Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangStockholm – Sewaktu nama Annie Ernaux diumumkan sebagai penerima Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan 2022, ramai yang mengerut dahi. Hal itu adalah kebiasaan kerana pasti sahaja ada yang tidak mengenal siapakah Ernaux.
Namun begitu, Ernaux membuktikan bahawa beliau layak untuk menerima penghargaan tertinggi kesusasteraan dunia itu kerana hampir semua 20 buku tulisannya dianggap berjaya. Beliau mempunyai pengikut yang ramai hinggakan setiap kali tampil dengan karya baharu, ia akan mendapat liputan luas.
Dalam ranah sastera antarabangsa, Ernaux dianggap sebagai pengarang yang jujur. Masakan tidak, ketika Perancis mengharamkan pengguguran, Ernaux merekodkan pengalaman peribadinya menggugurkan kandungan menerusi Happening.
Ernaux, kelahiran Normandy Perancis mungkin tidak begitu dikenali di Malaysia. Kita secara umum lebih mengenal pengarang serantau atau Timur Tengah, justeru apabila Ernaux dianugerahkan sebagai penerima Hadiah Nobel, namanya tiba-tiba mekar.
Namun berbanding karya fiksyen yang kita fahami, naskhah Ernaux sebenarnya merakamkan pengalaman peribadinya. Justeru, karya Ernaux lebih cenderung kepada autobiografi.
Jika anda membaca Happening misalnya, karya itu merekodkan bagaimana Ernaux yang ketika itu masih lagi bergelar mahasiswa cuba menggugurkan kandungannya. Walaupun diterbitkan pada tahun 2000, naskhah itu mengangkat latar 1960-an. Ketika itu, kerajaan Perancis mengharamkan pengguguran dan dilihat sebagai tindakan yang tidak bermoral.
Ernaux dalam satu laporan media menyebut, beliau menjadikan pengalaman peribadi yang dilalui sebagai sumber karya, sehinggakan beliau dianggap sebagai perintis genre “fiksyen autobiografi” (autofiction) di Perancis, iaitu tulisan berbentuk naratif yang menceritakan pengalaman kehidupan sebenar.
Ernaux muncul dengan novel pertama pada tahun 1974 dengan judul Les armoires vides, diikuti dengan La place, La Honte, Ce qu’ils disent ou rien, dan La Femme gelée. Beliau turut menyingkap rahsia peribadinya mengenai hubungan sulitnya dengan diplomat Rusia yang sudah beristeri menerusi naskhah Simple Passion. Naskhah itu menjuarai carta terlaris di Perancis sebaik dipasarkan dengan jualan 400 ribu naskhah. Ernaux turut merakamkan pengalaman ibunya yang menghidap Alzheimer dalam A Woman’s Story pada tahun 1988.
Kejujuran dalam bercerita mungkin resipi rahsia Ernaux, ditambah dengan kebanyakan novel tulisan beliau sebenarnya nipis dan ada yang tidak mencecah 100 halaman pun.
Malah untuk Ernaux sendiri, beliau pernah menyebutkan dalam satu acara sastera di New York sehari selepas diumumkan sebagai pemenang Hadiah Nobel, apa-apa yang penting untuk seorang penulis ialah kejujurannya berkarya, diikuti dengan tabiat membaca.
Kredit Foto: Mathias PR Reding/Unsplash & Facebook Nobel Prize