Oleh Karmila Azmi
9 November 2023, 14:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Paris – Bekas pengarah filem, Jean-Baptiste Andrea, 52, dinobat sebagai pemenang hadiah sastera utama Perancis, Goncourt, menerusi novelnya, Veiller sur elle (Watch Over Her).

Naskhah setebal 600 halaman itu yang mengangkat latar tahun fasis gelap Itali menceritakan kisah percintaan antara seorang pengukir dengan seorang wanita kaya.

Andrea bukan nama asing dalam kesusasteraan antarabangsa kerana dua karyanya sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Novel genre sejarahnya, A Hundred Million Years and a Day diterjemahkan pada tahun 2021, manakala Devils and Saints pula setahun selepas itu.

Sebelum dikenali sebagai pengarang, Andrea yang memulakan kerjaya sebagai penulis skrin merupakan seorang pengarah filem yang berwibawa. Antara filem arahannya yang diperkatakan ramai termasuklah Big Nothing (2006) yang dibintangi oleh pelakon David Schwimmer dan Simon Pegg.

Andrea mula mengarang novel ketika usianya mencecah usia 40-an dengan novel pertamanya terbit pada tahun 2017.

Veiller sur elle ialah novel keempat beliau.

Dalam satu temu bual pada bulan Oktober lalu, Andrea berkata beliau mahu menulis sesuatu yang lebih besar daripada apa-apa yang pernah ditulisnya sebelum ini.

Goncourt ialah hadiah sastera berprestij Perancis. Kemenangan dalam Goncourt bakal membawa peningkatan jualan pada karya pemenang.

Anugerah berprestij ini ditubuhkan pada tahun 1903. Antara pemenang sebelum ini termasuklah Michel Houellebecq, Marcel Proust, Simone de Beauvoir, dan Patrick Modiano yang kemudiannya dianugerahkan Hadiah Nobel Kesusasteraan 2014.

Kredit Foto: Académie Goncourt

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.