Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAirul Affendi Ali melaporkan pelancaran zine puisi Singapura-Malaysia, ARUS baru-baru ini.
Kerjasama serantau ini bermula daripada perbualan kecil di meja makan antara Martini, Hidayat, Fadli Fadzil, Aisyah Lyana dengan Fazleena usai menghadiri acara Singapore Writers Festival tahun lalu.
Penyatuan dua kelompok penulis yang dipisahkan oleh Selat Tebrau dalam satu wadah sastera menjadi bukti bahawa puisi bukan sekadar jelmaan dalam gabungan aksara, tetapi menjadi jambatan persahabatan tanpa sempadan.
20 Disember 2025, ruang kedai buku Riwayat di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur dipenuhi oleh anak muda yang masih sudi mengangkat martabat sastera bagi menyaksikan pelancaran zine ARUS, kolaborasi antara penulis Singapura dengan Malaysia. Acara ini menampilkan Dayana Desa sebagai pengacara majlis.
Pada malam pelancaran, sesi bual bicara membawakan Martini sebagai penerbit, Hidayat Nordin dan Fazleena Hishamuddin sebagai koordinator yang mewakili Singapura dan Malaysia, serta Airul Affendi Ali sebagai salah seorang penulis puisi bagi meraikan penerbitan ARUS. Bicara santai ini dikendalikan oleh Israr Khalid dengan tujuan memberikan peluang kepada tetamu yang hadir memahami proses penerbitan, pengalaman serta gagasan di sebalik ARUS.
Kerjasama serantau ini bermula daripada perbualan kecil di meja makan antara Martini, Hidayat, Fadli Fadzil, Aisyah Lyana dengan Fazleena usai menghadiri acara Singapore Writers Festival tahun lalu. Idea spontan ini menyaksikan 14 penulis dari Singapura dan Malaysia bergabung menghasilkan puisi bertemakan arus dalam penerbitan zine yang lebih dikenali sebagai penerbitan kecil dan bersifat mandiri.
Menurut Martini, sebagai penerbit, beliau memberikan kebebasan sepenuhnya kepada penulis untuk berkarya di bawah tema arus. Kejujuran dan pemikiran yang bebas menjadi tunjang utama karya dalam zine ini.

Tema arus (atau aliran) dipilih sebagai simbol pada hubungan yang terus mengalir antara kedua-dua negara dari segi bahasa, budaya dan sastera. Menurut Fazleena, kolaborasi ini menjadi jambatan bagi penulis muda untuk saling memberikan sokongan serta mengangkat martabat sastera dan penulisan Melayu di rantau ini. Beliau berharap bahawa projek zine ini bukanlah yang pertama dan terakhir diadakan, tetapi sebagai pencetus yang membuka lebih banyak lagi peluang usaha sama antara mereka yang terlibat.
Hidayat Nordin pula memberikan pandangan bahawa isu-isu yang dilontarkan dalam zine ini menampilkan bahawa para penulis dari Malaysia dan Singapura masih mempunyai persamaan dan saling berkait. Hal yang membezakan cuma dari sudut pandang penulis. Lebih penting, penulis mendapat peluang dan ruang untuk melontarkan suara dan pemikiran melalui wadah sastera serantau.
Arus terhasil melalui kerjasama antara Kamelia Co serta Meja Conteng dari Singapura dengan Kultus Kata, sebuah kelab buku dari Malaysia, selain mendapat sokongan dari Majlis Seni Kebangsaan Singapura.
Zine ini menghimpunkan 28 buah puisi daripada 14 penulis, antaranya termasuk Ahmad Ubaidilah, Aisyah Liyana, Amirul Hakim, Fadzli Fadhil, Hidayat Nordin, Lissa Chan, Mysara Aljaru, dan Nur Hikmah Ali dari Singapura, manakala penulis Malaysia terdiri daripada Airul Affendi Ali, Ashikin M, Fazleena Hishamuddin, Ku Syafiq Ku Fozi, Mosyuki Borhan, dan Zuhairah Zamri.
Pelancaran ARUS di Kuala Lumpur merupakan acara susulan selepas pelancaran ARUS di Singapura, 30 November yang lalu.
Usai bual bicara, acara bacaan puisi daripada para penulis Malaysia dan Singapura menjadi kenangan indah sebelum acara berakhir. Zine ARUS sudah mula dijual di Riwayat Book Store dengan harga RM25.

_________________________
Airul Affendi Ali, pemula dalam lapangan sastera. Beliau menulis puisi, cerpen dan ulasan buku. Karyanya pernah tersiar dalam Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Tamadun Islam, Dewan Kosmik, Tunas Cipta, WadahDBP, Berita Harian, Mingguan Malaysia, Suara Sarawak, Harian Ekspres, Utusan Borneo, Berita Minggu Singapura, Media Permata Brunei, dan beberapa portal di Indonesia. Airul menulis artikel ini sambil terbayangkan para teman Kultus Kata menikmati nasi himpit dan dendeng daging yang dimasaknya dengan penuh kasih sayang.