Diterbitkan pada 30 Ogos 2024, 11:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Aneh, saya sendiri saya masih menerka jawapannya, dan belum menemuinya. Saya sering tergamam setiap kali diminta memberi ucapan balas penerimaan sesuatu anugerah,” itu kata Sasterawan Negara Dato’ Seri (Dr.) A. Samad Said, 89, sewaktu mengulas mengenai Anugerah Merdeka 2024 yang diterimanya daripada DYMM Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Penaung Diraja dan Pengerusi Merdeka Award Trust (MAT), semalam.

A. Samad menerimanya bagi kategori Pendidikan dan Komuniti. Turut menerima pengiktirafan dalam kategori serupa ialah tokoh teater terkenal Dato’ Dr. Faridah Merican.

Sementara itu, penerima lain bagi Anugerah Merdeka tahun ini termasuk Profesor Dr. Joy Jacqueline Pereira untuk kategori Alam Sekitar, Tan Sri Dato’ Dr. Abu Bakar Suleiman (Kesihatan, Sains dan Teknologi), Profesor Emiritus Dr. Jomo Kwame Sundaram (Pencapaian Akademik Cemerlang), dan Dr. Kathryn Anne Rivai (Sumbangan Luar Biasa kepada Rakyat Malaysia).

A Samad berkata, beliau tergamam kerana apa-apa yang dicatatnya tidak sengaja sempat menjadi penting.

“Seniman wajib berpendirian – bersikap, juga bersuara nyaring. Itulah sebabnya kini saya berdiri di sini. Saya merentasi kehidupan saya dan dipinta mentafsir sendiri erti perjalanan hidup saya itu.

“Saya telah mencipta sebuah karya – tafsiran kehidupan yang sangat menguji saya: Al-Amin.

“Sejak awal-awal lagi saya sudah bertanya tentang erti mayapada ini – hidup saya, rasanya, sangat gamam oleh gelora kehidupan.

“Ramai teman bertanya sejauh ini, apakah yang saya temui dalam kehidupan ini? Saya selalu menjawab: menilai terus, saya senangi kehidupan walaupun kehidupan saya masih penuh luka lara. Apakah saya hadir di dunia ini untuk ‘menghadapi penderitaan’? Saya masih bertanya.

“Bertemu jawapannya nanti, saya akan memberitahu. Kita sama-sama menunggu dalam kehidupan ini. Benar saya sentiasa bertanya. Saya juga masih menggali jawapannya,” katanya.

Terdahulu dalam temubual media pada hari penganugerahan, A. Samad berkata bahawa beliau berharap agar anugerah itu akan dapat memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk menyumbang kepada negara berdasarkan kebolehan dan potensi mereka.

Katanya, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro, “Saya fikir kejayaan saya adalah menulis novel yang saya tidak sangka sebenarnya menjadi. Tetapi selepas saya dapat pujian, selepas saya dapat hadiah, saya rasa ini seakan satu anugerah yang tak disangka dan saya amat besar hati dan berterima kasih.

“Setiap kali saya menulis dan menjadi, dan mendapat sambutan yang baik, saya merasa itu bukan saja keuntungan bagi saya, keuntungan bagi masyarakat dan saya fikir ia menjadi khazanah untuk negara,” katanya.

Kredit Foto: Merdeka Award

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi