14 Jun 2022, 17:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Singapura – Salah seorang daripada empat pembicara dalam Sembang Ilmu Nilawarisan: Budaya, Bahasa, Sastera dan Seni Berlanggam, Nur Hikmah mengangkat keadilan dalam pembentangan kritikannya terhadap novel Salina karya A. Samad Said.

Nur Hikmah, yang merupakan mahasiswa Pengajian Melayu di National Univesity Singapore (NUS) juga ialah ahli Sahabat Sastera, sebuah inisiatif kolektif daripada Pusat Bahasa Melayu Singapura. Melalui tajuk perkongsian “Menulis Perempuan: Representasi Perempuan dalam Novel Salina”, Hikmah mengangkat isu kemiskinan, kedaifan dan kemelaratan masyarakat pascaperang dunia kedua ketika itu. Selain itu, beliau juga melihat suara kritikan terhadap karya itu berserta reaksi beliau sebagai pemikir.

Datangnya semua kritikan terhadap Salina tetap tidak menafikan dan merendahkan ketinggian kesusasteraan, nilai bahasa dan gagasan yang dibawanya. Gagasan kemanusiaanlah yang paling jelas dan tertonjol dalam novel Salina.

Beliau mempersoalkan penjelasan dalam kritikan yang berlensakan moraliti tanpa pemerhatian dan empati. Melalui Salina, isu yang berlegar sekitar perempuan antara yang menjadi topik perbincangan utama. Pak Samad menulis perwatakan perempuan melalui watak Salina itu sendiri yang merupakan seorang pekerja seks. Salina diperdebatkan sebagai wanita yang berdosa dan Pak Samad sendiri pula dikritik sebagai pengarang yang “lambat” mengkritik tindakan wanita yang berdosa.

“Bagi saya, kritikan ini sepertinya tidak berasas. Walaupun dalam novel tidak pernah disebut secara terang yang Salina merupakan seorang pekerja seks atau pelacur, tetapi pembaca mengetahuinya. Pembaca tahu pekerjaan dan diri Salina menjadi bahan bualan penduduk Kampung Kambing. Bahan bualan yang mengandungi kecaman kuat, malah kutukan.”

Antara kritikan yang sering menjadi sasaran utama pengkritik ketika itu ialah gagalnya pengarang untuk mengkritik dan memupuk nilai moral terhadap isu pelacuran. Jadi, persoalan yang berlegar ialah benarkah novel ini mengiyakan pelacuran? Nur Hikmah menyatakan bahawa hakikatnya hal tersebut tidak semudah itu, bahkan sebenarnya novel ini mengkritik pemikiran hitam putih yang melatari persoalan ini. Pengkritik novel tersebut seolah-olah meminggirkan persoalan ‘realisme-humanis’ pasca perang dunia yang menghimpit kemanusiaan, apatah lagi kepada mereka yang bergelar wanita.

Latar dalam novel itu merakamkan kehidupan penduduknya yang berada dalam situasi keterdesakan yang luar biasa. Bermula dengan tempat tinggal mereka iaitu Kampung Kambing yang sebenarnya ialah sebuah kandang, ketiadaan daya untuk keluar dari kepompong kemiskinan sehinggalah kepada tohmahan sosial, Pak Samad sebenarnya cuba untuk menjelaskan realiti secara tajam.

Sebenarnya, apa-apa yang dapat dilihat dalam Salina ialah keadilan kemanusiaan itu terletak juga pada perasaan empati kepada mereka yang tidak terbela. Mereka itu tidaklah sentiasa berada dalam keadaan ideal seperti yang disangka melalui lensa moral sosial.

Nur Hikmah menjelaskan lagi, “Ada yang terpaksa menjadi pekerja seks semata-mata untuk meneruskan kehidupan. Realiti dan kepahitan ini juga ialah gambaran kepada kegagalan pembelaan daripada kuasa politik, pimpinan masyarakat, agamawan dan sebagainya.”

A. Samad Said menulis watak yang tidak mempunyai sisi hitam dan putih, tetapi kompleks dengan latar belakang yang pelbagai dengan sisi baik dan buruk. Watak-watak sebegitu bukan untuk dihukum dan dihakimi oleh pembaca, tetapi untuk diperhatikan nasib dan keputusannya dalam kehidupan. A. Samad Said menulis Salina dengan unsur kemanusiaan yang sangat baik dan kompleks.

Hal ini mendorong kemanusiaan pembaca sendiri dalam menelusuri kisah Salina. Dalam novel tersebut, kesan lensa moral yang dominan ialah hilangnya sisi kemanusiaan terhadap golongan yang tertindas. Malah, tiada pula kritikan terhadap institusi sosial, politik, atau agama yang gagal melindungi dan membela nasib golongan tertindas.

Nur Hikmah juga memetik kenyataan A. Samad Said dalam Tema dan Tugas Sastera Melayu Moden:

Ketika menulisnya dahulu memang saya tidak terfikir – ataupun merancang secara berpesan – untuk menjadikan karya ini sebuah karya mendidik. Saya hanya ingin menghantar sebuah kisah realis yang wajar kita renungi dan adili sendiri dengan memberikan tafsiran atau hukumannya. Saya sendiri tidak bersedia menjadi moralis yang palsu; saya hanya ingin menjadi penyampai sebuah kisah – yang saya harap – bakal membuka fikiran umum tentang wujud kesan perang yang sangat merosakkan.

Salina secara tajam dan jelas, memberitahu kepada khalayak bahawa perlunya mereka memiliki keanjalan minda selain boleh melihat dan membezakan baik dan buruk, tetapi pada masa yang sama menghargai unsur ambiguiti. Nur Hikmah menegaskan bahawa perlunya sebuah masyarakat yang berfikir secara kritis terhadap faktor dan sebab keterdesakan hidup dalam novel Salina ini yang sebenarnya wujud dan merupakan realiti dalam dunia sebenar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.