Oleh Karmila Azmi
15 Mac 2023, 14:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tokyo – Penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan kelahiran Jepun, Kenzaburo Oe meninggal dunia pada usia 88 tahun.

Penerbitnya, Kondasha Ltd. berkata, Oe meninggal dunia pada 3 Mac lalu. Walau bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai pemergian dan pengebumiannya tidak dimaklumkan.

Selain dikenali sebagai novelis, Oe turut lantang memperjuangkan idea antinuklear dan pencinta kedamaian.

Oe dianugerahi Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun 1994 dan menjadi pengarang kedua dari Jepun yang menerimanya selepas Yasunari Kawabata pada tahun 1968.

Akademi Sweden dalam laporan penganugerahan antara lain menyebut, Oe menggunakan daya puitis untuk menggambarkan kesusahan manusia.

Keupayaan itu disebabkan oleh pengalaman peribadinya sendiri mengharungi peperangan dan kelahiran anak lelaki yang kurang upaya mental pada tahun 1963.

Susulan dari itu, naskhah berjudul A Personal Matter (1964) diterbitkan setahun kemudian yang merakamkan pengalaman peribadi Oe yang berhadapan dengan kelahiran anak lelakinya itu, Hikari Oe.

Namun begitu, secara umum, kebanyakan karya Oe diwarnai oleh kenangan zaman kanak-kanak ketika era penjajahan Amerika. Hal ini boleh dilihat dalam naskhah The Catch yang menceritakan pengalaman kanak-kanak kampung yang berhadapan dengan juruterbang warga Amerika yang ditembak jatuh di kampungnya.

The Catch yang terbit pada tahun 1957 ditulis ketika Oe masih menuntut di universiti, memenangi hadiah sastera prestij Jepun, Hadiah Akutagawa.

Oe juga pernah menulis naskhah buku fiksyen mengenai pengeboman Hiroshima dan Okinawa sesudah penjajahan Amerika.

Oe yang lahir pada 31 Januari 1935 di pulau selatan Jepun, Shikoku, ialah graduan Universiti Tokyo dalam bidang Kesusasteraan Perancis. Justeru, ketika menerima Hadiah Nobel, Akademi Sweden turut menuliskan, walaupun masih mengekalkan citra Asia, Oe turut dipengaruhi oleh karya pengarang Barat seperti Poe, Dante, Balzac, Eliot, dan Sartre.

Kredit Foto: China.org.cn/Facebook

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.