Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sasterawan Negara YBhg. Datuk Seri A. Samad Said disifatkan sebagai seorang penyair yang konsisten dengan gaya bahasa, penyusunan rima dan pembahagian stanza pada setiap karya yang dihasilkannya.
Penulis dan pengkritik Wan Nor Azriq berkata, A. Samad Said jarang-jarang sekali membuat eksperimen luar biasa dalam karya-karyanya, tetapi gayanya tetap konsisten, di samping sentiasa berani cuba melahirkan puisi formal.
“Saya rasa beliaulah antara sasterawan yang paling konsisten dalam mempersembahkan puisinya dari segi penyusunan rima, pembahagian stanza dan gaya bahasa yang penuh makna, membuatkan karyanya menarik.
“Dan saya melihat beliau juga sentiasa berani mencuba puisi-puisi formal dengan mengekalkan disiplin dan estetika penulisan,” katanya semasa berkongsi pengalaman menyelenggarakan buku Siri Tokoh Puisi terbaharu bagi A. Samad Said, Wanita Itu Siapa Namanya? terbitan Kata-Pilar Books.
Pada masa yang sama, beliau bertindak sebagai ahli panel program Wacana Ilmiah Pelancaran Buku Siri Tokoh Puisi dan Wacana Karya Tokoh Puisi yang bertempat di Sudut Karyawan (Stor Teater) Dewan Bahasa dan Pustaka, 15 Mei baru-baru ini.
Wan Nor Azriq turut menyifatkan bahawa kebanyakan puisi liris A. Samad dipadankan dengan imej yang indah dan tersusun, selain penuh nilai estetika, yang secara tidak langsung mampu menarik minat pembaca.
Menurutnya, puisi atau karya-karya A. Samad berpaksikan hal kehidupan masyarakat setempat serta isu persekitaran dalam negara seperti setinggan, politik, ekonomi, dan sosial.
“Sebagai penyusun, saya berharap agar pembaca, sama ada yang lama atau yang baharu dapat menghayati keragaman Pak Samad sebagai penyair melalui karya-karyanya.
“Kita tahu apabila seorang penyair berani bersuara tegas, malah sangat mengutamakan kritikan, dia bukan saja (berperanan) sebagai penyair, tetapi itulah sasterawan yang sebenar,” jelasnya.
Tambahnya lagi, identiti A. Samad bukan sahaja mencerminkan beliau sebagai seorang penyair, tetapi juga pengarang yang merentas zaman dan usia.
“Kita akan temui sisi itu melalui karya puisi, cerpen dan novelnya yang banyak memperlihatkan dinamika pemikiran serta kreativiti seninya,” ujarnya.