Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bagi memperkenalkan sastera Tamil moden ke persada dunia, program kesusasteraan Living Tamil LitFest bakal dianjurkan pada 3 dan 4 April di New York, Amerika Syarikat.
Inisiatif ini diusahakan oleh Jayamohan, pengarang sastera Tamil yang tersohor di seluruh dunia. Program yang dianjurkan dengan kerjasama pertubuhan sastera Vishnupuram Amerika turut mendapat perhatian apabila pelakon filem Kamal Haasan dan pengarah filem Mani Ratnam dilantik sebagai duta program.
Lebih daripada 50 penulis Tamil terkemuka dari seluruh pelosok dunia, termasuk India, Amerika, Kanada, Switzerland, Malaysia, dan Singapura akan mengambil bahagian dalam program ini.
Forum melibatkan penulis sastera Tamil moden seperti Su. Venugopal, Yuvan Chadrasekar, penyajak Perunthevi, serta penterjemah seperti Kalyanaraman dan Suchitra bakal diadakan sepanjang program ini.
Dari Malaysia, penulis Tamil kontemporari M. Navin dan Aravin Kumar telah diundang ke program ini. Program yang bakal berlangsung di Dewan Seminar New York Academy of Medichine itu dikendalikan sepenuhnya oleh sekumpulan pemuda Tamil Amerika yang menggemari bidang sastera dan seni Tamil.
Tujuan utama program ini adalah untuk menyebarkan kesedaran tentang sastera Tamil moden kepada peminat sastera bahasa lain serta mewujudkan ruang perbincangan yang sihat dan berterusan.
Bagi merealisasikan tujuan tersebut, karya-karya penulis Tamil yang diundang ke program ini akan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, selain diterbitkan dan diedarkan sebagai satu koleksi khas.
Para penulis dari Amerika dan Kanada seperti Chad W. Post, Esther Allen, Damion Searls, dan penterjemah Thomas Hitoshi Pruiksma turut diundang ke program ini bagi menyertai forum perbincangan bersama-sama para penulis Tamil kontemporari.