Oleh Karmila Azmi
6 Oktober 2023, 07:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Stockholm – Pengarang Norway, Jon Fosse dinamakan sebagai penerima Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan 2023 seperti yang diumumkan oleh Akademi Sweden semalam.

Akademi Sweden sewaktu mengumumkan keputusan itu menyebut, Fosse diangkat sebagai penerima tahun ini atas karya drama dan prosa inovatifnya yang memberikan suara pada pelbagai perkara yang tidak boleh dilakukan.

Kebanyakan karya Fosse yang dikenali oleh pembaca antarabangsa merupakan terjemahan dalam bahasa Inggeris dan selainnya kerana beliau menulis dalam bahasa Norway.

Selain dikenali sebagai novelis dan dramatis, Fosse yang dilahirkan di Haugesund, Norway pada 29 September 1959 turut menulis cerpen, buku kanak-kanak, puisi, dan esei.

Fosse dalam reaksinya sejurus pengumuman itu menyebut, beliau sangat terharu dan bersyukur.

“Saya melihat pilihan ini sebagai anugerah kepada sastera yang tujuannya hanya untuk seni tanpa pertimbangan lain,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Penerbitan Samlaget.

Kemunculan Fosse dalam arena kesusasteraan bermula dengan novel Raudt, svart (Merah, Hitam) pada tahun 1983. Karya lain beliau yang turut mendapat perhatian termasuklah novel Melancholia I (1995) atau Melancholy, Det andre namnet – Septologien I-II (2019) atau The Other Name: Septology I-II, Eg er ein annan – Septologien III-V (2020) atau I Is Another: Septology III-V, Eit nytt namn – Septologien VI-VII (2021) atau A New Name: Septology VI-VII, dan drama Eg er vinden (2007) atau I Am the Wind.

Baca tentang Jon Fosse dan karya-karyanya.

Kredit Foto: Tom A. Kolstad/Def Norske Samlaget

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.