Oleh Karmila Azmi
5 Oktober 2023, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oslo – Siapa bakal diumumkan sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan tahun ini? Seperti mana kebiasaan sebelumnya, nama pengarang Jepun Haruki Murakami tidak pernah ketinggalan.

Namun seperti mana sebelumnya, nama Murakami hanya akan tinggal dalam senarai bakal calon. Mungkinkah kali ini Murakami bakal menerima penghormatan berprestij itu?

Selain Murakami, pencalonan kali ini turut hangat dengan nama seorang pengarang China kurang popular dalam kalangan pembaca antarabangsa, iaitu Can Xue, 70.

Xue disebut-sebut sebagai satu daripada calon kegemaran yang akan meraihkan penganugerahan itu. Selain Xue, dua lagi pengarang yang disebut-sebut berpotensi untuk menjadi pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan kali ini ialah pengarang Norway, Jon Fosse dan pengarang asal Australia, Gerald Murnane.

Di gelanggang penerima taruhan, dua lagi nama yang hangat diperkatakan ialah penulis Rusia, Lyudmila Ulitskaya, manakala beberapa nama lain seperti penulis Romania Mircea Cartarescuthe, penulis Kenya, Ngugi Wa Thiong’o selain Thomas Pynchon (Amerika Syarikat) dan Cesar Aira (Argentina). Antara mereka yang turut mendapat pertaruhan termasuklah penulis Perancis, Michel Houellebecq.

Namun begitu, sebahagian besar nama calon yang diperkatakan itu cukup dikenali pembaca antarabangsa, terutamanya Murakami dan Ngugi Wa Thiong’o. Bagaimana pula dengan Xue? Mengapakah namanya tiba-tiba muncul?

Xue atau nama sebenarnya Deng Xiaohua, sebelum ini pernah berada dalam senarai panjang Hadiah Booker Antarabangsa menerusi karyanya, Love in the New Millennium (2013), yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris oleh Annelise Finegan Wasmoen pada tahun 2018. Sebuah lagi terjemahan karyanya, kumpulan cerpen I Live in the Slums, yang disusun dan diterjemahkan dalam bahasa Inggeris oleh Karen Gernant dan Chen Zeping pada tahun 2020.

Xue kerap dirujuk sebagai penulis eksperimental avant garde. Beliau kini disebut-sebut sebagai “Kafka dari China”.

Buku pertamanya diterbitkan pada 1991 sebelum buku Dialoques in Paradise yang diterbitkan semula pada tahun ini selepas beberapa semakan dikatakan melanggar tradisi kesusasteraan China klasik.

Berbanding penerima Hadiah Nobel dari China sebelum ini, Mo Yan, Xue sebenarnya agak dikenali di Eropah. Novel terjemahannya dalam bahasa Sweden, Love in the New Millennium, dilancarkan di Sweden dengan terjemahannya dibuat oleh Anna Chen, penterjemah yang sama menterjemah karya-karya Mo Yan.

Mungkin kerana banyak karyanya mudah diakses di pasaran Eropah, memudahkan laluan Xue. Beliau lebih dikenali di sana apatah lagi novel berkenaan disenarai pendek dalam Hadiah Sastera Terjemahan Sweden.

Jadi, adakah tahun ini kita akan melihat seorang lagi pengarang China dinobatkan sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan selepas Gao Xingjian (2000) dan Mo Yan (2012)?

Hal ini tidak mustahil kerana pemenang tahun lalu, Annie Ernaux juga merupakan nama “panas” dalam gelanggang penerima taruhan.

Kredit Foto: Yiqun Tang/Unsplash

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.