Diterbitkan pada 22 April 2026, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dr. Khairul Nizam Zainal Badri menemui citra Hormuz dalam sumber penulisan awal Dinasti Tuan dan Dinasti Ming, dan betapa pentingnya selat itu dalam perhubungan perdagangan antarabangsa China dengan dunia luarnya.

Hormuz bukan sekadar muncul dalam sumber-sumber ini kerana kewujudannya sebagai pelabuhan penting, tetapi kerana tempat itu memainkan peranan yang signifikan dalam jaringan hubungan yang menghubungkan China dengan dunia yang lebih luas.

Kehadiran Hormuz dalam catatan Dinasti Yuan dan Ming bukanlah sesuatu yang kebetulan, tetapi hasil daripada kedudukannya yang sangat strategik dalam jaringan perdagangan maritim Eurasia serta hubungan langsung dan tidak langsung China dengan dunia Islam dan Asia Barat. Di sisi lain, menerusi catatan-catatan ini, dapatlah diketahui bahawa China juga telah lama terlibat dengan sistem perdagangan global, sama ada melalui rangkaian pedagang antarabangsa pada zaman Yuan atau melalui ekspedisi maritim rasmi pada zaman Ming. Dalam konteks tersebut, Hormuz muncul secara konsisten dalam sumber China kerana rekod itu berfungsi sebagai salah satu nod terpenting yang menghubungkan Lautan Hindi dengan Teluk Parsi, sekali gus menjadi pintu masuk kepada perdagangan dengan wilayah seperti Parsi, Arab bahkan pesisir Mediterranean.

Daoyi Zhilüe yang diterbitkan semula pada tahun 1936.

Pada zaman Yuan, Empayar Mongol yang memerintah China telah mewujudkan satu jaringan politik yang luas merangkumi sebahagian besar Eurasia, termasuk wilayah Parsi di bawah pemerintahan Ilkhanid. Walaupun China tidak menguasai Hormuz secara langsung, hubungan antara pelbagai wilayah Mongol telah memudahkan aliran maklumat, barangan dan manusia merentasi benua. Dalam keadaan ini, pelabuhan seperti Hormuz menjadi penting kerana pelabuhan itu merupakan pusat pengumpulan dan pengedaran barangan dari dunia Barat ke Timur. Catatan seperti Daoyi Zhilüe yang naskhah asalnya ditulis pada tahun 1349 oleh Wang Dayuan dan diterbitkan semula pada tahun 2000 oleh Zhonghua Shuju mencerminkan pengetahuan yang diperoleh melalui rangkaian perdagangan ini, yang Hormuz dikenal sebagai pusat pertukaran komoditi bernilai tinggi seperti kuda, mutiara dan tekstil. Oleh itu, kemunculan Hormuz dalam sumber Yuan boleh difahami sebagai hasil daripada integrasi China ke dalam sistem perdagangan antarabangsa yang lebih luas di bawah naungan Empayar Mongol.

Selain faktor ekonomi, kehadiran Hormuz dalam catatan Yuan juga berkait dengan perkembangan teknologi pelayaran dan mobiliti pedagang. Pedagang Muslim dan Asia Barat memainkan peranan penting dalam menghubungkan China dengan dunia luar, dan melalui interaksi ini, maklumat tentang pelabuhan-pelabuhan penting seperti Hormuz sampai ke penulis China. Walaupun kebanyakan penulis Yuan mungkin tidak melawat Hormuz secara langsung, mereka bergantung pada laporan pedagang dan pelayar untuk membina gambaran tentang tempat tersebut. Hal ini menjelaskan mengapa deskripsi dalam sumber Yuan sering bersifat ringkas dan berfokus kepada aspek perdagangan, kerana maklumat yang diperoleh bersifat sekunder dan praktikal.

Keadaan berubah dengan lebih ketara apabila zaman Ming mengambil alih, khususnya semasa pemerintahan Maharaja Yongle yang menyaksikan pelancaran ekspedisi maritim besar-besaran yang diketuai oleh Zheng He, yang sangat masyhur dikenali di sebelah rantau Melayu dengan gelaran Laksamana Cheng Ho. Dalam pelayaran ini, Hormuz menjadi salah satu destinasi utama, bahkan merupakan titik paling barat yang dicapai oleh armada Ming. Kunjungan langsung ini menjadikan Hormuz bukan sahaja dikenali secara teori, tetapi juga melalui pengalaman empirikal. Catatan oleh Ma Huan dalam Yingya Shenglan yang selesai ditulis pada tahun 1433 dan dikeluarkan semula oleh Zhonghua Shuju pada tahun 1997 memberikan gambaran yang lebih terperinci tentang keadaan ekonomi dan sosial Hormuz, termasuk kemakmurannya sebagai pusat perdagangan antarabangsa. Hal ini menunjukkan bahawa kehadiran Hormuz dalam sumber Ming berkait rapat dengan dasar luar Ming yang aktif dalam menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan melalui laut.

Di samping itu, kemasukan Hormuz dalam catatan Ming juga boleh dikaitkan dengan sistem tributari yang menjadi asas hubungan antarabangsa China pada masa tersebut. Walaupun hubungan dengan Hormuz pada hakikatnya bersifat perdagangan dua hala, sumber Ming sebaliknya menggambarkan hubungan itu sebagai sebahagian daripada sistem tributari apabila negeri-negeri asing menghantar utusan ke China sebagai tanda pengiktirafan terhadap keunggulan empayar China. Dalam kerangka ini, sebagaimana menurut tulisan Edward L. Dreyer bertajuk Zheng He: China and the Oceans in the Early Ming Dynasty (2006), Hormuz direkodkan sebagai salah satu negeri yang berinteraksi dengan China, sekali gus memperkukuh naratif bahawa dunia luar berada dalam orbit pengaruh Ming. Oleh itu, kehadiran Hormuz dalam teks bukan sahaja mencerminkan realiti hubungan perdagangan, tetapi juga berfungsi sebagai alat ideologi untuk menegaskan kedudukan China sebagai pusat dunia.

Faktor lain yang menjelaskan kemunculan Hormuz dalam sumber Yuan dan Ming ialah kepentingannya dalam perdagangan kuda, yang merupakan komoditi strategik bagi China. Kuda dari Asia Barat dan Parsi dianggap lebih berkualiti dan penting untuk keperluan ketenteraan serta logistik. Hormuz, sebagai pusat pengedaran kuda dari wilayah pedalaman Asia Barat, memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan ini. Oleh itu, perhatian penulis China terhadap Hormuz juga didorong oleh kepentingan praktikal dalam mendapatkan sumber ketenteraan yang kritikal. Dalam hal ini, Hormuz tidak hanya dilihat sebagai pelabuhan perdagangan biasa, tetapi sebagai komponen penting dalam sistem ekonomi dan pertahanan China.

Tambahan pula, perkembangan jaringan budaya dan agama turut menyumbang kepada kehadiran Hormuz dalam catatan China. Sebagai pusat perdagangan antarabangsa, Hormuz menjadi tempat pertemuan pelbagai budaya, termasuk pedagang Muslim yang telah lama berinteraksi dengan China. Kehadiran komuniti Muslim di pelabuhan-pelabuhan China seperti Quanzhou dan Guangzhou memudahkan pertukaran maklumat tentang dunia Islam, termasuk wilayah seperti Hormuz. Oleh itu, pengetahuan tentang Hormuz bukan sahaja diperoleh melalui perdagangan, tetapi juga melalui jaringan sosial dan budaya yang menghubungkan China dengan dunia luar.

Hormuz tidak diberikan ruang untuk wujud sebagai subjek dengan suara sendiri; sebaliknya, Hormuz menjadi objek yang ditafsir melalui perspektif luar.

Secara keseluruhannya, kehadiran Hormuz dalam catatan Yuan dan Ming boleh dijelaskan melalui gabungan beberapa faktor utama, iaitu kedudukannya sebagai pusat perdagangan strategik, integrasi China dalam jaringan perdagangan global, hubungan politik di bawah Empayar Mongol, serta dasar maritim aktif Dinasti Ming. Dalam masa yang sama, kemunculan Hormuz dalam teks juga mencerminkan kepentingan ideologi dan ekonomi dalam cara China merekodkan dan memahami dunia luar. Oleh itu, Hormuz bukan sekadar muncul dalam sumber-sumber ini kerana kewujudannya sebagai pelabuhan penting, tetapi kerana tempat itu memainkan peranan yang signifikan dalam jaringan hubungan yang menghubungkan China dengan dunia yang lebih luas.

Pada sudut lain, perbincangan tentang Hormuz dalam sumber Dinasti Yuan dan Ming perlu ditanggapi sebagai satu medan analisis yang melangkaui fungsi sejarah semata-mata, kerana teks-teks tersebut sebenarnya mengandungi lapisan sastera yang kompleks dan sarat dengan makna ideologi. Walaupun karya seperti Daoyi Zhilüe oleh Wang Dayuan atau Yingya Shenglan oleh Ma Huan dan Xingcha Shenglan oleh Fei Xin yang masing-masing merakamkan pelayaran Zheng He hingga ke wilayah Barat lazimnya dikategorikan sebagai catatan geografi atau laporan perjalanan, pendekatan sastera kritikal memperlihatkan bahawa teks-teks ini sebenarnya berfungsi sebagai alat representasi yang membentuk imaginasi kolektif China terhadap dunia luar. Dalam konteks ini, Hormuz bukan sekadar sebuah pelabuhan strategik di pintu masuk Teluk Parsi, tetapi menjadi simbol pada ruang asing yang kaya, eksotik dan sarat dengan makna dalam naratif China pramoden.

Dalam sumber Yuan, khususnya Daoyi Zhilüe, pendekatan penulisan terhadap Hormuz memperlihatkan gaya enumeratif yang menekankan pengumpulan maklumat secara ringkas dan tersusun. Wang Dayuan menyenaraikan ciri-ciri utama seperti hasil dagangan, kedudukan geografi serta adat tempatan dalam bentuk yang padat tanpa perkembangan naratif yang mendalam. Adapun dari sudut sastera, gaya ini mencerminkan tradisi dokumentasi yang berfungsi untuk menyusun dunia luar dalam bentuk yang boleh difahami oleh pembaca China. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa struktur katalog ini juga mengehadkan keupayaan teks untuk menggambarkan kompleksiti sosial Hormuz secara menyeluruh apabila Hormuz dalam teks Yuan muncul sebagai satu entiti yang hanya dapat ditakrifkan melalui nilai ekonominya, terutamanya sebagai pusat perdagangan yang menghubungkan pelbagai wilayah dari India hingga ke dunia Islam.

Walau bagaimanapun, penekanan terhadap komoditi seperti mutiara, kuda dan barangan mewah memperlihatkan bagaimana nilai sesebuah wilayah ditentukan melalui sumbangannya kepada jaringan perdagangan global. Dengan kata lain, pemilihan maklumat yang bersifat selektif ini menunjukkan kecenderungan eksotisme yang menjadikan gaya penulisan ini sangat unik, yang mana unsur-unsur yang berbeza daripada norma China diberikan penekanan untuk menimbulkan rasa kagum dan keasingan.

Analisis yang lebih mendalam menunjukkan bahawa eksotisme ini bukan sekadar hiasan sastera, tetapi merupakan satu strategi representasi yang mencerminkan hubungan kuasa antara penulis dengan subjeknya. Apa-apa pun, Hormuz tidak diberikan ruang untuk wujud sebagai subjek dengan suara sendiri; sebaliknya, Hormuz menjadi objek yang ditafsir melalui perspektif luar. Hal ini menjadikan teks Yuan hanya berfungsi dalam kerangka epistemologi yang melihat dunia luar sebagai sesuatu yang perlu diklasifikasikan dan dikawal melalui pengetahuan. Dengan makna yang berbeza, walaupun Daoyi Zhilüe memberikan maklumat yang berharga tentang Hormuz, manuskrip ini juga memperlihatkan batasan dari segi kedalaman budaya dan pemahaman sosial tentang wilayah itu sendiri kerana cenderung untuk melihat Hormuz dari kaca mata bangsa pedagangnya, bukannya daripada penduduk asal!

Selat Hormuz (Sumber: Planet Volumes/Unsplash)

Peralihan yang lebih ketara dapat dilihat dalam sumber Ming, khususnya dalam karya Ma Huan dan Fei Xin yang terlibat secara langsung dalam pelayaran maritim yang diketuai oleh Zheng He. Dalam Yingya Shenglan, Ma Huan memberikan gambaran yang lebih terperinci dan hidup tentang Hormuz, yang meliputi aspek ekonomi, sosial dan budaya masyarakatnya. Beliau menggambarkan bandar tersebut sebagai pusat perdagangan yang sangat makmur, apabila kekayaan bukan sahaja dimiliki oleh golongan elit tetapi juga oleh masyarakat biasa. Ungkapan bahawa orang biasa juga memiliki kekayaan yang besar bukan sahaja menyampaikan maklumat, tetapi juga berfungsi sebagai hiperbola yang menguatkan kesan kemewahan dalam naratif. Dari sudut sastera, penggunaan hiperbola ini menunjukkan bagaimana bahasa digunakan untuk membina imej yang dramatik dan memikat, sekali gus menjadikan Hormuz sebagai simbol kemakmuran global.

Selain itu, gaya penulisan dalam sumber Ming memperlihatkan peralihan daripada pendekatan katalog kepada naratif pengalaman yang lebih dinamik. Pelibatan langsung penulis dalam pelayaran memberikan autoriti kepada deskripsi yang dihasilkan, sekali gus meningkatkan kredibiliti teks. Walaupun lebih terperinci, penulisan ini masih tidak bebas daripada bias budaya. Pengamatan terhadap adat tempatan sering dilakukan melalui perbandingan implisit dengan norma China, yang menyebabkan perbezaan budaya ditonjolkan sebagai sesuatu yang luar biasa atau ganjil. Dalam konteks ini, teks Ming masih beroperasi dalam kerangka etnosentrisme, apabila dunia luar dinilai berdasarkan standard domestik.

Dimensi ideologi juga menjadi lebih jelas dalam sumber Ming, terutamanya dalam konteks sistem tributari. Sebagaimana yang dinyatakan tadi, Hormuz digambarkan sebagai negeri yang menjalin hubungan diplomatik dengan Empayar Ming melalui penghantaran utusan dan barangan. Walaupun hubungan ini secara praktikalnya bersifat perdagangan dua hala, naratif Ming cenderung mentafsirkannya sebagai pengiktirafan terhadap kedudukan China sebagai pusat dunia. Dari perspektif sastera politik, hal ini merupakan satu bentuk retorik yang bertujuan untuk mengukuhkan legitimasi kuasa empayar. Dengan menggambarkan Hormuz sebagai sebahagian daripada sistem tributari, teks Ming membina naratif hierarki yang meletakkan China di puncak dan wilayah lain sebagai periferi atau bersifat terpencil. Oleh itu, representasi Hormuz tidak boleh dipisahkan daripada fungsi ideologinya dalam menyokong konsep Sinosentrisme.

Selain itu, kedua-dua sumber Yuan dan Ming memperlihatkan kecenderungan untuk menekankan estetika kemewahan dalam menggambarkan Hormuz. Barangan seperti permata, mutiara dan kuda bukan sahaja disebut sebagai komoditi perdagangan, tetapi juga berfungsi sebagai simbol kekayaan yang membentuk imaginasi pembaca. Penekanan ini menunjukkan bahawa naratif tentang Hormuz dibina melalui lensa materialisme, apabila nilai sesuatu tempat diukur berdasarkan kekayaan yang dapat ditawarkan. Dalam konteks sastera, hal ini mencerminkan satu bentuk estetika yang mengaitkan keindahan dengan kemewahan, sekali gus menjadikan Hormuz sebagai ruang kemewahan global dalam imaginasi China. Namun sebagaimana menurut Tansen Sen dalam penelitiannya bertajuk India, China, and the World: A Connected History (2017), fokus yang berlebihan terhadap aspek material ini juga menyebabkan dimensi manusia dan budaya menjadi kurang diberikan perhatian, sekali gus mengehadkan pemahaman yang lebih mendalam tentang masyarakat Hormuz.

Tambahan pula, teks-teks ini memperlihatkan struktur yang berada antara dokumentasi dengan sastera. Walaupun mengandungi maklumat faktual tentang geografi dan perdagangan, teks-teks ini juga menggunakan teknik naratif seperti pemilihan perincian yang dramatik, susunan cerita perjalanan dan penggunaan bahasa retorik. Hal ini menjadikan karya-karya tersebut sebagai bentuk “proto-etnografi” yang menggabungkan unsur pemerhatian empirikal dengan konstruksi sastera. Dalam konteks ini, Hormuz bukan sahaja dilihat sebagai realiti fizikal, tetapi juga sebagai hasil imaginasi yang dibentuk oleh bahasa dan perspektif penulis.

Hormuz bukan sahaja dilihat sebagai realiti fizikal, tetapi juga sebagai hasil imaginasi yang dibentuk oleh bahasa dan perspektif penulis. (Sumber: Birmingham Museums Trust)

Secara keseluruhannya, analisis kritikal terhadap Hormuz dalam sumber Yuan dan Ming dari segi sastera menunjukkan bahawa teks-teks ini memainkan peranan penting dalam membentuk cara China pramoden memahami dunia luar. Dalam sumber Yuan, Hormuz digambarkan secara ringkas sebagai ruang asing yang ditentukan oleh nilai ekonominya, manakala dalam sumber Ming, ia berkembang menjadi subjek naratif yang lebih hidup tetapi masih dibatasi oleh kerangka ideologi dan budaya tertentu. Walaupun memberikan gambaran yang kaya tentang jaringan perdagangan dan interaksi global, teks-teks ini juga mencerminkan batasan perspektif penulisnya, termasuk kecenderungan eksotisme, etnosentrisme dan retorik kuasa. Oleh itu, Hormuz dalam sumber-sumber ini harus difahami bukan sebagai representasi objektif, tetapi sebagai konstruksi sastera yang mencerminkan imaginasi, kepentingan dan ideologi China pada zaman tersebut.

Hari ini, Hormuz masih berbakti menyambungkan talian hayat kepada China, tetapi bukan dalam bentuk permata, mutiara dan kuda. Sebaliknya, dalam bentuk tenaga, khususnya emas hitam, iaitu minyak yang mempunyai nilai ekonomi yang sangat tinggi yang memacu ekonomi moden, industri dan pengangkutan global.

_________________________

Khairul Nizam Zainal Badri (Dr.) mengajar di Pusat Pengajian Al Mansoorah, Puchong, Selangor.

Kredit Foto: Yatt Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi