Diterbitkan pada 1 Disember 2025, 07:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Prof. Madya Dr. Nasirin Abdillah meneroka kekuatan satira berkenaan etika bahasa dan identiti dalam sajak tahun 2009 Sasterawan Negara A. Samad Said.

Jika dibaca melalui lensa pascakolonial, puisi ini mengangkat persoalan penjajahan minda.

Ketika menatal Facebook, saya terhenti pada perkongsian Fahd Razy tentang sebuah puisi A. Samad Said, “Peludah Bahasa”. Sebagai peminat karya Pak Samad dan pernah meneliti puisinya, “Unggun Bersih” dalam tesis PhD, saya segera mengikuti pautan yang diberikan dan membaca puisi itu dalam versi penuh di blog Salman Sulaiman. Kesan pertama yang saya rasakan ialah keterujaan! Puisi ini begitu lantang, pedih, tetapi sangat indah dalam mengangkat maruah bahasa. Ia muncul dalam konteks pergolakan dasar bahasa pada tahun 2009, terutamanya berkaitan isu PPSMI, lalu menghidupkan semula perdebatan tentang kedudukan bahasa Melayu dalam ruang kuasa. Apa yang lebih menarik, puisi ini tidak sekadar mempersoalkan dasar pendidikan, tetapi menyingkap kisah seorang anak desa yang akhirnya terputus daripada warisan budaya sendiri.

Puisi ini bergerak dalam rentak sebuah kisah hidup: daripada kelahiran, pembesaran, kejayaan, kepada kejatuhan moral. Lima stanza yang disusun rapi membentuk lengkung perkembangan watak. Pada awalnya, pembaca diperkenalkan pada suasana kampung yang penuh harapan. Neneknya menghidangkan hikmah Hikayat Hang Tuah, manakala datuknya pula menurunkan nilai melalui Syair Siti Zubaidah. Dua teks warisan ini bukan sekadar bahan nostalgia. Kedua-duanya mencerminkan tunggak etika budaya Melayu: kesetiaan dan maruah diri. Dengan didikan sedemikian, anak kecil itu digambarkan sebagai permata desa yang dijangka membawa sinar untuk masa depan kaumnya.

Namun begitu, suasana berubah apabila watak memasuki alam dewasa. Beliau berjaya menimba ilmu, bergaul luas dan akhirnya dilantik memikul tanggungjawab dalam sistem pentadbiran negara. Di sinilah retak mula memecah. Mimpi “ideal” terganggu apabila slogan-slogan baharu politik melanda dan perlahan-lahan nilai yang dipupuk sejak kecil mula terhakis. Stanza terakhir menggambarkan kejatuhan moral dengan imej “gigi menjadi taring” yang berfungsi sebagai metafora yang menandakan perubahan daripada manusia beretika kepada susuk yang rakus dan memburu kuasa. Akhirnya, bahasa ibunda yang suatu ketika membentuk jati dirinya menjadi sesuatu yang dihina.

A. Samad Said tidak memilih Hikayat Hang Tuah dan Syair Siti Zubaidah secara rambang. Kedua-duanya merupakan teks yang telah lama berfungsi sebagai rujukan moral masyarakat. Hang Tuah membawa imej kesetiaan kepada bangsa, sementara Siti Zubaidah pula mewakili kecerdikan, keberanian dan maruah seorang wanita dalam tradisi Melayu. Kehadiran dua teks ini dalam stanza awal bukan hanya perhiasan, tetapi rangka pada pembentukan watak dan perwatakan.

Apabila watak akhirnya “melupa Syair Siti Zubaidah dan tidak dikenal Hikayat Hang Tuah,” hal itu bukan sekadar melupakan dua cerita tradisional, tetapi hilangnya hubungan dengan sejarah, identiti dan akar budaya sendiri. Hal ini telah menyebabkan berlakunya satu “pemutusan intertekstual” yang menandakan sejenis “amnesia budaya”, iaitu kehilangan memori kolektif. Memori kolektif inilah yang “mengikat” kita dengan komuniti, bahasa dan moral tradisi.

A. Samad Said

Jika dibaca melalui lensa pascakolonial, puisi ini mengangkat persoalan penjajahan minda. Ini berlaku bukan melalui kuasa asing, tetapi melalui selera dan nilai yang “dipaksa” oleh sistem moden. Penghinaan terhadap bahasa ibunda dalam puisi ini mengingatkan kita bahawa penjajahan tidak semestinya datang daripada luar. Penjajahan kadangkala lahir daripada kepercayaan bahawa bahasa sendiri tidak cukup “maju” atau “berguna”.

Watak utama tidak ditekan oleh penjajah, tetapi oleh godaan kuasa, darjat dan materialisme. Apabila kuasa mula menguasai dirinya, beliau terpisah daripada akar budaya dan sanggup meninggalkan bahasa yang pernah menjadi tiang pembentukan dirinya. Hal ini menunjukkan bentuk penjajahan dalaman, iaitu penjajahan yang senyap tetapi lebih berbahaya.

Dari sudut etika, puisi ini mempersoalkan tanggungjawab moral pemimpin terhadap bahasa dan budaya. Watak yang pada awalnya dijangka menjadi pembela masyarakat akhirnya menjadi “niagawan haloba” yang mengejar keuntungan dan kedudukan. Bahasa, yang sepatutnya menjadi kompas moral, akhirnya diludah dan dipinggirkan. Adegan terakhir puisi menunjukkan watak itu begitu bangga dengan identitinya sebagai “peludah bahasa”. Kesan satira di sini sangat kuat. Kesanya bukan sahaja mengecam individu tersebut, tetapi sistem sosial yang membenarkan lahirnya pemimpin yang hilang akarnya.

Beberapa imejan dalam puisi ini menggerakkan kritikan sosialnya. Bayu bukit misalnya menandakan kesucian desa dan keluhuran asal usul watak. Taring pula menjadi simbol kerakusan dan perubahan fitrah. Buana dan tampuk kuasa menggambarkan dunia luas yang mempesonakan manusia sehingga melupakan nilai yang dulu dijunjung. Semua imejan ini saling melengkapi dan membantu pembaca menelusuri perubahan watak daripada seorang anak yang disemai budi kepada seorang yang mengkhianati bahasanya sendiri.

Kesimpulannya, “Peludah Bahasa” ialah sebuah puisi yang tegas dalam bahasanya, tetapi sangat halus dalam kritikannya. Sajak ini bukan sekadar luahan terhadap isu dasar bahasa, malah menyingkap perjalanan moral seorang manusia yang tergelincir jauh daripada warisan budayanya. Struktur naratif yang kemas, rujukan budaya yang berlapis dan nada satira yang pedih menjadikan puisi ini teguran penting terhadap sesiapa sahaja yang memandang ringan dengan martabat bahasa ibunda. Akhirnya, mesejnya cukup jelas: apabila kita mengkhianati bahasa sendiri, kita sebenarnya sedang mengkhianati sebahagian paling penting daripada identiti kita.

……….Peludah Bahasa

……….Ketika lahir jeritnya amat mesra––hening suara bayi pertama.
……….Neneknya pengagum hikayat Tuah membisik iktibar ke telinganya.
……….Datuknya pencinta Siti Zubaidah bersyair merdu ke qalbunya pula.
……….Doa dan janji di sanubari inilah cucunya kebanggaan desa––
……….insan harapan kerdip permata yang bakal bersinar sebagai pendakwah.

……….Ketika bertatih di sisi buaian gelincirnya cepat disantunkan.
……….Ayah dan ibunya cekal berazam anak termanis di hemah Ramadan.
……….Diasuh ia menjadi wira dan tidak pun dikira ke bidang mana.
……….Pada hembusan angin di bukit amat merdu terdengar ia menjerit:
……….Penyegar budi pilihan pertama, penyemai bakti di qalbu desanya.

……….Ranum di dalam dan di luar negara menjalar akar benih ilmunya;
……….pergaulannya alam tak berbatas bertingkat cepat dirinya ke atas.
……….Pada kempen “bersih-cekap-amanah” terhantar ia ke tampuk kuasa;
……….masih diingat pesan nenek tentang Tuah; saran datuk tentang Zubaidah.
……….Sebaik menyingsing Satu Malaysia mula terbelah percik mimpinya.

……….Tapi, kuasa tersangat nikmatnya––darjat dan harta sebuah buana.
……….Lalu, dalam lagu gema ternyaring giginya berubah menjadi taring.
……….Leluhurnya kini damai di kubur, dan sayang, dirinya meruncing takbur.
……….Terakhir, dengar kisah lupanya––semua dangkal kecuali dirinya.
……….Terakhir, merebaklah bongkaknya sebagai peludah bahasa Ibunda.

……….Tak lagi dirinya budayawan desa, pembela bahasa tidak juga.
……….Kini dia niagawan haloba pemburu kuasa paling selesa.
……….Memang bukan lagi cucu desawan; segebu dirinya kuasawan.
……….Dilupa Syair Siti Zubaidah dan tidak dikenal Hikayat Hang Tuah.
……….Sangatlah selesa dan bangga––dirinya tulen peludah bahasa.

……….18 – 19 Jun, 2009
……….A. Samad Said

_________________________

Nasirin Abdillah (Profesor Madya Dr.) merupakan pensyarah dalam bidang seni kreatif di Universiti Teknologi MARA (UiTM), kampus Puncak Perdana. Beliau juga seorang ahli teori yang telah mencipta teori 2IN untuk kegunaan dalam bidang seni, sastera dan mitologi.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi