Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAdib MN melaporkan beberapa ramalan nama calon untuk Hadiah Nobel Kesusasteraan 2025 dan beberapa kontroversinya, selain harapan untuk negara kita.
Memilih nama baharu umpama pertaruhan sebenarnya kerana bagaimana jika dalam tempoh dua dekad nanti, mereka menulis karya buruk atau mengalami kebuntuan menulis?
Sekali lagi kita akan meraikan anugerah paling berprestij dalam susastera apabila pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan bakal diumumkan oleh Akademi Sweden, esok kira-kira jam 7.00 malam waktu tempatan.
Seperti biasa, menjelang pengumuman yang bakal dilakukan, Setiausaha Akademi Sweden yang turut disiarkan secara dalam talian di laman web rasminya, banyak nama sasterawan dan pengarang disebut-sebut mengungguli hadiah yang bernilai AS$1.2 juta (RM5 juta) ini.
Agensi berita AFP mengemukakan tiga nama yang berpotensi, iaitu novelis aliran pascamoden Switzerland, Christian Kracht dan dua pengarang Australia, Gerald Murnane serta Alexis Wright.
Pengkritik budaya radio Sveriges, Lina Kalmteg dalam wawancaranya dengan AFP menyebut dengan nada sinikal bahawa Ahli Akademi Sweden boleh membuat keputusan dengan “hati nurani jelas” kerana mereka sudah memilih wanita bukan Eropah pada tahun lalu.
Kalmteg merujuk kemenangan pengarang Korea Selatan, Han Kang mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama merangkul hadiah berkenaan.
Oleh itu, antara nama yang diramalkan ialah Kracht; penulis Hungary Lászlo Krasznahorkai dan Peter Nadas serta penulis Romania, Mircea Cartarescu.
Sementara itu, Editor Budaya Dagens Nyheter, Bjorn Wiman menganggap bahawa Kracht yang juga pengarang aliran pascamoden dalam bahasa Jerman dan menulis mengenai budaya pop serta konsumerasisme, sebagai calon kegemaran dalam lingkungan sastera Eropah.
“Pada Pesta Buku Gothenburg tahun ini yang diadakan beberapa minggu sebelum pengumuman Nobel, ramai ahli Akademi Sweden hadir dan duduk di barisan hadapan semasa acaranya.
“Hal ini biasanya menjadi petanda kuat, seperti yang pernah berlaku ketika Elfriede Jelinek dari Austria memenangi hadiah berkenaan pada tahun 2004,” kata Wiman yang mewakili akhbar tempatan, seperti yang dipetik oleh AFP.
Ramalan pengarang dari Eropah mungkin juga berpunca daripada cara penilaian dan pemilihan pemenang oleh Akademi Sweden yang ada kalanya akan kembali kepada nama-nama dari Eropah atau Amerika Syarikat (AS) selepas memilih nama dari luar benua itu.
The Washington Post pula memetik pandangan wartawan dan novelis Sweden, Jens Liljestrand yang meramalkan pemilihan kali ini akan berunsurkan “komersial”, iaitu pengarang bertaraf Hadiah Booker.
Liljestrand menjangkakan bahawa Akademi Sweden sudah mempunyai senarai sasterawan dan dianggarkan lapan nama dengan penambahan satu atau dua nama setiap tahun kerana ahlinya tidak mempunyai masa untuk membaca karya belasan nama secara tahunan.
“Nama itu akan dikeluarkan jika sasterawan terbabit memenangi hadiah, meninggal dunia atau menghasilkan karya yang terlalu buruk hingga perlu disingkirkan daripada senarai. Namun, boleh dikatakan hal itu hampir tidak berlaku kerana pengarang terbabit biasanya tidak menulis sesuatu yang teruk, bahkan jarang menerbitkan buku baharu,” katanya.
Liljestrand berkata, apabila tiba musim anugerah, jawatankuasa biasanya memilih nama daripada sasterawan veteran daripada senarai panjang itu, seperti yang berlaku dalam pemilihan Gunter Grass (pada 1999) atau Patrick Modiano (2014) atau daripada nama baharu umpamanya Ishiguro dan Orhan Pamuk.
“Sasterawan veteran memberikan wibawa dan reputasi kukuh, manakala wajah baharu menyuntik tenaga segar. Namun begitu, ‘baharu’ bersifat relatif tetapi pengarang berkenaan sekurang-kurangnya perlu berusia dalam lingkungan 50-an.
“Memilih nama baharu umpama pertaruhan sebenarnya kerana bagaimana jika dalam tempoh dua dekad nanti, mereka menulis karya buruk atau mengalami kebuntuan menulis?
“Apapun, saya rasa Akademi Sweden semakin kerap melakukannya kerana mereka tidak mahu anugerah itu akhirnya menjadi pengiktirafan sepanjang hayat,” katanya.
“Faktor lain yang perlu diberikan perhatian,” kata Liljestrand, “ialah geografi kerana anugerah itu bertukar-tukar antara Eropah dengan benua lain.”
Justeru, berdasarkan model itulah, Liljestrand meramalkan penerima pada tahun ini ialah “sasterawan yang sudah ada dalam senarai panjang”, iaitu penulis lelaki berumur yang berkemungkinan besar adalah dari Eropah.
“Jika bukan dari Eropah, calon mungkin dari Amerika Selatan atau Australia tetapi tidak Asia, Afrika dan Amerika Utara,” katanya.
Beliau menamakan calon berpotensi seperti pengarang Sepanyol, Enrique Vila-Matas, diikuti oleh Cesar Aira (Argentina) dan Gerald Murnane (Australia).
Walau bagaimanapun, pemilihan pemenang Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan kekal sebagai spekulasi kerana Akademi Sweden tidak pernah mengeluarkan sebarang senarai pendek atau panjang yang rasmi, manakala perbincangan panel yang menilainya dirahsiakan selama ini.
Namun sepanjang sejarah penganugerahannya, Hadiah Nobel Kesusasteraan tidak sunyi daripada kontroversi …
Namun begitu, sejak Akademi Sweden dilanda skandal seks pada tahun 2018 yang mengakibatkan anugerah itu ditangguhkan, struktur pencalonannya sudah sedikit terbuka.
Pada tahun 2019, klip video wawancara dengan Pengerusi Jawatankuasa Nobel di Akademi Sweden, Anders Olsson disiarkan di YouTube Nobel Prize, sebelum nama penerimanya diumumkan .
Olsson dalam klip video berjudul “How is the Nobel Prize in Literature decided?” mendedahkan pihaknya menerima sekitar 200 pencalonan dari seluruh dunia setiap tahun dengan proses penilaian bermula awal bulan Februari dan menapisnya kepada lapan pengarang pada tahun itu yang diterima oleh pihak akademi sebelum cuti musim panas, sekali gus memberikan kesempatan untuk mereka membaca karya pengarang dalam senarai pendek ketika musim panas dan memilih dua pemenang pada tahun berkenaan.
Pada tahun itu, sasterawan Poland, Olga Tokarczuk diumumkan memenangi hadiah edisi 2018, manakala Peter Handke dari Austria untuk tahun semasa.
Namun sepanjang sejarah penganugerahannya, Hadiah Nobel Kesusasteraan tidak sunyi daripada kontroversi, bukan sahaja skandal seks itu, bahkan pengumuman nama yang mengejutkan banyak pihak, selain dikaitkan dengan elemen politik. Bagi yang mahu meneliti isu-isu panas yang berlaku, bolehlah cuba membaca buku The Noble Prize: A History of Genius, Controversy and Prestige karya Burton Feldman yang mengesahkan “sangkaan” lingkungan sastera bahawa penilaian dan penobatannya tidaklah “murni” sastera.
Tidak hairanlah nama seperti Leo Tolstoy, Mark Twain dan Henrik Ibsen yang sudah pastinya tidak memerlukan pengenalan lagi, tetapi tidak menerima Hadiah Nobel Kesusasteraan, manakala T.S. Eliot serta Hemingway pula dinobatkan pada hujung usia mereka, bukan ketika berada pada zaman kemuncak mereka.
Walau bagaimanapun, tidak ada salahnya untuk kita bermimpi untuk menerima pengkhabaran bahawa sasterawan tanah air mengungguli Hadiah Nobel Kesusasteraan. Cuma yang silapnya ialah kita tidak ada perancangan strategik dan pendanaan yang mencukupi untuk mengangkat karya kesusasteraan Malaysia ke pentas dunia, termasuk melalui penterjemahan, pemasaran dan perbincangan ilmiah.
______________________________
Adib MN ialah eseis dan pengarang kreatif yang mengamati sastera dari jarak dekat.