Diterbitkan pada 11 Oktober 2024, 07:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Stockholm – Han Kang, pengarang wanita Korea Selatan ialah pengarang pertama dari negaranya yang dianugerahi Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan 2024.

Beliau juga merupakan pengarang wanita ke-18 yang berjaya merangkul anugerah berprestij itu.

Kemenangan beliau atas prosa puitisnya yang kental menghadapi trauma sejarah, dan mendedahkan kerapuhan kehidupan manusia.

Kemenangan Han Kang, 54 tahun itu diumumkan oleh Anders Olsson, Pengerusi Jawatankuasa Nobel, Akademi Sweden, petang semalam.

Kekuatan karya Han Kang dicirikan oleh pendedahannya terhadap kesakitan dan penyesuaian antara seksaan mental dan fizikal dengan hubungan rapatnya dengan pemikiran Timur.

Sebagai pengarang, Han Kang mempunyai kesedaran tersendiri tentang hubungan antara badan dengan jiwa, yang hidup dengan yang mati, dan dalam gaya puitis dengan gaya eksperimentalnya yang mencapai inovasi dalam prosa kontemporari.

Dilahirkan pada tahun 1970 di bandar Gwangju, Korea Selatan, Han Kang dan keluarganya berpindah ke Seoul ketika berusia sembilan tahun.

Oleh sebab bapanya seorang penulis terkenal, dengan sendirinya Han Kang berasal daripada latar belakang sastera.

Selain menulis, beliau juga mengabdikan diri kepada seni dan muzik, seperti yang tergambar dalam keseluruhan karya sasteranya.

Han Kang memulakan kerjayanya pada tahun 1993 dengan penerbitan beberapa buah puisi dalam majalah Sastera dan Masyarakat. Karya prosanya yang pertama terbit pada tahun 1995 menerusi koleksi cerpen berjudul Cinta Yeosu.

Tidak lama kemudian, muncul beberapa buah karya prosa lain, iaitu novel dan cerpen. Antara yang terkenal ialah novel Tanganmu yang Dingin (Your Cold Hands, 2002), yang jelas memaparkan minat Han Kang dalam seni.

Buku ini mengeluarkan semula manuskrip yang ditinggalkan oleh seorang pengukir yang hilang, yang begitu ghairah membuat tuangan plaster badan wanita. Ada minat yang mendalam terhadap anatomi manusia, dan permainan antara persona dengan pengalaman, apabila timbul konflik dalam karya pengukir, antara apa-apa yang didedahkan oleh tubuh dengan apa-apa yang disembunyikannya.

Hal itu dijelaskan menerusi catatan pada penutup buku tersebut, iaitu “Hidup ialah lembaran yang melengkung di atas jurang, dan kita hidup di atasnya seperti akrobat bertopeng”.

Kejayaan antarabangsa Han Kang yang besar diraih menerusi novelnya The Vegetarian (2007) yang ditulis dalam tiga bahagian.

Novel tersebut menggambarkan kesan buruk apabila protagonisnya, Yeong-hye enggan tunduk pada norma pengambilan makanan.

Kredit Foto: Yatt Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi