Oleh Johan Jaaffar
28 Mac 2023, 17:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johan Jaaffar mengimbau kembali pengalaman beliau membaca, menghayati dan mementaskan novel besar Sasterawan Negara A. Samad Said.

Malam itu saya tidak membaca sekadar perenggan atau halaman pertama, sebaliknya sehingga bab kesembilan. Saya tidur lambat malam itu. Saya diganggu oleh kisah Hilmy, ibunya Katijah, dan dunia baru yang mencorakkan kehidupan mereka di kampung yang dikenal sebagai “Kampung Kambing”, nama rekaan sebuah penempatan setinggan di Singapura selepas Perang Dunia Kedua.

Saya jatuh cinta pada novelnya dan watak utamanya. Tidak banyak novel Melayu yang memberikan kesan yang sebesar itu kepada saya. Apabila pertama kali saya membacanya sewaktu dalam tingkatan empat di Sekolah Menengah Semerah, Batu Pahat, saya tergetar, terusik dan teruja.

Saya terdidik di sekolah aliran Inggeris sejak darjah satu bermula di Peserian Primary English School, Semerah, Batu Pahat. Saya mengenal sastera Inggeris lama sebelum saya mengenal sastera dalam bahasa Melayu. Saya tidak banyak membaca karya-karya dalam bahasa Melayu sewaktu saya bersekolah.

Pada satu hari dalam tahun 1969, saya sedang duduk di kantin sekolah apabila ternampak sebuah buku yang ditinggalkan di atas sebuah bangku kayu. Terdapat sebuah fail yang tertulis nama guru pemilik buku itu. Oleh sebab saya khuatir buku itu hilang, saya memasukkannya ke dalam beg dan membawanya pulang ke rumah. Saya berharap akan mengembalikannya kepada guru berkenaan pada keesokan harinya.

Sekilas pandang, judulnya Salina menarik perhatian saya. Pada masa itu, saya tidak tahu siapa penulisnya, yang dicatatkan sebagai A. Samad Said. Sebelum tidur saya menyelak beberapa helaian awal novel tersebut:

Mentari sudah hampir kesembilan puluh darjah tegaknya ketika sebuah lori kecil dan buruk masuk perlahan-lahan, tapi bising, ke jalan kecil berlekuk-lekuk itu. Orang yang tinggal di kampung itu kebanyakannya orang India dan Melayu – banyak yang menjengukkan mukanya dari rumah pekerja-pekerja Public Works Department di sebelah kiri jalan itu dan dari rumah-rumah kampung itu sendiri di sebelah kanan jalan, dan ada sesetengahnya yang sudah pun keluar ke tepi jalan lecil yang lekak-lekuk itu untuk melihat lebih dekat lagi siapa gerangan orang baharu yang datang pindah ke kampung itu. Kanak-kanaknya sibuk dan bising mengekori lori yang bergerak perlahan-lahan dan tergigil-gigil itu. Beberapa ekor anjing menggonggong-ngonggong kuat, seekor daripadanya penuh dengan penyakit kulit sehingga kulitnya hampir tiada berbulu.

Demikianlah A. Samad Said (kini Datuk Seri dan Sasterawan Negara) memulakan novel setebal 453 halaman itu. Karya itu dianggap sebagai salah sebuah novel terbaik pernah ditulis dalam bahasa Melayu. Novel yang memperkenalkan seorang penulis yang berusia 23 tahun ketika itu ke persada sastera. Novel yang dianggap “besar” dan “bertaraf antarabangsa” oleh sarjana, pengkaji dan peminat sastera Melayu.

Malam itu saya tidak membaca sekadar perenggan atau halaman pertama, sebaliknya sehingga bab kesembilan. Saya tidur lambat malam itu. Saya diganggu oleh kisah Hilmy, ibunya Katijah, dan dunia baru yang mencorakkan kehidupan mereka di kampung yang dikenal sebagai “Kampung Kambing”, nama rekaan sebuah penempatan setinggan di Singapura selepas Perang Dunia Kedua.

Saya diperkenalkan kepada manusia lain yang menghuni kampung itu-  Kurupaya Samy, Paliamah, Haji Karman, Zarina, Nahidah, Sunarto, Belwant Singh, juga budak bernama Bulat, dan Siti Salina serta Abdul Fakar.

Malam itu saya terdedah kepada cakerawala baharu dunia kesusasteraan, di luar kerangka karya-karya dramatis tersohor William Shakespeare, dan novelis-novelis besar yang berkarya dalam bahasa Inggeris. Malam itu saya diperkenalkan kepada dunia yang lain dari dunia imaginasi Jane Austen, Charles Dickens, Charlotte Bronte, E.M. Foster, F. Scott Fitzgerald, Harper Lee, J.D. Salinger, Ernest Hemingway, Joseph Conrad dan John Steinbeck. Saya mengenali penulis-penuis hebat itu sejak awal, baik dalam versi asal atau versi mudah (abridged edition).

Salina membuatkan saya melihat dunia imaginasi baru yang berbeza daripada novel Melayu lain yang pernah saya baca sebelum itu, seperti Nyawa di Hujung Pedang (Ahmad Murad Nasaruddin), Panglima Awang (Harun Aminurashid) dan Desa Pingitan (Ibrahim Omar).

Realiti yang dibawakan oleh A. Samad Said dalam Salina berbeza sama sekali. Malam itu juga saya bertekad untuk menghabiskan bacaan novel itu. Tinggal di kampung bernama Sungai Balang Besar, 27 kilometer dari bandar terdekat, Muar, tentulah saya tidak punya kemudahan untuk mendapatkan buku itu bagi menyambung pembacaan saya.

Keesokan harinya saya menemui guru berkenaan dan memberitahu saya menyimpan novel itu dengan selamat. Saya juga berbohong dengan mengatakan saya tertinggal novel itu di rumah.

“Awak dah baca?” Dia bertanya.

Saya mengatakan saya sudah membaca sehingga bab kesembilan.

Beliau kelihatan terkejut.

“Tak apa. Awak baca sampai habis. Nanti ceritakan pada saya.”

Saya amat berterima kasih kepada beliau. Beberapa hari berikutnya buku itu saya dakap sepenuhnya. Saya membacanya pada setiap kesempatan yang ada. Ada harinya saya tidak menyiapkan kerja sekolah. Saya membacanya hingga tamat. Saya melalui pelbagai perasaan sewaktu membacanya – marah, kecewa, sedih, geram, gembira, teruja  – semuanya pengalaman pembacaan yang amat luar biasa bagi saya.

Kisahnya amat luar biasa. Salina seorang pelacur yang disimpan oleh Abdul Fakar yang tidak bekerja dan mengambil kesempatan darinya. Mereka hidup dalam sebuah masyarakat yang rata-rata susah dengan drama kehidupan yang tersendiri.

Agak menarik juga bahawa novel ini tidak memenangi hadiah utama dalam pertandingan menulis novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1958 itu. Salina sekadar mendapat hadiah penghargaan. Novel ini asalnya berjudul “Gerhana” tetapi diterbitkan atas judul Salina oleh DBP pada tahun 1961.

Saya membaca Salina sebanyak 16 kali lagi selepas itu. Saya tidak pernah mengulang membaca novel sebanyak Salina. Mungkin saya membaca novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad dan Keluarga Gerilya oleh Pramoedya Ananta Toer banyak kali, tetapi kedua-duanya merupakan teks bacaan wajib untuk Bahasa Melayu atau Kesusasteraan Melayu untuk tingkatan lima dan enam.

Salina sentiasa dalam ingatan saya. Dan menghantui saya. Saya sentiasa berhasrat untuk melakukan sesuatu bagi membolehkan saya memberi penghormatan kepadanya. Saya membayangkan untuk menjadikannya filem, atau sekurang-kurangnya membawakannya ke pentas.

Pada tahun 1986, hasrat saya tercapai. Saya membuat adaptasi novel Salina ke pentas dan mengarahkannya untuk Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Begitulah obsesnya saya tentang Salina.

Saya mengenal A. Samad Said secara dekat sejak saya di kampus Universiti Malaya lagi (1974-1977). Beliau pada masa itu berkhidmat di akhbar Berita Harian.  Saya pula kerap ke bangunan New Straits Times Press (NSTP) di Jalan Riong, Bangsar. Saya mengenali banyak wartawan dan sasterawan baik yang bekerja di akhbar New Straits Times dan Berita Harian.

Secara kebetulan saya pernah bekerja sementara bagi mendapatkan duit kocek tambahan di sebuah kedai motosikal di Jalan Bangsar, tidak jauh dari bangunan NSTP. Ada kalanya saya mengambil upah membersihkan bangunan NSTP, termasuklah membersihkan tandasnya. Tentulah saya tidak menjangka bahawa 32 tahun kemudian saya menjadi Pengerusi Media Prima Berhad, syarikat induk yang memiliki NSTP!.

Tambahan pula ketika itu saya sudah mula menulis cerpen untuk Berita Minggu, edisi Ahad bagi Berita Harian dan sesekali menulis untuk akhbar New Straits Times. Di NSTP, saya akan menemui A. Samad Ismail (Tan Sri), Shahril Lembang, Ahmad Sebi (Datuk) dan A. Samad Said.

Dari situlah saya mengenali A. Samad Said secara lebih dekat, malah sehingga hari ini saya meneruskan hubungan baik dengan Sasterawan Negara yang keempat itu. Beliau salah seorang ikon kesusasteraan saya. Saya membaca setiap puisi, novel, cerpen dan esei yang pernah beliau tulis.

Sebagai Ketua Bahagian Penerbitan Am pada tahun 1992, saya bertanggungjawab menerbitkan novel beliau Hujan Pagi. Sebelum itu juga saya pernah membuat adaptasi TV bagi novelnya yang sangat popular, Langit Petang. Novel yang diterbitkan pada tahun 1980-an itu pernah difilemkan di bawah Syed Kechik Film Productions dan diarahkan oleh Shahrom Mohd Dom.

Tetapi apa yang saya lakukan pada tahun 1989 adalah membawakan watak-watak di dalam novel Langit Petang itu 12 tahun kemudian. Ia merupakan drama yang dicadangkan untuk penerbitan RTM dalam empat siri. Sayangnya adaptasi itu tidak berjaya dibawa ke layar TV. Bagaimanapun DBP telah menerbitkan adaptasi saya itu pada tahun 1991 dengan judul Langit Petang: 12 Tahun Kemudian.

Seperti janji saya pada diri saya sendiri, saya akan membawa Salina ke pentas. Hanya 17 tahun setelah pertama kali membacanya saya berjaya membawakannya ke pentas teater.

Sebelum itu, saya telah membuat adaptasi novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman karya Anwar Ridhwan (Datuk dan Sasterawan Negara) ke pentas. Selama dua tahun (1984-1985) saya bernafaskan novel tersebut yang pernah memenangi pertandingan menulis novel Gapena-Yayasan Sabah pada tahun 1979.

Saya bangga bahawa adaptasi saya telah melahirkan banyak nama-nama baharu dan memperkenalkan mereka ke dunia teater. Ada di antara mereka yang kini menjadi pengarah, pelakon dan aktivis seni yang terkenal kemudiannya. Antaranya termasuklah Wan Hanafi Su, Sabri Yunus, Othman Haji Zainuddin, Ahmad Busu, A Wahab Hamzah, Bohari Ibrahim, Wan Maimunah Aziz, A Rahim Muda (Imuda), Mohd Ali Osman, Shahrizah Ahmad (Abon), Rashdi Daud dan ramai lagi.

Pembabitan saya dalam teater bermula di kampung sewaktu saya masih bersekolah menengah dengan kumpulan sandiwara Sang Sepurba. Kemudiannya saya aktif dengan Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA), Kumpulan Anak Alam dan juga Badan Budaya DBP.

Saya bukan sahaja menulis skrip dan mengarah tetapi juga pernah berlakon. Saya pernah memainkan watak Patih Kerma Wijaya dan Sultan Mahmud dalam dua buah drama arahan Othman Haji Zainuddin berjudul Titah Tuanku dan Zaman Gerhana; menjadi playboy bernama Omar dalam drama Di Mana Bulan Selalu Retak (karya A. Samad Said, arahan Hatta Azad Khan); Station Master dalam drama Stesen karya dan arahan Hatta Azad Khan; Tauke Panggung dalam Pentas Opera karya dan arahan Zakaria Arrifin dan Dr. Thomas Stockman dalam Musuh Rakyat yang merupakan adaptasi Enemy of the People karya Henrick Ibsen, arahan Mustapha Noor.

Bagi saya membuat adaptasi Salina adalah pengalaman yang luar biasa. Bagi sesiapa yang ingin membawa Salina ke pentas, cabaran paling besar adalah untuk mencari pelakon yang boleh membawa watak Salina dan Abdul Fakar. Kedua-duanya merupakan watak yang kompleks. Salina walaupun seorang pelacur tetapi berhati mulia. Beliau mendampingi Hilmy dan ibunya Katijah dan menjadi pelindung Nahidah, gadis yang disenangi oleh Hilmy.

Penduduk Kampung Kambing tidak faham mengapa Salina membiarkan dirinya dibelenggu oleh Abdul Fakar yang jahat, angkuh dan tidak bertimbang rasa. Abdul Fakar membawa kerosakan pada semua orang di sekelilingnya. Kemucak novel ini adalah apabila Nahidah diperkosa oleh Abdul Fakar. Impian masa depan Hilmy hancur bersama Nahidah yang melarikan diri.

Sewaktu saya aktif dengan Kumpulan Anak Alam, saya mengenal Pak Nawi, seorang pemuzik yang bekerja dengan Kompleks Budaya Negara (KBN) yang kini menjadi Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Beliau punya seorang anak perempuan bernama Fauziah yang ketika itu terkenal sebagai penyanyi. Pada tahun 1977, Kumpulan Anak Alam telah diberikan tawaran untuk mementaskan drama saya, Angin Kering di Universiti Sains Malaysia (USM).

Saya telah mementaskan drama itu beberapa kali sebelum itu, pertama kali di Panggung Eksperimen Universiti Malaya. Angin Kering yang diterbitkan oleh Kumpulan Anak Alam merupakan drama panjang (full-fledged play) yang pertama bagi kumpulan itu. Sebelum ini kumpulan itu banyak mementaskan drama pendek dan improvisasi.

Saya bercadang untuk mengajak Fauziah berlakon sebagai “Si Jelita” dalam drama itu. Beliau bersetuju. Tetapi beliau mengakui tidak begitu memahami drama saya yang berunsur absurd. Saya bersama-sama Nordin Hassan, Dinsman, Hatta Azad, Mana Sikana dan lain-lain dianggap pelopor absurd theatre di Malaysia pada tahun 1970-an.

Sewaktu menjalani latihan dan pementasan Angin Kering, saya memberitahu Fauziah bahawa saya akan mengambil beliau untuk membawakan watak utama drama yang saya adaptasikan daripada novel A. Samad Said itu. Saya mahu beliau membawakan watak Salina.

Saya memang sudah menyediakan draf skrip drama pentasnya. Hanya tujuh tahun selepas pementasan Angin Kering di USM barulah saya dapat merealisasikan cita-cita saya. Fauziah memainkan watak Salina dalam adaptasi pentas saya.

Bagi saya mencari watak-watak utama yang lain tidak sukar. Badan Budaya punya banyak pelakon berbakat. Watak Hilmy saya berikan kepada Mior Hashim Manaf, Nahidah kepada Izzaidah Khairan, Sunarto kepada Bohari Ibrahim, Haji Karman kepada Badrul Hisham Mohd Noh, Zarina kepada Wan Maimunah Aziz, Mansor kepada A Rahim Muda (Imuda) dan Katijah kepada Liza Othman. Hampir kesemua mereka belum dikenal umum pada ketika itu.

Setelah menemui pemegang Salina saya, saya mencari pula orang yang boleh membawakan watak Abdul Fakar. Rupa-rupanya amat sukar mencari Abdul Fakar. Saya tidak mahu nama-nama pelakon yang terkenal atau yang sudah dikenal. Saya mahu mencuba orang baharu. Saya diberitahu tentang A. Jalil Hamid, seorang pelakon muda dari Masai, Johor.

Saya diberitahu juga bahawa beliau pernah berlakon pentas sejak tahun 1978. Antara drama yang pernah beliau terlibat ialah Korban Dua Pupu, Matinya Seorang Pahlawan, Wak Cantuk dan Api-Api Di Tanjung Puteri.

Secara jujur saya belum pernah melihat beliau berlakon. Tetapi saya tertarik melihat wajah dan kesungguhannya. Saya percaya beliau boleh dibentuk menurut acuan yang saya mahukan untuk Salina. Apa yang lebih penting adalah membina chemistry antara beliau dengan Fauziah sebagai Salina. Saya mahu melihat Abdul Fakar dengan gaya playboy, segak dan kacak, tetapi jahat dan kejam.

Saya amat puas hati dengan gandingan antara Fauziah dengan Jalil. Mereka bagaikan dua sejoli dengan sikap, pendirian, perawakan dan perangai yang berbeza. Kekuatan drama itu adalah hubungan antara mereka dengan segala rasa benci sayang dan kecewa dendam.

Orang bertanya saya apakah saya telah berlaku adil pada Salina? Saya selalu mengatakan bahawa yang lebih penting adalah impian saya sejak pertama kali membaca novel itu pada usia 15 tahun untuk “berbuat sesuatu tentangnya.”

Salina dipentaskan secara kebetulan sewaktu negara mengadakan pilihan raya  yang ketujuh pada tahun 1986. Salina tidak sekadar berakhir dengan pementasannya di Kuala Lumpur sewaktu Pesta Kesenian Kuala Lumpur. Persatuan Kemuning Singapura telah mengundang kami untuk mementaskan Salina di Drama Centre di republik itu. Pementasan itu berlangsung selama dua malam, 10 dan 11 Oktober 1986.

Dalam buku cenderahati untuk pementasan di Singapura itu saya menulis pengenalan sebagai sepucuk surat pada penulisnya A. Samad Said. Begini tulisan saya:

Saudara Samad,

Saya belum dilahirkan ke dunia sewaktu Salina, Hilmy, Nahidah, Abdul Fakar, Sunarto, Zarina dan lain-lain bernafas di Kampung Kambing. Juga saya terlalu kecil sewaktu Saudara menulis dan seterusnya mendapat Hadiah Penghargaan Peraduan Menulis Novel DBP pada tahun 1958. Saya dalam darjah dua sewaktu novel itu pertama kali diterbitkan oleh DBP.

Saya mengenali Salina dalam usia yang sangat muda. Saya senang membacanya, mengagumi keupayaan Saudara menghidupkan suatu suasana yang meyakinkan dalam sebuah fiskyen, terharu dengan cerita duka watak-wataknya sekaligus menginsafi hakikat wujud manusia dalam zaman yang sukar dan penuh kepahitan. Saya melihat makna kemanusiaan di tengah perjuangan untuk hidup.

Saya lantas jatuh cinta dengan Salina. Dan mahu melihat watak-wataknya muncul di pentas teater atau filem. Saya mahu melihat cerita kemanusiaan dan survival yang menjadi semacam “epik kecil” orang Melayu di Singapura itu menjadi kenyataan di medium yang lain.

Berkat kegigihan petugas dan pemain Salina yang berkongsi inspirasi dengan saya, saya harap dapat memberi justice kepada novel Saudara.

Dalam buku yang sama, A. Samad Said menulis:

Kini sebahagian daripada realitas kehidupan sejarah dan zaman awal saya akan diterjemahkan dan ditafsirkan oleh Johan Jaaffar yang kebetulan telah mengunyah novel ini berbelas kali. Saya sedar akan kesulitannya mencantumkan semula kepingan-kepingan realitas yang baginya masih tetap suatu cerminan imaginasi yang tersangkut di belakang.

Tetapi saya percaya dunia seperti ini perlu dihantar juga ke pentas semampu dan seakrab mungkin oleh insan seni yang bervisi, untuk antara lain, menghidupkan semula wajah dan semangat satu era hidup bersejarah yang penuh luka, di samping membuktikan apakah penulisnya seorang tanpa idealisme, semangat Islam atau tanpa landas hidup.

Kami amat berpuas hati dengan reaksi penonton di Singapura ketika itu. Seyogia diingat bahawa Singapura telah jauh berubah dari era selepas Perang Dunia Kedua yang menjadi latar belakang novel itu. Sudah tidak ada lagi penempatan sesak seperti Kampung Kambing pada tahun 1986. Singapura telah menjadi pulau kota yang luar biasa dengan binaan pencakar langit di mana-mana. Singapura kota metropolitan yang luar biasa.

Banyak juga penonton yang mengatakan mereka berasa pelik dengan senario persekitaran kampung yang kami paparkan. Kami memberitahu mereka bahawa Salina adalah novel yang autobiografikal sifatnya. Hilmy itu adalah jelmaan A. Samad Said yang sebenar. Mungkin bukan seratus peratus tetapi komposit daripada perwatakan sebenar penulisnya dan apa yang telah dilaluinya pada zaman mudanya.

Kampung Kambing, penempatan fiksyen dalam novel Salina hanya tinggal sebagai satu lagi legasi sejarah yang tidak mahu diingat. Tetapi Kampung Kambing akan terus hidup dalam fikiran penulisnya, di mana itu tempat beliau bermula, dengan segala kepayahan setelah menderita pengalaman getir zaman pendudukan Jepun.

Bagi saya sendiri Salina lebih daripada sebuah novel. Salina sebahagian daripada leksikon sastera saya. Ia membentuk psyche saya tentang penciptaan karya. Ia merupakan naratif baharu yang  mengembangkan imaginasi saya sendiri.

Realiti dalam Salina sentiasa menggerhanakan saya. Seperti juga saya tersentuh dengan cabaran kemanusiaan dalam novel-novel Charles Dickens, Charlotte Bronte, Ernest Hemingway, Joseph Conrad dan John Steinbeck, saya akan sentiasa diusik oleh watak-watak sedih, ria, tragik dan lucu yang tertera dalam Salina. Sebagai novel, nada dan rona Salina mungkin muram dan gelap, sebagai penghasilan kreatif, ia bergemerlapan di langit sastera.

Itulah peranan sastera, memberikan dimensi pengalaman yang amat intim dengan pembacanya, sentuhan kreativiti yang mengesankan sanubari serta nilai estetika yang unik.

Orang juga bertanya adakah A. Samad Said puas hati dengan adaptasi saya itu?

Saya tahu sebagai penulis asal, beliau mempunyai pandangan yang tersendiri, mungkin juga dipendam dalam jiwanya.

Namun ada satu peristiwa yang besar maknanya bagi saya.

Ia berlaku sewaktu pertama kali beliau melihat kami mengadakan latihan di Balai Budaya (sekarang Balai Tun Syed Nasir) DBP. Liza Othman yang membawakan watak Katijah ibu Hilmy menyampaikan dialognya sambil mengurut-urut kakinya.

Saya melihat A. Samad Said semacam terkedu. Matanya digenangi air. Agaknya aksi Liza mengingatkan beliau pada ibunya, yang mana watak Katijah didasarkan.

Untuk itu sahaja, saya berasa cukup puas.

Saya yakin saya telah melakukan yang terbaik untuk membawa novel yang sangat bermakna bagi saya itu ke pentas teater.

Kredit Foto: Diogo Nunes/Unsplash

Artikel ini pernah tersiar dalam majalah myPASSIONS, IBR Asia Group.

_________________________

Tan Sri Johan Jaaffar merupakan mantan Ketua Pengarang Utusan Melayu, mantan Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan mantan Pengerusi Media Prima Berhad (MPB). Beliau dikenal sebagai seorang penulis, wartawan dan aktivis selain juga merupakan Tokoh Wartawan Negara. Beliau telah menerbitkan kisah pembabitannya dalam dunia seni dan budaya selama 50 tahun dalam buku Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad yang diterbitkan oleh DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.