Oleh Zulkifli Salleh
3 Februari 2024, 13:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sastera menyampaikan pelbagai pengalaman manusia dan keadaannya. Salah satunya ialah hidup dalam kemiskinan. Zulkifli Salleh meneliti beberapa karya sastera yang membicarakan hal miskin dan hidup dalam kemiskinan.

Melalui sastera Melayu, sama ada puisi ataupun prosa, kita dapat mengetahui dan memahami kisah hidup orang miskin.

Karya sastera dianggap sebagai cerminan masyarakat. Melalui cerpen dan novel, para pembaca dapat mengetahui dan memahami sesuatu yang berlaku dalam masyarakat pada masa tertentu. Meskipun dianggap sebagai fiksyen, karya sastera ada kalanya berdasarkan fakta dan sains, dan cukup kental memerikan realiti dan pengalaman yang dilalui dengan renungan manusiawi yang mendalam.

The Plague karya Albert Camus misalnya, memerikan wabak yang melanda kota Oran, Algeria. Akibat pandemik melanda dunia pada tahun 2020, orang ramai membaca dan membaca semula novel ini untuk memahami bagaimana wabak menular dan mengesani manusia.

Bagi sesetengah ahli ekonomi, mereka merujuk karya sastera untuk memberikan kefahaman kepada para pembaca. Sesetengahnya, misalnya John Maynard Keynes, penerima Hadiah Nobel Ekonomi, merujuk kisah Robinson Crusoe.

Antara ahli ekonomi sezaman yang merujuk karya sastera ialah Thomas Piketty dalam bukunya, Capital in the Twenty-First Century yang memberikan tumpuan terhadap ketidaksamaan kekayaan dan pendapatan di Eropah dan di Amerika Syarikat sejak abad ke-18 dan Capital and Ideology. Dalam kedua-dua buah buku itu, ahli ekonomi Perancis ini antaranya merujuk karya Jane Austen dan Honoré de Balzac, bahkan dalam buku kedua itu, beliau merujuk novel Bumi Manusia edisi bahasa Inggeris, This Earth of Mankind karya Pramoedya Ananta Toer, yang mendedahkan aspek kejam ketidaksamaan kolonial di Indonesia.

Melalui sastera Melayu, sama ada puisi ataupun prosa, kita dapat mengetahui dan memahami kisah hidup orang miskin. Misalnya, ungkapan lama “hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat” menggambarkan betapa hinanya hidup orang miskin. Kehinaan itu dibandingkan dengan besi yang berkarat. Besi yang berkarat tiada nilainya sama sekali, bahkan jika dibandingkan dengan besi buruk. Oleh itu, kemiskinan melibatkan maruah. Dan pastinya, orang yang bermaruah tidak rela hidup merempat.

Kemelaratan hidup orang miskin jelas digambarkan dalam peribahasa, “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Hidup mereka dari segi ekonomi, disebut sekadar pada tingkat sara diri atau dalam bahasa yang mudah, sekadar “cukup makan”. Jika mereka tidak bekerja keras bermakna mereka tidak dapat memenuhi keperluan asas, iaitu makanan.

Kemiskinan dalam masyarakat Melayu merupakan sebuah kisah panjang, yang boleh kita telusuri dalam sastera rakyat, seperti cerita Pak Pandir dan Mat Jenin. Pak Pandir, seperti dalam edisi terbitan Oxford University Press tahun 1963, disebut sebagai “orang miskin”. Bodoh yang terlalu amat. Dia tinggal di dalam hutan bersama-sama isterinya, Mak Andeh dan seorang anak perempuan. Mereka bekerja bercucuk tanam. Pak Pandir terkenal dengan kebodohan dan kedunguannya. Walaupun hidup miskin dan terasing dalam hutan, Pak Pandir “berurusan” dengan pasar, tempat dia menjual hasil tanamannya. Meskipun orang di pasar mempersendakan Pak Pandir kerana kebodohannya, dia tahu berjual beli di pasar. Wang yang diperoleh daripada jualan hasil tanamannya, dibelinya satu sumpit garam.

Sebalik kisah jenaka ini, kita dapat memerhatikan “sistem ekonomi” yang bersifat pasaran dan bukannya mengamalkan sistem barter. Mata wang yang disebut rial telah pun wujud ketika itu untuk jual beli. Hasil tanaman atau pertanian dan barang keperluan, iaitu garam dijual di pasar. Pak Pandir boleh dianggap sebagai kaum tani yang hasil tanaman dijual di pasar. Hubungan dengan pasar penting bagi kaum tani seperti Pak Pandir.

Meskipun hidup miskin dan “lurus bendul”, Pak Pandir bukannya pemalas. Dia ringan tulang. Dia bertani dan menangkap ikan dengan menggunakan lukah. Dia sanggup berpenat seharian menangkap ikan, walaupun harta milik gergasi, iaitu emas dan yang dicurinya sudah banyak. Mereka sudah kaya-raya. Alasannya, dia perlu mencari makan kerana dia tidak mahu bergantung hidup pada harta isterinya, Mak Andeh. Selain melukah ikan, dia menangkap burung pula. Bersama-sama isterinya, dia membuka ladang baharu.

Satu lagi cerita jenaka yang wajar diketengahkan di sini ialah cerita Mat Jenin, yatim piatu dan hidup miskin di sebuah kampung. Kemiskinan hidup Mat Jenin digambarkan dengan jelas melalui pondok kediamannya yang amat daif. Pondok pusaka ibu bapanya dibiarkan dalam keadaan menunggu masa untuk roboh. Dia tidak berusaha untuk membaikinya. Setiap hari, dia hanya berangan-angan, sehingga tabiatnya itu menjadi buah mulut orang.

Hidup tanpa pekerjaan, Mat Jenin tidak mampu menyara dirinya sendiri. Oleh itu, apabila lapar, dia pergi ke kedai makan sambil menunggu dengan harapan ada orang yang baik hati yang sudi belanja makan minumnya. Sekiranya tidak ada orang yang hendak membayar makan minumnya, barulah dia mencari kerja. Akan tetapi, dia gemar memilih kerja, tidak ingin membanting tulang di sawah kerana panas, atau pergi menangkap ikan di laut kerana mabuk katanya. Satu-satunya pekerjaan yang dilakukan Mat Jenin hanyalah memanjat pokok kelapa, kerana bagi dia, pekerjaan itu selesa: teduh dan berangin. Walau bagaimanapun, dia hanya mengambil upah memanjat pokok kelapa apabila dia memerlukan duit belanja.

Kisah hidup orang miskin juga dapat kita lihat dalam sastera hikayat, iaitu dalam Hikayat Si Miskin.

Mat Jenin sedar bahawa hidup miskin dipandang hina oleh masyarakat. Dengan itu, dia mahu hidup kaya-raya, tetapi tanpa berusaha, sekadar angan-angan. Wujud aspek sosiobudaya masyarakat terhadap golongan miskin. Lebih-lebih lagi orang miskin, seperti Mat Jenin yang malas.

Kisah hidup orang miskin juga dapat kita lihat dalam sastera hikayat, iaitu dalam Hikayat Si Miskin yang juga dikenali sebagai Hikayat Marakarma yang diselenggarakan oleh Abu Bakar Hamid.

Cetera bermula dengan “Sekali peristiwa Allah SWT, maka adalah seorang miskin laki bini berjalan mencari rezekinya berkeliling di negeri Anta Beranta. Raja negeri itu bernama Maharaja Indera Dewa, yang kerajaan baginda amat besar.”

Pada suatu hari, baginda sedang dihadap oleh segala raja, menteri, hulubalang, dan rakyat sekalian. Si Miskin turut hadir ke majlis tersebut. Apabila orang ramai melihat Si Miskin suami isteri dengan pakaian yang koyak rabak, maka mereka ketawa seraya membaling kayu dan batu sehingga tubuh Si Miskin bengkak dan berdarah. Apabila mengetahui punca orang ramai gempar itu, maka baginda bertitah supaya Si Miskin suami isteri diusir jauh-jauh hingga ke pinggir hutan.

Kemiskinan hidup Si Miskin diperihalkan dengan jelas dalam hikayat ini. Pada waktu siang, dia masuk ke dalam negeri untuk mencari rezeki, tetapi orang kampung tidak mengalu-alukan kedatangannya. Mereka mengusir Si Miskin sehingga menyebabkan dia lari ke pasar. Di Pasar juga orang ramai bertindak mengusirnya dengan melontar batu dan memukulnya dengan kayu, menyebabkan dia terpaksa lari lintang-pukang untuk menyelamatkan dirinya yang berlumuran darah. Sepanjang jalan, dia menahan kesakitan sambil menangis dalam keadaan amat lapar dan dahaga. Dia seakan-akan akan mati.

Untuk mencari makanan, Si Miskin terpaksa menyelongkar timbunan sampah di tengah jalan raya, yang terdapat makanan basi yang dibuang oleh orang pasar. Suatu amalan yang masih berlaku hingga kini: menyelongkar tong sampah mencari bahan buangan. Si Miskin hidup di bawah sara diri, berkongsi sebiji ketupat basi dengan isterinya. Dia sudah lama tidak makan nasi sehingga dia berasa hampir mati, hanya bergantung pada makanan yang dibuang dalam timbunan sampah. Lahir juga hasrat untuk meminta sesuap nasi dengan meminta belas ihsan orang, tetapi Si Miskin sedar dia tidak dialu-alukan.

Si Miskin, menurut pengertian lazim, ialah orang fakir: tanpa tempat kediaman dan tanpa mata pencarian. Sekadar “mengemis”. Terpaksa tidur di dalam hutan dengan tompokan darah. Dia seakan-akan putus harapan dan sekadar mengeluh dan meratapi azab sengsara yang terpaksa ditanggungnya setiap hari. Dia merasakan dirinya sedang berhadapan dengan kematian.

Baca Bahagian Kedua dan Ketiga Refleksi |

Kredit Foto: Jonathan Kho/Unsplash

_________________________

Zulkifli Salleh ialah mantan Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain pernah menjawat tugas sebagai Ketua Bahagian Ensiklopedia, Ketua Editor Buku Sastera dan Ketua Editor Majalah di DBP. Antara hasil karyanya termasuk Idea-idea Besar Ekonomi Politik Dunia (DBP, 2019), Krisis Tidak Berhujung (DBP, 2018) dan Warung Kopi: Sejarah dan Budaya (DBP, 2021).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.