Diterbitkan pada 14 Ogos 2025, 06:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Roslan Jomel menemui pengarang wanita Jepun yang sedang menjadi bualan dunia sastera, Sayaka Murata, dan novelnya, Convenience Store Woman.

Seperti Mr. Bean, Keiko bagaikan makhluk dari planet lain dan dipaksa untuk menyertai rutin manusia lain.

Sesebuah karya bagus tidak dikarang demi pengakuan hadiah, tetapi kesusasteraan dunialah yang nanti akan menjulang karya itu ke aras yang selayaknya karya itu berada. Demikian status novel Sayaka Murata ini yang meraih sensasi baharu di luar negara Jepun. Novel ini telah memusnahkan takrifan normal yang selama ini dipegang dalam hidup bermasyarakat.

Selain menerima Hadiah Akutagawa pada tahun penerbitannya, Convenience Store Woman segera diterjemahkan ke dalam lebih 30 bahasa. Dengan respons positif di internet membuktikan kepiawaian kerja pengarangnya. Tajuk yang menaungi naratif novel setebal sekitar 160 muka surat ini benar-benar bukan lagi berbentuk harfiah. Seluruh jiwa dan batin Keiko bersebati dengan setiap barangan dan peralatan dalam pasar raya, lalu membina tekstur tisu jasmani dan rohaniahnya.

Di sebalik popularitinya, sejujurnya Convenience Store Woman sebuah kisah yang sederhana. Konfliknya nipis dan tidak bercabang sebagaimana naskhah eksperimental Haruki Murakami. Akan tetapi, inti persoalannya dilahirkan dengan mendalam, tulus dan komikal. Seperti Mr. Bean, Keiko bagaikan makhluk dari planet lain dan dipaksa untuk menyertai rutin manusia lain.

Keiko susah untuk menerima pegangan bahawa manusia boleh menjadi pemilik tubuh dan jiwanya. Bagaimanakah seseorang harus menyerahkan “kepunyaannya” kepada orang lain? Adakah setiap manusia dimiliki oleh masyarakat sejak azali atau seseorang individu tidak sepenuhnya berhak menjadi pemilik diri sendiri? Adakah perasaan dan fikiran yang bebas hanyalah satu lagi pendustaan retorik oleh golongan intelektual silam?

Lain pula kes yang ditanggung oleh Shiraha. Lelaki itu berasa seperti lumpuh untuk memikul harapan dan tuntutan daripada masyakat, malah selalu mengelak daripadanya, khususnya sikap stereotaip yang perlu dipegang oleh seorang lelaki: gagah, rajin dan memiliki banyak duit. Disebabkan tekanan itu, dia kian selesa menyembunyikan diri di dalam rumah Keiko, lalu bermalas-malasan seenak hati bagaikan dewa dengan makanan yang tersedia. Alasan kolot yang digunakan oleh Shiraha hanyalah datang daripada sikap pasifnya. Lelaki toksik itu tidak akan menemui sebuah tempat persembunyian di dunia untuk hidup dengan melepaskan diri selama-lamanya daripada ikatan tanggungjawab sosial. Masyarakat tetap terus memburu, menghukum serta mempersoalkan kegagalannya sebagai seorang lelaki. Keiko yang bekerja dengan penuh komited di pasar raya (dipandang sebelah mata oleh Shiraha) tidak mungkin berkompromi dengan berbahagi hasil pendapatan kepada lelaki pemalas seperti Shiraha.

Anggaplah kisah ini sebagai simbolisme dan kiasan realiti masyarakat, sebagai teks sastera, Convenience Store Woman berada dalam wilayah yang tersendiri. Ditulis oleh pengarang yang tidak mahu disejajarkan dengan makhluk lain. Kisahnya mengekspresikan dilema peribadi yang mengurung diri sebagai objek aneh dalam kelaziman masyarakat. Protagonis melihat masyarakat sekeliling sebagai korban dalam masyarakat, sementara mereka di sekeliling menganggapnya tersisih daripada lingkungan manusia biasa. Ketika Keiko dihina dan dimalukan oleh Shiraha sebagai wanita yang sudah tiada nilainya, Keiko tidak menunjukkan sebarang reaksi marah atau tersinggung. Keiko sendiri, yang hidup nokturnal dan polos, tidak arif untuk meluahkan pandangannya sendiri berhubung permasalahan manusia.

Kalau naskhah ini melawan arus kehidupan sosial, mustahil hal ini sekadar berlaku di alam sureal, kerana hal ini tetap benar dalam dunia nyata. Sesuatu yang tidak mampu dinafikan kerana sifat manusia itu sendiri sesungguhnya rumit, kerana tidak diperbuat daripada logam dan besi seperti robot kawalan. Berada pada zaman yang kononnya dianggap serba canggih dan berbudaya tinggi, masih sahaja berlaku insiden pembunuhan, memburuk-burukkan orang yang dicemburui, menipu, merampas hak milik pihak lain, dan pelbagai perbuatan negatif, kerana sudah namanya mereka manusia. Spesies yang sukar diduga, luar dalamnya. Subjek yang disoroti oleh Sayaka Murata bukanlah lagi hal tabu. Apabila subjek seberat itu dijadikan asas naratif, hal itu benar-benar meletupkan ketenangan sastera.

Di sebalik popularitinya, sejujurnya Convenience Store Woman sebuah kisah yang sederhana.

Novel Convenience Store Woman menyingkap tirai kisah persendirian manusia yang sebelum ini tidak didedahkan secara serius. Bayangkan cerita tentang pekerja wanita separuh masa di pasar raya (sememangnya pengarang sendiri pernah bertugas 18 tahun di pasar raya), berusia 36, naif dan tidak mengerti. Bagaimanakah sistem yang menetapkan orang untuk menjadi manusia normal (sebahagian daripada masyarakat)? Manusia langsung tidak berhak untuk memiliki diri mereka sendiri sebaik sahaja berada dalam kelompok masyarakat. Hanya dengan menyerahkan diri dan jiwanya kepada pasar raya, barulah Keiko merasakan hidup memasuki relung kemasyarakatan. Namun begitu, hal itu lebih menjadikannya menderita kerana menyarung topeng palsu.

Novel Convenience Store Woman terbit tepat pada masanya. Novel ini berbeza sama sekali dengan konflik eksistensialisme yang memandu watak utama, Mersault dalam The Stranger karya Albert Camus, ke lingkaran labirin. Convenience Store Woman menampilkan suara dalaman manusia yang terkurung dalam jasad individu. Adakah dengan meleburkan diri dengan corak dan pola kehidupan biasa dalam masyarakat (misalnya menjalinkan percintaan, berkahwin, berhubungan intim dan keluar mengundi untuk pilihan raya umum) melayakkan seseorang itu dinilai sebagai manusia? Mengapakah dan apakah hak dunia luar menagih dalaman manusia untuk bergabung dengan masyarakat? Itulah topik yang terpendam di sebalik wajah murni Keiko yang tidak dimengerti oleh sesiapa pun. Dia dianggap tersasar, dipandang bukan sebagai manusia dan kosong tanpa emosi.

Berbalik pada perenggan pembukaan, adapun watak manusia memakan daging manusia yang disebutkan itu, dipetik daripada cerpen “Life Ceremony” (terkumpul dalam antologi cerpen dengan tajuk yang sama, 2019). Sebagaimana pelik dan provokatifnya novel yang diulas, cerpen itu tidak kalah kesannya tentang takrifan normal manusia di mata pengarangnya. Cerpen itu merobek sudut pandangan umum, malah di tangan Sayaka Murata, tubuh manusia menjadi pelbagai lapisan entiti. Sebagaimana bertentangannya dengan tatatertib penulisan sastera, watak-watak fiksyen rekaan Sayaka Murata cuba melepaskan (secara sureal atau nyata) lilitan hukuman masyarakat. Di situlah dia bernyawa sebagai pemilik diri sendiri, tidak terikat dengan norma masyarakat dan menyerah kepada sistemnya.

U-Wei Haji Shaari menerusi filem Buai Laju-laju menuliskan dialog yang dilafazkan oleh aktor Eman Manan, ‘‘Hidup ini senang, orang yang selalu menjadikannya susah.” Betapa rumitnya hidup dalam sistem yang diatur oleh masyarakat, dengan segala jebakan helah dan birokrasinya. Sayaka Murata, melalui novelnya secara tidak langsung meninggalkan mesej yang jelas: alangkah anehnya untuk menjadi manusia normal seperti anda di luar sana. Manusia telah terikat di tengah-tengahnya. Sebagaimana pergolakan emosi yang menghimpit watak utama dalam novel Kokoro Natsume Soseki, Convenience Store Woman pasti akan disenaraikan dalam kumpulan karya klasik moden dan dibaca daripada generasi kepada generasi kerana isu universalnya.

Baca Bahagian Pertama Refleksi |

_________________________

Roslan Jomel berasal dari Kuching dan kini menulis di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.  Sebagai pengarang autodidact, beliau menghasilkan esei, puisi dan cerpen. Karya-karyanya boleh dibaca dalam pelbagai media arus perdana dan dalam talian. Sehingga kini, Roslan Jomel telah menerbitkan tujuh kumpulan cerpen, sebuah kumpulan puisi dan terkini, kumpulan esei berjudul Oksigen.

Kredit Foto: Max Omen/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi