Diterbitkan pada 10 Oktober 2025, 17:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Karmila Azmi menampilkan beberapa kekhuatiran terhadap Hadiah Nobel Kesusasteraan sejak anugerah berprestij ini diperkenalkan pada tahun 1901.

Dalam konteks Hadiah Nobel Kesusasteraan beberapa tahun terakhir ini pula, semakin banyak gesaan supaya Hadiah Nobel lebih inklusif terhadap penulis yang terpinggir atas faktor bangsa, jantina atau latar geografi.

Apa-apa sahaja bentuk pengiktirafan, selalu saja ada yang tidak kena di mata sesetengah individu. Dalam konteks penganjuran Hadiah Nobel, segmen Kesusasteraan dan Keamanan sering dikritik kerana dikatakan terlalu dipengaruhi oleh pertimbangan politik.

Ada yang mempersoalkan sama ada pemilihan pemenang benar-benar berdasarkan mutu dan sumbangan sebenar, atau kerana karya mereka sejajar dengan pandangan politik ahli jawatankuasa pemilihan.

Namun demikian, Hadiah Nobel Kesusasteraan sering dilihat sebagai kemuncak pengiktirafan dalam dunia penulisan, malah dengan tanggapan bahawa anugerah ini bukan sekadar anugerah, tetapi suatu bentuk legitimasi global, namun masih tidak bebas daripada kontroversi.

Hal ini jelas dalam pandangan Pengarang Perancis, Jean-Paul Sartre, yang menolak anugerah itu pada tahun 1964, kerana tidak mahu penulisannya dikaitkan dengan sebarang bentuk institusi rasmi.

Baginya, pengiktirafan sebegini boleh mengganggu kebebasan intelektual seorang penulis.

Pengarang Rusia, Boris Pasternak juga menolak Hadiah Nobel Kesusasteraan namun penolakan itu dikaitkan dengan tekanan yang diterimanya daripada pihak berkuasa. Karyanya, Doctor Zhivago, diharamkan di negaranya sendiri dan hanya diterbitkan secara rasmi bertahun-tahun kemudian.

Umumnya, penolakan berlaku disebabkan prinsip antara karya dengan penulis. Ada yang berpandangan bahawa sastera harus dinilai berdasarkan mutu teks semata-mata, tanpa dipengaruhi oleh latar belakang atau pendirian peribadi pengarang.

Nilai karya terletak pada isi dan penyampaiannya, bukan pada kehidupan penciptanya. Maka, sekalipun penulis memiliki pandangan kontroversial, hasil karyanya tetap boleh diiktiraf sebagai berkualiti.

Namun hal ini bukanlah pandangan dominan, sebaliknya ramai yang berpendapat, apabila sesebuah karya dipilih untuk menerima anugerah berprestij seperti Hadiah Nobel, secara tidak langsung anugerah itu juga memberikan pengiktirafan kepada individu di sebalik karya itu.

Bukan sekadar Hadiah Nobel Kesusasteraan. Untuk segmen Hadiah Nobel Keamanan juga, seorang diplomat dari Vietnam, Le Duc Tho menolak Hadiah Nobel Keamanan yang diberikan kepadanya bersama-sama Henry Kissinger.

Beliau berpandangan bahawa anugerah itu tidak wajar diterima kerana keamanan yang sebenar belum tercapai ketika itu. Kedua-dua tokoh ini menunjukkan bahawa, bagi sesetengah individu, prinsip peribadi lebih penting daripada penghargaan antarabangsa.

Sementara itu, pemilihan mantan Presiden Amerika, Barack Obama yang menerima Hadiah Nobel Keamanan tidak lama selepas beliau dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat, turut dipersoal. Ramai pihak mempersoalkan pencapaian beliau pada ketika itu, dan menganggap bahawa anugerah itu lebih berdasarkan harapan terhadap kepimpinannya, bukannya hasil kerja yang nyata.

Dalam konteks Hadiah Nobel Kesusasteraan beberapa tahun terakhir ini pula, semakin banyak gesaan supaya Hadiah Nobel lebih inklusif terhadap penulis yang terpinggir atas faktor bangsa, jantina atau latar geografi. Ramai sasterawan dari dunia bukan Barat, khususnya negara membangun, menghasilkan karya bermutu tinggi, namun jarang-jarang diberi perhatian global.

Hal ini menimbulkan persoalan sama ada pengiktirafan itu wajar digunakan untuk memperbetulkan ketidakseimbangan sejarah dan membuka ruang pada suara yang selama ini disisihkan.

Situasi ini tentu saja tertuju pada matlamat pengiktirafan itu sendiri, yang bukan sekadar penghargaan terhadap seni bahasa, tetapi cerminan nilai sejagat seperti keadilan dan tanggungjawab moral. Oleh sebab itu, keupayaan untuk anugerah sebegini kekal bebas dan membawa perubahan bergantung pada kebijaksanaan pihak yang memilih dan tanggungjawab itu tentunya semakin kritikal dalam keadaan semasa.

_________________________

Karmila Azmi penulis bebas dan penyelidik sastera.

Kredit Foto: Alexander Van Steenberge/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi