Diterbitkan pada 25 Julai 2025, 13:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Roslan Jomel menemui pengarang wanita Jepun yang sedang menjadi bualan dunia sastera, Sayaka Murata, dan novelnya, Convenience Store Woman.

Meiko Kawakami, Banana Yoshimoto, Hiromi Kawakami – dan kini masanya, seorang lagi pengarang wanita Jepun menakluki persada dunia kesusasteraan.

‘‘Sepertinya menjadi manusia adalah masalah buat manusia ~ Iksan Skuter

Dalam filem seperti Cannibal Holocaust (1980) dan The Silence of the Lambs (1991), adegan pelakon menikmati daging dan organ daripada tubuh manusia sudah tentu menimbulkan kontroversi dan ketidakselesaan dalam kalangan audiens. Hal itu dianggap sebagai psikopat, sadis, pagan, kejam, dan sudah melewati norma ketamadunan manusia. Akan tetapi, bagaimana jika perkara sedemikian terakam dalam naskhah karya kreatif? Manusia-manusia yang hidup menikmati setiap anggota tubuh (dijadikan masakan dengan pelbagai bumbu) pada hari kematian sebagai tanda penghormatan dan bertujuan melahirkan lebih ramai spesies di muka bumi?

Jika Han Kang pada tahun 2007 mengedutkan keselesaan pembaca karya sastera melalui The Vegetarian (antidaging), impak subversif itu seakan-akan diruncingkan lagi oleh penerokaan psikologi dalam naskhah Sayaka Murata. Nilai manusia dan takrifan klasik kemanusiaan dipersoalkan hingga ke akar umbi. Benar, perspektif kedua-dua buku itu bercirikan emosi kewanitaan (Timur), namun kekuatan naratif mereka berdua melepasi tahap maksimum. Kedua-duanya bukan lagi percubaan ala The Strange Case of Dr. Jekyll and Mr. Hyde, basa-basi dan amatur, tetapi memaklumkan kepada dunia, inilah suara khusus (idiosinkratik) kepengarangan yang menyerlahkan semangat kebebasan peribadi untuk menghancurkan stigma basi fiksyen semasa.

Sayaka Murata (Sumber: Hreinn Gudlaugsson)

Meiko Kawakami, Banana Yoshimoto, Hiromi Kawakami – dan kini masanya, seorang lagi pengarang wanita Jepun menakluki persada dunia kesusasteraan. Abaikan jalur aliran dan teknik penulisan yang berkaitan dengan kesusasteraan Jepun kontemporari. Sebagaimana yang ditulis oleh Pilar Marrero (dalam laman sesawang American Community Media), jangan ungkapkan lagi realisme magis (aliran itu sudah ketinggalan zaman), kini para pengarang (Amerika Selatan) memanipulasi imaginasi dan fantasi untuk menjelaskan senario dunia di sekeliling mereka. Haruki Murakami sendiri mengatakan, realisme magis hanya gaya penulisan. Tidak lebih daripada itu. Teknik dan aliran penulisan tidak penting, apa yang menjadi tunjang pada naskhah itu ialah isi cerita dan wacana serta impak yang ditinggalkannya.

Setelah membiarkan novel Convenience Store Woman terperosok dalam timbunan buku (berbulan-bulan tidak disentuh), entah bagaimana, saya didorong untuk menyelak, dari satu helai hingga ke beberapa helai halaman seterusnya. Kurang ajar! Novel ini sebuah naskhah yang jujur, unik, tersendiri, spesifik, dan paling mustahak – suatu struktur kerja penulisan yang benar-benar menggoncang skema kelaziman dalam norma kesusasteraan. Amat drastik. Novel ini disampaikan dengan agak bersahaja dan tidak berlebih-lebihan. Mencengangkan. Malah, indah dan pelik. Liku-liku dan kemusykilan jati diri manusia dilorotkan satu demi satu. Pembaca akan tersentak bertanya: “Manusia atau bukan akukah dalam jasad ini?”

Lupakan karya monumental Franz Kafka, The Metamorphosis, Sayaka Murata melalui novel ke sepuluhnya, Convenience Store Woman (terbit pada tahun 2016) menghidangkan kisah moden yang lebih mengharukan tentang kompleksiti perkembangan biologi seseorang manusia. Novel ini membawa suatu isu rumit dan bersifat peribadi. Tulisan Sayaka Murata bagai menentang standard sosial masyarakat. Convenience Store Woman, sebagaimana dinyatakan oleh Susie Mesure, mendedahkan kemustahilan dan kemunafikan pelbagai kepercayaan konvensional, malah setiap hal yang dianggap aneh, eksentrik dan tidak masuk akal, hanyalah datang dari sudut pandang seseorang. Sastera menguak luas mediumnya kepada keganjilan-keganjilan jiwa manusia.

Pandangan biasa sebuah toko barang runcit (tetapi bukan di Jepun). (Sumber: Chase Yi/Unsplash)

Novel tentang rutin kehidupan bekerja dalam pasar raya hanya membosankan dan mendatar tanpa disuntik oleh elemen-elemen sampingan. Keiko Furukura (protagonis) yang teraba-raba tentang haluan seksualitinya, ikatan dengan masyarakat, malah buta manipulatif terhadap jantina berlainan, dipertemukan dengan lelaki parasit, Shiraha. Kewujudan lelaki bermasalah itu menggugat perkembangan watak utama dalam menganalisis situasi dirinya. Sejauh manakah dia perlu melibatkan diri dalam masyarakat? Para pelanggan yang singgah dan membeli di pasar raya tempat Keiko bekerja membentuk jambatan sosial untuknya belajar sedikit demi sedikit tentang hidup bermasyarakat. Di situlah Keiko dilahirkan semula sebagai manusia, berkata-kata, memberikan reaksi dan berkomunikasi, dalam seragam pekerja pasar raya, dan terdampar dalam fabrik sosial yang lebih rencam dan berserabut.

Baik Shihara mahupun Keiko, kedua-duanya bergelut dengan kehendak masyarakat dan menjalani hidup menurut sistem yang sudah lama diterapkan. Bagi Shiraha, tanggungjawabnya sebagai seorang lelaki lebih mendesak dengan imej maskulin yang sekian lama diwajibkan dalam susunan masyarakat. Andai dia gagal memainkan peranan sebagai seorang lelaki yang disyaratkan oleh norma kekeluargaan, dia dianggap lemah, abnormal, tidak kompetitif, dan diumpat saudara-mara malahan jiran. Hal-hal sedemikianlah menyulut krisis peribadi buat manusia yang ingin lari (bebas) daripada hukuman dan adat kebiasaan masyarakatnya.

Meskipun masyarakat moden bicara soal individualisme, mereka yang berbeza harus bersedia untuk dicampuri urusannya, ditekan, dan akhirnya diasingkan.

Keiko memilih untuk menjalani hidup dan tidak mempedulikan tanggapan serong masyarakat sekelilingnya. Bagi Keiko, jalan itulah jalan yang ditentukannya – menjadi diri sendiri. Namun dari kaca mata masyarakat umum, Keiko bagaikan manusia lain walaupun daripada spesies yang sama. Dia tidak memiliki pekerjaan tetap yang bergaji lumayan, hidup mengasingkan diri dan belum pernah melakukan hubungan seks dan berkeluarga. Perkara sebegitu bersengkang dengan kebudayaan dalam pembinaan kemanusiaan. Tidak menghairankan apabila Shiraha melontarkan dialog: “Meskipun masyarakat moden bicara soal individualisme, mereka yang berbeza harus bersedia untuk dicampuri urusannya, ditekan, dan akhirnya diasingkan.”

Jika wanita tipikal lain, sudah lama mereka mencampak keluar biawak hidup sepertinya dari rumah sempit mereka. Dalam hal Shiraha, dia mempergunakan kenaifan dan ketulusan hati Keiko demi kesenangannya sendiri. Di dalam pasar raya, dengan bekerja di situ, perlahan-lahan Keiko beradaptasi dengan aneka sifat dan gaya manusia. Akan tetapi, setelah dia mula memahami fitrah manusia dan mempraktikkannya kepada masyarakat sebenar, Keiko masih belum memahami peranan yang disumbangkannya sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat. Dunia luar tidak selari dengan apa-apa yang difahaminya. Pemikiran dan sikap Shiraha tambah membingungkannya tentang beban sebagai ahli masyarakat. Apakah dengan mengahwini lelaki seperti Shiraha meninggikan darjatnya? Atau, adakah dia bakal menjadi alat kepada telunjuk masyarakat?

Baca Bahagian Kedua Refleksi |

_________________________

Roslan Jomel berasal dari Kuching dan kini menulis di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.  Sebagai pengarang autodidact, beliau menghasilkan esei, puisi dan cerpen. Karya-karyanya boleh dibaca dalam pelbagai media arus perdana dan dalam talian. Sehingga kini, Roslan Jomel telah menerbitkan tujuh kumpulan cerpen, sebuah kumpulan puisi dan terkini, kumpulan esei berjudul Oksigen.

Kredit Foto: Max Omen/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi