Oleh Osman Ayob
21 Oktober 2021, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Osman Ayob menyoal kemenangan Abdulrazak Gurnah sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan yang baharu dan merasakan sasterawan tempatan juga layak merangkul hadiah itu.

Nama yang selalu disebut-sebut boleh ditonjolkan untuk hadiah tersebut ialah Sasterawan Negara A. Samad Said. Walau bagaimanapun, sehingga sekarang tiada siapa yang tahu siapa yang mengambil inisiatif menyediakan kertas cadangan bagi pencalonan hadiah tersebut.

Tidak ada sesuatu yang luar biasa apabila Abdulrazak Gurnah dipilih sebagai pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan 2021. Jika ada kelebihan pun, anak kelahiran Zanzibar ini yang pernah menjadi suaka politik dan tinggal di England, sudah bergiat dalam penulisan sejak 35 tahun lalu dengan mengangkat persoalan kolonialisme dan imigran sebagai tema utama dalam 10 buah novelnya yang berlatarbelakangkan Afrika Timur.

Abdulrazak bukanlah penulis ternama yang disebut-sebut bakal terpilih sebagai pemenang hadiah berprestij dan menawarkan hadiah yang lumayan itu. Novel-novelnya, Paradise, Desertation dan By the Sea bukanlah novel yang menjadi rebutan. Kelebihannya cuma novel yang dihasilkannya ditulis dalam bahasa Inggeris, yang memudahkan pemilihan para Akademi Sweeden.

Dalam hubungan ini, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hadiah tersebut kuat diselubungi rasa cemburu dan prejudis. Setiap tahun, andaian ini diperkatakan di seluruh anjung dunia. Namun begitu, Akademi Sweeden yang menganjur dan membiayai hadiah ini tidak pernah tersentuh dengan semua tanggapan yang dilontarkan oleh sesiapa sahaja.

Dalam kalangan sasterawan di Asia Tenggara, nama Pramoedya Ananta Toer pernah disebut-sebut sebagai calon yang layak untuk hadiah besar itu. Namun sehingga beliau meninggal dunia, hadiah itu tetap dimiliki oleh calon lain. Sama halnya di Malaysia. Nama yang selalu disebut-sebut boleh ditonjolkan untuk hadiah tersebut ialah Sasterawan Negara A. Samad Said. Walau bagaimanapun, sehingga sekarang tiada siapa yang tahu siapa yang mengambil inisiatif menyediakan kertas cadangan bagi pencalonan hadiah tersebut. Atau, adakah kisah ini hanyalah acahan sahaja tanpa ada langkah konstruktif yang diambil oleh mana-mana pihak atau badan yang berwibawa?

Perihal A. Samad Said layak dicalonkan telah diakui oleh ramai orang. Novel-novel beliau seperti Salina, Hujan Pagi, Daerah Zeni, Langit Petang, dan Sungai Mengalir Lesu yang telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa asing, sudah teruji keberkesanannya. Cuma yang menjadi persoalan ialah, siapa atau pihak mana yang boleh dan secara sukarela berusaha keras untuk menjadikan hal ini satu realiti?

Diakui, proses dan penyediaan kertas pencalonan bukanlah satu tugas yang mudah. Kerjanya memerlukan segala butir yang lengkap, bukan sahaja mengenai diri calon, tetapi juga segala aspek termasuk tema, perjuangan dan mesej yang disampaikan dalam karya besarnya. Tugas ini tidak semestinya boleh dikerjakan seorang. Mungkin beberapa orang yang mempunyai komitmen yang tinggi wajar terbabit. Hal ini menagih penyelidikan dan kerja akademik yang memerlukan pengorbanan masa dan ketelusan yang tidak berbelah-bahagi.

Rasanya, inilah cabaran yang sedang kita hadapi sekarang. Realitinya, dunia akademik khususnya sastera sekarang tidak terkecuali dipandang hanya pada labanya. Tidak ada sarjana yang gemar dan bersedia memcambahkan ilmunya secara percuma. Seperti juga bidang lain, dunia sastera juga tidak dapat dipisahkan dengan rasa cemburu dan prasangka. Meskipun “cemburu dan prasangka” mempunyai konotasi yang unik, namun realitinya tetap ada. Oleh sebab itu, dalam sekecil-kecil kegiatan seperti diskusi dan bicara karya, ia terhasil hanya melalui pembiayaan yang wajar dilunaskan. Inilah yang berlaku sekarang, apalagi dalam “kerja berat” seperti penyediaan kertas pencalonan sesuatu anugerah, lebih-lebih lagi untuk Hadiah Nobel Kesusasteraan. Siapa yang mahu berkorban secara sukarela sedangkan perasaan cemburu dan prasangka menguasai diri?

Berita Berkaitan |

“Dunia Hari ini Lebih Kejam” – Abdulrazak Gurnah

_________________________

Osman Ayob sudah menghasilkan lebih 166 cerpen. Beliau juga penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 bagi kumpulan cerpen Bayangan Silam (DBP, 2009). Antara kumpulan cerpennya termasuklah Bayangan Rindu (1981), Musim itu Telah Berlalu (1984), Detik yang Tergugat (1988), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), dan Gila Tak Gila (2017). Selain menulis cerpen, beliau juga menghasilkan lebih 30 buah novel. Novel remajanya, Meniti Impian menjadi teks KOMSAS tingkatan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan bagi tahun 2016–2020.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.