Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRamai yang mungkin tidak pernah sedar mengapa pemenang Hadiah Nobel untuk Kesusasteraan dipanggil dalam bahasa Inggeris sebagai “Nobel Laureate”. Azizi Ahmad meneliti sejarah dan asal usul istilah ini.
Perkataan Inggeris ‘laureate’ mula digunakan pada abad ke-15 dan ke-16, apabila dipinjam secara langsung daripada perkataan Latin, ‘laureatus’.
Apabila Hadiah Nobel dianugerahkan setiap tahun, penerima anugerah masing-masing menerima pingat dan hadiah wang. Walaupun dengan ketiadaan barangan material ini, penghormatan sebagai pemenang Hadiah Nobel kekal sebagai sebahagian daripada nama atau gelaran seseorang, seperti jolokan heroic yang mengiktiraf pencapaian si individu itu.
Penerimanya disebut sebagai “Nobel Laureate”. Dalam tradisi Barat, seorang penyair yang diangkat sebagai penyair khas naungan seorang raja disebut sebagai “poet laureate” atau penyair Diraja. Bagi Hadiah Nobel, urusan penganugerahan ini dijalankan oleh The Royal Swedish Academy of Sciences, yang dinaungi oleh institusi Raja Sweeden.
Perkataan Inggeris ‘laureate’ mula digunakan pada abad ke-15 dan ke-16, apabila dipinjam secara langsung daripada perkataan Latin, ‘laureatus’. Laureatus ialah kata sifat untuk menggambarkan seseorang yang dinobatkan dengan kalungan daun laurel. Akan tetapi, sejarah pohon laurel sebagai tumbuhan yang penting secara simbolik dalam Dunia Barat bermula beribu-ribu tahun dahulu.
Pohon laurel merupakan salah satu daripada beberapa pokok semak dan pokok kecil yang ditemui pada asalnya di kawasan Mediterranean. Sesetengah jenis tumbuh berpuluh-puluh kaki tinggi, selalunya dikenali dengan daun licin, kadangkala beralun, dengan buah beri dan bunga yang berbeza warna. Ramai orang akan mengenali daun aromatik yang panjang dan hijau ini sebagai daun bay, daun yang menjadi rempah yang popular dalam pelbagai masakan orang Barat.
Laurel ialah tumbuhan yang berguna. Pada zaman dahulu, tumbuhan ini banyak digunakan untuk merawat penyakit manusia.
Orang Rom mempunyai pelbagai kegunaan perubatan untuk laurel. Mereka menggunakan daunnya untuk mengubati gigitan ular dan menelannya sebagai emetik (ubat muntah). Mereka menggunakan beri laurel dalam pelbagai bentuk ubat sejuk.
Orang Yunani pula menggunakan Laurus nobilis atau tumbuhan bay laurel (laurel bay) dengan campuran daripada tumbuhan lain sebagai ubat untuk ruam. Bay laurel juga digunakan oleh orang Yunani purba sebagai antiseptik.
Namun begitu, laurel mempunyai penggunaan yang lebih terkenal, menjadi simbol agung dan terhormat dalam tamadun Barat purba: tangkai daun laurel disusun dan dicantum-cantum sebagai sebuah mahkota yang mahal ertinya.
Pemenang Mewarnai Laurel
Penyembah Dewa Apollo menganggap bahawa pohon laurel suci, sebagai objek penting bagi perantaraan antara manusia dengan dewa-dewa.
Walaupun ‘laurus’ ialah perkataan orang Rom untuk “tumbuhan yang ditanam”, idea untuk dinobatkan atau dikalungkan dengan laurel mungkin pertama kali datang daripada orang Yunani. Mereka mengaitkan tumbuhan ini, yang mereka panggil sebagai daphne dengan penyucian ritual dan inspirasi Ilahi.
Penyembah Dewa Apollo menganggap bahawa pohon laurel suci, sebagai objek penting bagi perantaraan antara manusia dengan dewa-dewa. Malah, daun laurel penting sebagai simbol ramalan para Dewa Yunani. Dalam sesetengah tradisi, seorang pythia (pendeta wanita) akan melafazkan hal masa depan (oracle) di Delphi, salah satu tapak paling suci pada era Tamadun Yunani Awal. Pendeta tersebut akan mengunyah daun laurel, yang berpotensi menimbulkan kesan halusinogen, sebelum menyampaikan ramalan.
Kisah asal cinta Apollo terhadap pohon laurel lebih mengancam. Dalam puisi “Metamorphoses” oleh penyair purba Rom, Ovid, diceritakan, Eros (dewa asmara orang Rom, sama seperti Dewa Cupid untuk orang Yunani) menghukum Apollo kerana mengejeknya. Maka, Eros membuat Appolo tergila-gilakan seorang bidadari perempuan muda bernama Daphne.
Appolo lantas mengejar Daphne dengan pelbagai pujukan rayu. Daphne terpaksa melarikan diri berulang kali daripada Appolo. Lantas, dia memohon bapanya, dewa sungai untuk bantuan. Dia mengubah anak perempuannya menjadi pohon laurel. Dengan itu, Daphne berjaya mengelak diri daripada Apollo dalam bentuk tubuh manusia, tetapi dia tetap tidak dapat melepaskan diri daripada menjadi milik sucinya. Appolo telah menjadikan pohon laurel sebagai tumbuhan sucinya yang dipuja dan ditatap sepanjang masa.
Walaupun cerita daripada puisi ini menerangkan pohon laurel sebagai tumbuhan suci Apollo, kesan kimianya dalam perubatan dan kuasa halusinasinya yang kuat terhadap minda manusia merupakan penjelasan yang lebih baik terhadap kaitan pohon itu dengan Apollo, dewa perubatan dan penyembuhan, muzik dan tarian, kebenaran dan ramalan, serta seni puisi.
Orang Yunani mengadakan acara Permainan Sukan Pythian di Delphi pada setiap dua tahun selepas Sukan Olimpik. Pada ketika mereka mengadakannya pada abad ke-6 Sebelum Masihi sebagai penghormatan kepada Dewa Apollo, mahkota laurel yang dikaitkan sebagai hadiah kurniaan daripada para dewa ditawarkan sebagai hadiah untuk pemenang. Mahkota ini dikalungkan di atas kepala setiap juaranya.
Permainan Sukan Pythian bukan seperti Olimpik. Sukan permainan ini bermula dengan pertandingan nyanyian, persembahan puisi dan tarian, dan kemudiannya berkembang dengan memasukkan pertandingan olahraga. Mahkota dedaun laurel dijadikan sebagai hadiah kepada pemenang demi menghormati Dewa Apollo. Tradisi ini kemudiannya turun ke dalam Tamadun Purba Rom, dan kemudian timbul kembali pada Zaman Pembaharuan (Renaissance) awal apabila mahkota laurel yang disebut sebagai mahkota pemenang ini dihadiahkan oleh pemerintah di Itali kepada para penyair, sarjana dan ahli sasterawan sebagai menghormati tempat dan kelas mereka dalam masyarakat pada masa itu.
Terdapat sebuah lagi kisah tentang daun laureatus yang perlu dikongsi. Pada era Yunani Purba, orang Yunani akan melakukan gencatan senjata dan memberikan laluan untuk temasya sayembara tahunan mereka. Contohnya, jika Sukan Olimpik akan diadakan, semua peperangan di setiap negara kota akan terhenti buat sementara waktu. Tradisi ini mungkin menjadi sebab mengapa orang Rom menggunakan Laurus delphica – pohon laurel yang berasal dari tapak suci Delphi sebagai simbol “keamanan” mereka. Mereka menghiasi pengumuman kemenangan yang dipanggil sebagai “surat pemenang” (litterae laureatae) dengan karangan bunga laurel.
Dalam pendidikan tinggi, perkataan ‘baccalaureate’ mengekalkan makna laureate, sebagai seseorang yang dihormati atau yang telah mencapai sesuatu. Istilah ini sinonim dengan ijazah sarjana muda, dan berasal daripada perkataan Latin zaman pertengahan.
Kebiasaannya bagi kita, istilah “pemenang” (laureate) hanya disebut sebagai pemenang Hadiah Nobel. Kamus Inggeris Oxford sendiri mendokumentasikan istilah laureate sebagai penerima Hadiah Nobel hanya pada tahun 1947 (Hadiah Nobel yang pertama berlangsung pada tahun 1901).
Walaupun istilah laureate relatif muda, sejarah asal usulnya memberikan makna yang sangat bererti terhadap penerimanya. Sebagai satu simbol kuno perubatan, simbol keunggulan seni dan simbol pendamaian, dedaun laurel pastinya sesuai dengan penghormatan Hadiah Nobel, baik dalam bidang kesusasteraan, perubatan, fizik, kimia, ekonomi, dan harapan manusia yang paling mendesak – keamanan.
Sumber Foto: Ilona Frey/Unsplash
_________________________
Azizi Ahmad seorang pembaca yang suka berkongsi pandangan dan pendapat. Beliau pernah menulis untuk Malaysia Kini.