Oleh Zulkifli Salleh
3 Mac 2024, 12:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sastera menyampaikan pelbagai pengalaman manusia dan keadaannya. Salah satunya ialah hidup dalam kemiskinan. Zulkifli Salleh meneliti beberapa karya sastera yang membicarakan hal miskin dan hidup dalam kemiskinan.

Kemiskinan memang salah satu daripada warisan manusia di mana-mana, tetapi di samping kemiskinan, ada juga kekayaan, kepandaian, dan keberanian yang diwarisi orang.

Melangkau ke tahun selepas Perang Dunia Pertama dan akibat banjir besar yang berlaku kira-kira akhir tahun 1920-an dan awal tahun 1930-an, melalui novel Rimba Harapan karya Keris Mas, kita dapat memahami kemiskinan dan kesusahan yang menimpa orang kampung Janda Baik. Penduduk di kampung itu “akan mewarisi kemiskinan sahaja sepanjang hidup mereka”. Kemiskinan memang salah satu daripada warisan manusia di mana-mana, tetapi di samping kemiskinan, ada juga kekayaan, kepandaian, dan keberanian yang diwarisi orang.

Sasterawan Negara ini memerihalkan kemiskinan melalui watak Zaidi dan Jusuh. Bagi Zaidi, “Orang Janda Baik memilih hanya warisan kemiskinan.” Sebaliknya, bagi Jusuh, dia akur akan hidup miskin, “tetapi aku senang dalam kemiskinan begini. Tidak banyak yang aku perlukan dalam hidup ini. Mana yang aku perlukan, Alhamdulillah, setakat ini masih dikurniakan Allah kepadaku dan keluargaku. Di sini kalau kita rajin, berani, sabar dan tidak tamak, tidak dengki khianat, insya-Allah rezeki akan banyak, sahabat-handai akan ramai, musuh tidak ada, dan lapar jauh sekali.”

Keris Mas menegaskan bahawa memang kelihatan perbezaan pendapat antara Zaidi dengan Jusuh tentang kemiskinan dan kekayaan. Bagi Zaidi, kekayaan itu tidak ada batasnya kerana segala yang ada di dunia perlu dimiliki untuk menyempurnakan apa yang dikatakannya sebagai kesenangan. Akan tetapi, bagi Jusuh, kekayaan itu cukup apabila orang dapat memiliki apa yang diperlukannya. Keperluan orang tidak sama, berbeza menurut perbezaan nafsu duniawinya.

Perbezaan pendapat antara dua watak itu, menurut konsep kemiskinan, ialah kemiskinan mutlak dan kemiskinan relatif. Zaidi berbicara tentang kemiskinan mutlak, manakala Jusuh mengukur kemiskinan dari sudut kemiskinan relatif. Bagi Zaidi, perlunya pengumpulan kekayaan tanpa hadnya, sebaliknya Jusuh menganggap kekayaan ada hadnya.

Kita juga dapat memahami beberapa konsep ekonomi dengan membaca karya sastera, yang biasanya disampaikan dalam bahasa yang mudah. Misalnya, dalam novel Anak Semua Bangsa karya Pramoedya Ananta Toer, tentang apakah yang dimaksudkan dengan modal, manakala dalam Rimba Harapan tentang mencari kekayaan, yang tidak memadai dengan rajin bekerja, tetapi juga ada unsur budaya – kepercayaan.

Bagi Tauke Chan dalam Rimba Harapan, “mahu dapat wang banyak mesti ada ong, dan mesti banyak tipu muslihat. Mesti cerdik.” Bagi Pendekar Atan, “rajin, banyak tipu muslihat, dan cerdik, dia telah mula amalkan. Kerajinan, tipu muslihat, dan kecerdikannya mampu memberi dia makan, rumah, dan pakaian, tetapi dia belum kaya. Belum ada ong. Sekiranya tiada ong, segala usaha gigih dan sifat rajin tidak akan berhasil, bahkan tanam getah yang ketika itu menjanjikan pulangan wang jika dibandingkan dengan tanam sayur dan padi, kalau tiada nasib, belum ada ong, belum menghasilkan kekayaan.”

Berbanding dengan Rimba Harapan yang berlatarbelakangkan masyarakat tani Melayu zaman kolonial, novel Ishak Haji Muhammad, Yang Miskin dan Yang Mewah berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat Melayu pascakolonial yang berusaha membebaskan diri mereka daripada belenggu kemiskinan. Ishak ialah nasionalis yang bergiat cergas dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), berjuang untuk kemerdekaan Tanah Melayu.

Novel ini bukan sekadar cereka kerana Ishak menulis “kata pendahuluan” yang membincangkan konsep dan masalah kemiskinan secara mendalam, analitis dan kritis. Ishak menegaskan bahawa masalah kemiskinan atau perbezaan hidup antara golongan “yang tidak berada” dengan golongan “yang berada” atau disebut juga dengan istilah “golongan atasan” dan “golongan bawahan”, golongan kaum buruh dan kaum majikan, yang tertindas dan yang menindas, masih tinggal menjadi masalah pokok yang penting. Jelas bahawa Ishak yang juga dikenali sebagai Pak Sako, mengemukakan konsep kemiskinan dari sudut sosiologi: kelas sosial.

Bagi Ishak, masalah kemiskinan adakalanya rumit lagi runcing dalam beberapa buah negara di seluruh dunia pada zaman manusia sedang mencapai berbagai-bagai kemajuan yang luar biasa, iaitu seperti terbang ke angkasa lepas, menanam padi tiga kali setahun, mengeluarkan getah yang berlipat-lipat ganda banyaknya daripada sebatang pokok getah baka baik, dan pelbagai kemajuan lagi yang sebahagian besarnya bertujuan untuk memudahkan dan menyenangkan manusia hidup di dunia ini.

Bagi Ishak, masalah kemiskinan adakalanya rumit lagi runcing dalam beberapa buah negara di seluruh dunia pada zaman manusia sedang mencapai berbagai-bagai kemajuan yang luar biasa.

Terdapat pelbagai kajian kemiskinan dan kemunduran peribumi di Malaysia, iaitu Melayu, Kaum Darat, Dayak, Iban, Kadazan, Kedayan, dan lain-lain lagi. Kajian yang dijalankan oleh pakar sejarah, politik, ekonomi, dan kemasyarakatan, yang jelas bagi Ishak, bahawa kemiskinan itu melibatkan pelbagai dimensi. Ishak memerhatikan bahawa beberapa buah agensi kerajaan ditubuhkan untuk menaikkan taraf hidup dan meningkatkan kemajuan orang Melayu, seperti Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RIDA) yang kemudiannya digantikan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA). Kemudian lahir Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Bank Bumiputra, dan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara (FELCRA).

Semua usaha dan rancangan adalah bertujuan untuk membaiki keadaan atau taraf hidup kaum tani di negara ini supaya pada akhirnya kelak, jikalau usaha itu berjaya, maka jurang antara perbezaan antara golongan “yang berada” dengan yang tidak berada” tidaklah begitu lebar dan dalam, dan supaya mudah-mudahan akan tercapai dengan gilang-gemilang apa yang disebut-sebut dan diidam-idamkan oleh manusia “keadilan masyarakat” dan “keadilan ekonomi” dalam negara kita yang kaya raya ini.

Melalui perbualan dua orang watak, yang merupakan pensyarah di Universiti Hang Jebat, iaitu antara Mohamad Masiran M.A., pakar ilmu sejarah dengan Abu Bakar B.A., pakar ilmu alam, kita dapat mengetahui bahawa Ishak mempunyai pengetahuan tentang kemiskinan, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di dunia.

Bagi beliau, kemiskinan dan kemewahan ada di mana-mana: di Amerika, England, Perancis, Itali, dan lain-lain lagi, terutamanya negara yang baru merdeka dan negara membangun. Malah, soal yang bersangkut paut dengan kemiskinan dan kemewahan inilah yang menyebabkan Parti Buruh di England dapat mengalahkan Parti Konservatif dalam pilihan raya tahun 1964 dan pada tahun 1966, parti itu menang lagi dengan kejayaan yang lebih gilang-gemilang. Di Amerika Syarikat, Lyndon B. Johnson daripada Demokrat telah mengalahkan Barry Goldwater daripada Republikan. Bagi Ishak, ternyata bahawa aliran manusia di seluruh dunia adalah untuk mengurangkan jarak atau jurang antara kemiskinan dengan kemewahan. Di negara kita, parti-parti pembangkang dalam rapat umum menggesa supaya yang miskin jangan bertambah miskin dan yang kaya jangan bertambah kaya.

Presiden Johnson memperkenalkan “Perang terhadap Kemiskinan” pada tahun 1960-an, iaitu perundangan kebajikan masyarakat yang meluas, yang bertujuan untuk membantu menamatkan kemiskinan di Amerika Syarikat. Perundangan ini merupakan bahagian program reformasi perundangan yang lebih besar, dikenali sebagai Masyarakat Agung, yang Johnson berharap akan menjadikan Amerika Syarikat negara yang lebih saksama dan adil.

Baca Bahagian Pertama dan Ketiga Refleksi |

Kredit Foto: Jonathan Kho/Unsplash

_________________________

Zulkifli Salleh ialah mantan Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain pernah menjawat tugas sebagai Ketua Bahagian Ensiklopedia, Ketua Editor Buku Sastera dan Ketua Editor Majalah di DBP. Antara hasil karyanya termasuk Idea-idea Besar Ekonomi Politik Dunia (DBP, 2019), Krisis Tidak Berhujung (DBP, 2018) dan Warung Kopi: Sejarah dan Budaya (DBP, 2021).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.