19 April 2021, 17:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bahasa dan persuratan dalam aspek falsafah dan epistemologi dapat dijadikan landasan dalam pembinaan tamadun. Itulah antara isi yang diucapkan oleh Pengerusi Lembaga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pengarah Institut Alam dan Tamadan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Sri Profesor Dr. Awang Sariyan dalam ucaptama Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ke-2 (SKPM2) di Rumah PENA pada 10 April yang lalu.

Beliau menyatakan, jika tidak melakukan sedemikian, maka bahasa dan persuratan hanya dianggap kegiatan rutin bagi golongan sastera yang tidak melibatkan sains, teknologi dan sebagainya.

“Namun begitu, menginsafi hak bahasa yang merupakan nikmat kurniaan Allah pada sekalian manusia, kita harus melihat bahasa dan persuratan yang demikian besarnya dalam pembinaan jati diri,” jelas beliau.

Beliau menggunakan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 31 untuk menjelaskan bahawa Allah mengisyaratkan kepentingan bahasa sebagai unsur pembinaan jati diri. Selain itu, Dr. Awang juga berkata bahawa ayat tersebut merupakan perkara yang dapat menggerakkan motivasi dan keaktifan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Dr. Awang menjelaskan, Allah mengurniakan setiap bangsa satu bahasa seperti yang terdapat dalam Surah al-Rüm ayat 22, yang menunjukkan kenyataan bahawa pelbagai bahasa juga merupakan sunnatullah, iaitu merupakan suatu ketetapan Allah. “Oleh itu, bangsa itulah yang wajib mengimarahkan, memakmurkan dan memajukan bahasa mereka,” tambah Dr Awang.

Walau bagaimanapun, beliau juga menyatakan perkara tersebut telah disedari dan diinsafi oleh bangsa-bangsa yang bukan Islam seperti negara Perancis. Menurutnya, walaupun mereka tidak mempunyai badan seperti DBP, mereka mempunyai sebuah badan bukan kerajaan yang diberikan amanah oleh kerajaan mereka untuk mengendalikan perancangan dan amanat bahasa dan persuratan.

“Bukan itu sahaja, badan tersebut juga diberi sedikit amanah dan wibawa untuk mengambil tindakan undang-undang, seperti terdapatnya berita pada beberapa tahun lepas bahawa badan tersebut mengenakan beberapa ribu euro kepada sebuah syarikat kerana tidak menggunakan bahasa Perancis dalam laman web mereka,” jelas Dr. Awang.

Menurutnya, perkara tersebut yang sepatutnya dicontohi oleh kerajaan Malaysia dengan memberi sedikit wibawa kepada DBP untuk mengambil undang-undang jika perlu.

Beliau juga banyak menceritakan perkaitan sejarah dengan bahasa, salah satu daripadanya ialah hubungan dengan kerajaan Turki Uthmaniyah pada fasa-fasa yang lebih kemudian dalam meletakkan asas-asas tertentu semasa pemerintahan Alam Melayu.

Di samping itu, Dr. Awang ada menyatakan terdapat penjelasan daripada Persatuan Manuskrip Antarabangsa tentang kewujudan kisah-kisah Melayu dalam manuskrip mereka, iaitu Turki dan Arab. “Oleh itu, perlu dikaji tentang persepsi orang Arab, Turki dan Parsi terhadap orang Melayu, sebagaimana yang ada dalam kitab historiografi mereka atau dalam teks-teks klasik yang lain.”

Beliau juga menjelaskan, seni sastera telah menjadi medan penyatuan fikrah, sikap dan perasaan baik melalui puisi mahupun prosa. “Kehebatan tokoh sastera Melayu seperti Hamzah Fansuri, iaitu ahli tasawuf, akidah dan ilmu kalam, dapat mencernakan segala bentuk ilmu dalam bentuk syair. Beliau merupakan tokoh yang sukar ditandingi sehingga kini,” tambah beliau.

Dr. Awang juga berkata bahawa Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji yang muncul bersandarkan syariat dan akidah Islam. Ungkapan dan diksi digunakan dalam gurindam ini berdasarkan tasawur atau pandangan tentang sesuatu dan sarwa, yang bermaksud pandangan dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.