7 Oktober 2024, 16:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Qiao Ye ketika menandatangani novel terbaharunya bertajuk Baoshui Village.

Kuala Lumpur – Qiao Ye, penulis dari negara China mahu menerapkan latar dan suasana masyarakat Malaysia dalam karya terbaharunya. Hal tersebut dinyatakan dalam pertemuannya dengan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan di DBP, pagi tadi.

Qiao Ye menghadiahkan novelnya, iaitu Baoshui VillageĀ kepada Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.

Qiao Ye, yang menetap di Xiuwu, China merupakan antara penulis yang terpilih menyertai Program Kediaman Penulis Oktober, Kuala Lumpur (October Writer’s Residence) selama 15 hari. Program tersebut merupakan inisiatif Pusat Kebudayaan Han Malaysia dengan October Literature Academy China.

Sepanjang Qiao Ye berada di Malaysia, beliau telah melakukan beberapa pertemuan dengan penulis Malaysia selain memerhatikan kebudayaan dan suasana sosial di sini untuk diterapkan dalam novel terbaharunya nanti. Katanya,

Saya pergi ke beberapa tempat di Malaysia, misalnya di Ipoh dan Pulau Pinang. Saya terpikat dengan kemajmukan, kebudayaan dan kemesraan masyarakat di sini.

Beliau yang juga merupakan pemenang Anugerah Sastera Mao Dun dan Anugerah Sastera Lu Xun juga tertarik melihat bagaimana tradisi dan kebudayaan dalam masyarakat Tionghoa diteruskan di negara ini.

Selain berkongsi pengalamannya sepanjang berada di Malaysia, beliau juga menyatakan bahawa budaya pembacaan buku fizikal di China semakin berkembang walaupun adanya bahan bacaan berbentuk digital. Jelasnya,

Di China, buku yang dicetak tidak akan menjadi bentuk digital selama dua tahun. Selepas dua tahun, barulah buku bercetak itu boleh diterbitkan dalam bentuk digital.

Perkembangan tentang hal itu merupakan suatu perkara yang memberangsangkan kerana terdapat usaha daripada pihak kerajaan untuk menggalakkan budaya membaca masyarakat di sana, terutamanya membaca buku fizikal.

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa gaya dan tema karya penulis kontemporari China dilihat berbeza dengan generasi penulis sebelumnya. Terangnya,

Setiap penulis hidup dalam era dan zaman yang berlainan dan sudah tentu ada pilihan tema dan gaya yang tertentu pula. Penulis kontemporari China lebih menceritakan hal dalam kehidupan seharian seperti percintaan dan persahabatan.

Tambahnya, walaupun kebanyakan penulis kontemporari China yang menulis cerita tentang kota, tetapi masih ramai juga antara mereka yang menulis tentang cara hidup masyarakat di tempat yang terpencil.

Antara karya Qiao Ye yang diterbitkan dan mendapat sambutan pembaca di China termasuklah The Slowest is Living, Guilty Plea, dan novel terbaharunya, iaitu Baoshui Village.

Dalam pertemuan tersebut, beliau berkesempatan menghadiahkan satu daripada novelnya, iaitu Baoshui Village kepada Dato’ Dr. Anwar Ridhwan. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Dato’ Goh Hin San, Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.