Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Peminat sastera dan penulis generasi baharu berpeluang menghayati rencam pemikiran kreatif sastera tanah air yang berusia lebih 50 tahun menerusi antologi esei berjudul Apa yang Kami Katakan Bila Kami Katakan tentang Novel Retro.
Antologi terbitan Matahari Books setebal 232 halaman itu dijangka berada di pasaran serentak dengan hari pelancarannya sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang akan berlangsung selama 10 hari bermula 29 Mei hingga 20 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Kurator bagi projek antologi berkenaan, Azrin Fauzi berkata, Apa yang Kami Katakan Bila Kami Katakan tentang Novel Retro mengandungi 19 esei yang membicarakan 19 novel tempatan yang sudah berusia lebih 50 tahun.
“Antologi yang menghimpunkan 19 esei tentang 19 novel retro tempatan ini termasuk novel berbahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin. Novel-novel terbabit diterbitkan sebelum tahun 1975 dan ditulis oleh penulis atau tokoh sasterawan tempatan.
“Dalam esei-esei yang dimuatkan dalam antologi ini, kita dapat lihat bagaimana pelbagai pembaharuan diangkat dalam novel-novel tempatan, bukan semata-mata menjadi kanta untuk kita melihat mereka yang hidup pada masa lalu.
“Tetapi boleh dilihat juga cubaan demi cubaan tafsiran segar dalam sebilangan esei yang dikarang sewaktu memperkatakan satu-satu novel,” katanya semasa dihubungi, hari ini.
Penulis esei terlibat bagi antologi berkenaan termasuklah Adam Taufiq Suharto, Farahin W., Amir Hafizi, Aravin Kumar, Jaymani Sevanathan, Benedict Anak Samling, Yi Wan, Zulzafry Zulkifly, Amir Muhammad, Yvonne Chew, Clayton Robert, Hafiz Hamzah, Fadli al-Akiti, Jack Malik, Mohamed Nasser Mohamed, A. Muziru Idham, Amier Suhaimi, Stefanie Kaso, dan Qurratul ‘Ain.
Manakala novel yang dibincangkan ialah karya Salmi Manja, Yahya Samah, Khadijah Hashim, M. Kumaran, Arena Wati, Huang Ya, J.M. Chin, A. Samad Ismail, Azizi Haji Abdullah, Shahnon Ahmad, Ibrahim Omar, Atan Long, A. Samad Said, Zakaria Salleh, Ahmad Lutfi, Ishak Haji Muhammad, dan Ahmad Kotot.
Mengulas lanjut, Azrin berkata, antologi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengangkat warisan sastera tempatan, sekali gus mengajak pembaca untuk menghayati khazanah yang pernah mewarnai landskap sastera tanah air sejak puluhan tahun lalu.
Selain itu tambahnya, penerbitan antologi tersebut secara tidak langsung membuka ruang kepada pembaca untuk menghayati pemikiran, memahami latar masyarakat dan anjakan kreativiti sastera negara mengikut perkembangan masa dan zaman.
“(Buku ini) khususnya kepada peminat sastera dan penulis generasi baharu yang muncul dalam era modenisasi dengan beza masa dan jaraknya yang lebih 50 tahun. Semoga buku ini menjadi wadah inspirasi dalam memperkaya ilmu kreativiti sastera Melayu,” katanya.