah yang gasar berkata-kata
Pakaian dan topi yang mereka gunakan, bukanlah untuk upacara atau kebajikan
Di sini apabila tulisan syurga datang, pertemuan menjadi riuh gembira,
Penghulu dan ketua puak gasar semuanya bersaing untuk memberi salam
Penghormatan emas dari selatan, permata yang jarang dilihat,
dari bahagian yang jauh ia muncul;

Bersyukur, mengagumi kebaikan kami,
mereka menunjukkan diri mereka setia, ikhlas
Dari bahtera [utusan] Lautan Barat mencelah
Melewati San Fo-chi (Sriwijaya), lima pulau yang didekatinya,
puncak Su-men-ta-la (Sumatera) di lautan tengah [berdiri]
kapal-kapal saudagar asing lalu dan berkumpul di negeri ini
Sebahagian daripada armada ke Hsi-lan (Ceylon) pergi dari sini
dan kepada Ko-chih (Cochin, pantai barat India) dan kepada Ku-li (Kalikut, pantai barat India) dan semua [tempat] asing yang saling berdekatan
[Terletak] negara pergunungan Liu di tepi pantai selatan perairan Lemah;
dan laluan yang tidak berkesudahan yang dilalui, dan berbahaya dan menyakitkan
Mereka ingin pergi ke Tanah Barat, dari jauh mata mereka memerhatikan
tetapi mereka [hanya] melihat kilatan ombak ketika mereka bergabung dengan kehijauan langit
Anak-anak kapal mengangkat kepala mereka; barat dengan timur mereka bercampur;
hanya menunjuk ke bintang ch’en di mana utara dan selatan ditetapkan
Hu-lu-mo-ssu (Hormuz)! dekat dengan tepi lautan
ke Ta-yuan dan Mi-hsi tunggangan saudagar yang mengembara
Mengenai kedutaan Po Wang ke negeri yang jauh kami dengar;
lebih besar lagi nikmat yang mulia dalam pemerintahan sekarang yang dianugerahkan!
Seorang pelajar, pengikut, hamba, betapa lama dan rendahnya diri, saya!
Berbesar hati untuk pergi dengan utusan, semua saya melawat dan melihat.

Pergunungan yang tinggi dan ombak yang hebat yang pernah saya lihat hanya sedikit
permata dan mutiara yang langka kini saya melihatnya
Di atas ke langit dan ke bawah ke bumi saya melihat, tiada sempadan berlari
hingga ke hujung langit dan ke hujung bumi masing-masing adalah mereka yang berdaulat
Kesatuan di bawah Empayar Ming bahagian tanah besar kita
dari dahulu berganti masa sehingga kini tiada [tanah lain] menandinginya
Utusan Maharaja patuh, takut untuk berlengah; kemudian bertemu angin selatan, yang menunjukkan arah pulangnya
Alun ombak seperti naga besar yang berenang, dan [utusan] bahtera menunggangnya;
Tatkala ia memalingkan kepalanya ke belakang, yang dilihat hanyalah kabus dan kabut sedangkan padang pasir semakin jauh.
Ke ibu kota ia kembali, tanggul Istana diseberanginya
di Dewan Naga penghormatannya, setiap perkara berharga diperluaskan
Satu pandangan mata yang maha bijaksana, dan kegembiraan memenuhi wajah Syurga;
semua maruah, hadiah, dikurniakan, ikrar baru atas rahmat Syurga.
~ Ma Huan, penebang kayu gunung Hui Ji

Lawati Muzium Budaya Cheng Ho, Melaka.

_________________________

Khairul Nizam Zainal Badri (Dr.) mengajar di Pusat Pengajian Al Mansoorah, Puchong, Selangor.

Kredit Foto: Go Melaka (goMelaka.my)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi