Oleh Rosli K. Matari
22 Januari 2024, 17:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari mengambil peluang mengupas isu kekeliruan antara tokoh A. Samad Ismail dengan A. Samad Said, sebagai kesedaran yang wajar diambil cakna oleh masyarakat.

Hal ini tidak menghairankan jika orang awam atau sesiapa yang kurang arif dalam dunia sastera tanah air boleh terkeliru dengan kedua-dua Pak Samad ini.

Rencana “Keliru Dua Samad: Apa Sudah Jadi, Tanya Aktivis Seni” yang ditulis oleh Shamz Johan dan tersiar melalui Malaysiakini pada 18 Januari, baru-baru ini, menjadi tarikan ramai pembaca. Hal ini tiba-tiba menjadi lontaran komen dan rungutan masyarakat, khasnya dalam kalangan aktivis seni, terutamanya para penulis dan khalayak sastera.

Shamz Johan mendedahkan pandangan yang menarik perhatian tentang satu rencana yang disiarkan oleh sebuah akhbar yang dilihat terkeliru, ditulis oleh seorang ahli akademik.

Asalnya, hal ini bermula apabila seorang pengguna Facebook, Mohamad Fauzi Noordin, memuat naik hantaran berkenaan kesilapan tersebut, sebelum dikongsi lebih ramai oleh orang lain.

Menurut Fauzi kepada Malaysiakini, hantaran yang menarik perhatian itu bukanlah untuk menghina atau mencari salah sesiapa. Sebaliknya, lebih bertujuan untuk menyatakan berlaku kekhilafan.

Apabila membaca artikel yang ditulis oleh ahli akademik itu, khilaf paling ketara dapat disedari ialah pernyataan bahawa A. Samad Ismail merupakan penulis bagi novel Salina. Padahal, novel ini jelas merupakan antara yang paling masyhur di tanah air, sebuah adikarya A. Samad Said.

Hal kekhilafan ini memang cukup mengagetkan. Namun dari suatu sudut, sebenarnya agak melucukan juga. Justeru, kedua-dua tokoh tersebut sudah sekian lama cukup dikenali dan diketahui umum dengan ketokohan bidang masing-masing.

A. Samad Ismail juga memanglah merupakan seorang sasterawan yang terkenal, namun lebih terkemuka sebagai seorang wartawan. Malah, pernah dikurniakan dengan anugerah Tokoh Wartawan Negara pada tahun 1988.

Sementara itu, A. Samad Said pula, pada zaman awal penulisannya, pernah turut terlibat dalam bidang kewartawanan. Namun begitu, namanya lebih meningkat dan terkemuka dalam bidang kesusasteraan, sehingga dikurniakan Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara pada tahun 1985.

Menariknya, kedua-dua mereka mempunyai persamaan pada nama awalannya, A. Samad. Hal ini tidak menghairankan jika orang awam atau sesiapa yang kurang arif dalam dunia sastera tanah air boleh terkeliru dengan kedua-dua “Pak Samad” ini.

Walaupun begitu, sepatutnya, perkara ini tidaklah seharusnya berlaku sedemikian. Hal ini kerana, setiap penulis sewajarnya mempunyai pengetahuan mendalam berkenaan sesuatu perkara yang ingin disampaikan, atau ketepatan fakta yang hendak dikemukakan.

Akan tetapi, hal kesalahan dan kesilapan menuliskan nama, apatah lagi jika berkaitan dengan pengarang dan kesusasteraan sememangnya suatu perkara lazim yang sudah berlaku sejak dulu lagi. Hal ini berlaku kerana pengetahuan yang kurang arif atau tidak begitu peka pada soal ketepatan.

Dalam kesusasteraan di Malaysia dan Singapura sahaja, beberapa orang tokoh pengarang terkenal, pernah penulis temui, dinyatakan atau dieja dengan nama yang salah.

Contohnya: Mahsuri S.N. yang sepatut tepatnya ialah Masuri S.N.; Osman Awang (Usman Awang); Kalam Hamidy (Kalam Hamidi); Awam al-Sarkam (Awam-il Sarkam); Aziz Jahapin (Aziz Jahpin); Mohamad Haji Salleh (Muhammad Haji Salleh); dan Anwar Riduan (Anwar Ridhwan).

Begitu juga dalam penulisan di tanah air ini terhadap tokoh pengarang terkenal Indonesia.

Contohnya: Sanusi Panen yang sepatut tepatnya Sanusi Pane; Khairil Anwar (Chairil Anwar); Pramoedya Anantar Toer, Pramudya Ananta Toer, Pramudiya Ananta Toer (Pramoedya Ananta Toer); Situr Situmorang, Sitor Sitomorang (Sitor Situmorang); dan Geonawan Mohamad (Goenawan Mohamad).

Demikian, contoh kurang arif pengetahuan atau ketidaktelitian dalam penulisan. Walhal, sebagai suatu hasil penulisan ilmiah atau semi ilmiah.

Sehubungan itu, hal ini juga dari segi penghayatan, dapat dijadikan bukti bahawa kebanyakan masyarakat yang minat dan sedar terhadap peranan dan kepentingan kesusasteraan sebenarnya masih sangat longgar.

Dalam hal A. Samad Ismail dan A. Samad Said pula, persoalannya bukanlah dalam kesalahan ejaan nama, tetapi tersilap penempatan karya dengan tokoh sebenar yang mengarangnya.

Sungguhpun demikian, Ismail Sualman sebagai penulis rencana asal itu, masih dapat dipuji kerana bersikap terbuka. Beliau meminta maaf, selain menyedari dan mengakui kesilapan fakta, malah mengucapkan terima kasih terhadap teguran yang diterimanya.

Sebenarnya, suatu hal yang harus disedari daripada kekhilafan oleh Ismail Sualman ini, terdapat juga manfaatnya. Sudah diketahui, mana-mana akhbar perdana di tanah air agak luas pembacanya. Sudah tentu hal ini menampakkan bahawa para pembaca atau masyarakat pada masa kini sudah bersifat kritis.

Dengan hal itu sahaja, isu kekhilafan ini memperoleh perhatian luas, malah dapat pula memberikan pengetahuan menarik kepada masyarakat yang kurang berminat pada kepentingan dunia kesusasteraan tanah air.

Dengan isu ini, masyarakat menjadi peka. Mereka berpeluang untuk mengenali, mengetahui dan mengambil berat, walau pada kadar yang ringkas atau singkat, siapa A. Samad Ismail dan siapa pula A. Samad Said.

Hal ini membuka mata mereka, selain mendapat tahu dan menghargai sumbangan daripada kedua-dua tokoh penulis terkenal itu terhadap kepentingan masyarakat dan negara, khususnya melalui peranan signifikan bidang penulisan dan dunia kesusasteraan tanah air.

Teruslah menulis, Saudara Ismail Sualman. Setiap khilaf, bukanlah bererti sebagai tiada ruang untuk disedari dan diperbetul kembali.

Sehubungan itu, hal ini juga dari segi penghayatan, dapat dijadikan bukti bahawa kebanyakan masyarakat yang minat dan sedar terhadap peranan dan kepentingan kesusasteraan sebenarnya masih sangat longgar.

Kesusasteraan hadir dalam kalangan masyarakat (apatah lagi bagi pihak penguasa dan autoriti) hanya bagai tanda yang sayup-sayup sahaja. Kehadiran dan kewujudannya masih begitu jauh daripada minat dan kesedaran masyarakat akan kepentingannya. Oleh itu, tidak hairanlah jika pengetahuan dalam sebahagian besar orang sekarang terhadap kesusasteraan adalah sempit dan dangkal.

Pada konteks ini, tiada hairan, jika hakikat yang mana satu sebenarnya A. Samad Ismail dan A. Samad Said pun tidak dapat dibezakan. Walaupun, pada semudah-mudah nama. Usahkan nak dilihat pada ketokohannya secara lebih rinci.

Kira-kira pada 30 tahun yang lalu, sebenarnya, penulis sudah pernah berhadapan sendiri dengan peristiwa berlakunya khilaf sebegini. Penulis bertemu dengan orang yang tidak dapat membezakan antara tokoh A. Samad Ismail dengan A. Samad Said.

Ketika itu, pada zaman muda, penulis merupakan antara ahli jawatankuasa bagi Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Ketua Satu PPK pada ketika itu ialah penulis wanita terkenal Kelantan, Zanariah Wan Abdul Rahman (Allahyarhamah).

A. Samad Said (pada waktu itu belum bergelar Sasterawan Negara) diundang hadir ke Kelantan bagi satu bengkel penulisan PPK. Seorang pengarah dari sebuah institusi (bukan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, kerana belum ditubuhkan pada masa itu) diberikan penghormatan bagi merasmikan program.

Dalam ucapan perasmian, tokoh sasterawan yang diundang PPK ini diberikan pujian oleh beliau sebagai penulis masyhur, berjasa bakti besar kepada masyarakat dan negara, menjadi teladan bagi generasi penulis muda. Malah, melambung-lambung pujiannya. Sudah tentu hal ini wajar dan bertepatan dengan wibawa besar tokoh sasterawan yang diundang.

Akan tetapi, nama yang disebutkan, berulang-ulang dalam ucapan perasmian dan pujiannya ialah “A. Samad Ismail”, bukan “A. Samad Said”!

Alangkah terkedunya kami. Bercampur baurlah kami dengan perasaan malu, lucu, kecewa, sedih, dan hampa. Tidak terkata … Sedangkan, surat undangan merasmikan dan pada buku program yang tersedia sudah mencatatkan nama “A. Samad Said” secara jelas dan terang.

Mujur pula A. Samad Said cukup baik hati. Tidak berasa hati apa-apa. Sepatah pun, tidak bersungut apa-apa. Malah, tersenyum manis. Tentu, justeru beliau sedia memahami – kekhilafan.

Demikian, kekhilafan dalam kalangan awam, tidak dapat membezakan antara A. Samad Ismail dengan A. Samad Said.

Faktor utama ini, tidak lain dan tidak bukan, justeru “kesusasteraan adalah bagai sayup-sayup sahaja” daripada kecaknaan, kesedaran, minat, dan pengetahuan sebahagian besar masyarakat di tanah air sendiri.

Hal inilah yang harus disedari dan direnung secara mendalam.

_________________________

Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.