Oleh Zulkifli Salleh
25 April 2024, 08:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sastera menyampaikan pelbagai pengalaman manusia dan keadaannya. Salah satunya ialah hidup dalam kemiskinan. Zulkifli Salleh meneliti beberapa karya sastera yang membicarakan hal miskin dan hidup dalam kemiskinan.

Saimun runsing menghitung-hitung wang, dan dengan 29 setengah, dia harus hidup 15 hari lagi hingga tanggal 18 yang akan datang.

Untuk memahami denyut nadi orang miskin bandar di negara membangun, kita boleh merujuk Senja di Jakarta karya Mochtar Lubis. Novel ini berlatarbelakangkan kota Jakarta pada tahun 1960-an. Saimun, pada mulanya pesawah. Desanya diserang oleh gerombolan, menyebabkan dia terpaksa berhijrah ke kota untuk mencari kehidupan baharu.

Saimun masih ingat betapa pada minggu-minggu pertama dia tiba di Jakarta, dia menangis apabila tiba malam. Dia tidak tahu entah ke mana dia harus bertualang, lalu mencari tempat tidur di bawah atap sebuah bangunan. Kemudian, dia bertemu Itam, dan mereka dapat kerja jadi kuli pengangkut sampah. Mereka kemudian dapat menyewa pondok di pondok Pak Ijo. Saimun menghitung-hitung gajinya yang dibayar dua kali sebulan, tiap-tiap hari ketiga dan ke-18. Dari tanggal 18 bulan hingga tanggal tiga bulan itu, dia hanya bekerja 11 hari, kerana dua hari minggu orang tidak bekerja dan gaji tidak dibayar. Oleh sebab dia kuli baharu, upahnya baru empat rupiah setengah sehari. Diterimanya 11 kali empat setengah, hanya 49 setengah rupiah. Tolak hutang seluar yang dibayar secara ansuran, 10 rupiah. Bakinya, 39 setengah rupiah. Ditolak hutang lain, bakinya 29 setengah rupiah.

Saimun runsing menghitung-hitung wang, dan dengan 29 setengah, dia harus hidup 15 hari lagi hingga tanggal 18 yang akan datang. Jika makan nasi sayur sahaja sepiring, sudah serupiah harganya. Dan, paling sedikit, mesti makan dua kali, minum kopi dan sepotong pisang atau ubi goreng setengah rupiah. Maka, dia sudah harus ada sekurang-kurangnya lima rupiah. Dia juga terpaksa melupakan keinginannya untuk memakan nasi berlaukkan ayam goreng. Tepuk saku tanya selera!

Mochtar juga menunjukkan keraguan terhadap pihak tertentu dalam pembasmian kemiskinan. Namun begitu, golongan miskin tidak mudah terpedaya. “Bagaimana kaum buruh bisa percaya pada kita, sedang setiap hari mereka merasa upah mereka tidak cukup lagi untuk menutupi keperluan hidup sehari-hari. Dan harga bahan makanan, pakaian, dan sebagai setiap waktu bertambah-tambah mahal?”

Dalam Yang Miskin dan Yang Mewah, Ishak Haji Muhammad memulakan novelnya dengan memperkenalkan watak profesor Ali Ahmad, pakar ilmu kemasyarakatan di Universiti Hang Jebat dan setiausaha peribadi beliau, Zarina Zainab Ghafoor (gelarannya Za Za Gabor), wanita cerdik, meskipun dia bukan wanita yang cantik jelita, seperti yang diperikan oleh Ishak dengan penuh kiasan dan ibarat.

Zarina dipanggil oleh profesor untuk berbincang tentang pengajuran forum baharu selepas Forum Seks dalam Kesusasteraan. Dia meminta Zarina membuat persiapan, iaitu menempah dewan di ibu kota yang muat 500 orang dan hebahan kepada pihak akhbar dan radio. Mereka memilih dewan Istana Pena – dewan yang diusahakan oleh penulis nasional dan pejuang bahasa kebangsaan. Tajuk forum ialah “Yang Miskin dan Yang Mewah” atau “Mewah dan Maruah”, yang bagi profesor itu, dua perkara yang sangat luas dan penting dikaji pada zaman moden.

Pengerusi forum, Dato’ Osman Lailtulkadar tinggal di Kampung Pawang. Sebuah kawasan sesak yang didiami oleh beribu-ribu orang miskin. Tempat itu ialah sarang samseng dan “kutu-kutu embun”, malah lubuk bagi kaki judi, tahi-tahi arak dan dadah, serta pelacur. Kampung yang memang tidak sesuai bagi orang kaya seperti Dato’ Osman tinggal.

Asal usul Kampung Pawang sebelum menjadi besar dan banyak penduduknya, ada seorang pawang yang handal dan terkenal. Tok Pawang itu kononnya bukan sahaja boleh menghalau hantu, puaka dan pelesit, tetapi dia juga boleh “menurun” dan dalam keadaan dia “tidak sedar”, kononnya boleh memberi nombor “tikam ekor” dan “cap jeki”.

Ketika forum bermula, Dato’ Osman memaklumkan para hadirin yang penuh sesak di dalam dewan Istana Pena, dengan tujuan forum: meningkatkan taraf hidup rakyat di negara ini, terutamanya rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar. Dia menyampaikan ucapan pembukaan dengan panjang lebar, antaranya tentang berbagai-bagai usaha kerajaan sejak merdeka untuk meninggikan taraf hidup penduduk di luar bandar, dengan membina jalan raya, menyediakan bekalan air dan elektrik, memberikan tanah baharu kepada mereka yang memerlukan tanah, menghulurkan bantuan untuk memajukan tanah itu, bantuan untuk penanaman semula getah, menggalakkan penternakan ayam itik, kerbau, lembu, dan kambing, menggalakkan perniagaan dan pengusahaan kain batik, tikar mengkuang dan pandan, membimbing penubuhan koperasi, dan memajukan koperasi.

Dato’ Osman juga menyebut tentang kejayaan usaha kerajaan dan menyanggah puak pembangkang yang mencanang ke sana sini akan kegagalan semua usaha itu. Dia memberitahu bahawa sejak merdeka dan sejak pelaksanaan rancangan untuk meninggikan taraf hidup penduduk luar bandar, maka mula lahirlah golongan yang mewah atau golongan “orang kaya baharu”. Golongan ini terdiri daripada tuan tanah baharu yang pokok getahnya sudah ditoreh dan kebun tanamannya mula berbuah. Pendapatan purata bulanan mereka dalam RM350.

Dengan itu, Ishak jelas tidak bersetuju dengan hujah Karl Marx dan Friedrich Engels bahawa konflik kelas antara buruh dengan kapitalis atau antara proletariat dengan borjuis, akan mencetuskan revolusi dan kesudahannya kemenangan kepada proletariat dan seterusnya mewujudkan masyarakat tanpa kelas. Tidak seperti Marx dan Engels yang mengimpikan revolusi dan masyarakat yang sama rata, tanpa kelas, Ishak lebih berpijak di bumi nyata: menyedari bahawa pertentangan itu dapat diselesaikan di meja rundingan.

Walau bagaimanapun, Dato’ Osman mengakui bahawa sebalik kejayaan gilang-gemilang itu, masih wujud sebahagian besar penduduk luar bandar yang masih hidup dalam kemiskinan. Dan kemiskinan menimbulkan akibat buruk yang berlainan pula daripada akibat kemewahan.

Oleh sebab forumnya tanpa ahli panel, maka selepas ucapan pembukaan itu, acara seterusnya terbuka kepada para hadirin untuk mengemukakan pendapat masing-masing. Acara bermula dengan profesor Kudus Mustakim membuka perbincangan. Dia membangkitkan persoalan ukuran mewah dan miskin yang digunakan dalam kajian. Dia memberitahu bahawa ukuran taraf hidup tinggi atau keadaan mewah di Eropah dan Amerika Syarikat berdasarkan kebendaan semata-mata, yang pastinya tidak sesuai digunakan di Malaysia dan di Timur. Ukuran mewah di Barat ialah pendapatan tinggi individu atau keluarga mingguan, bulanan atau tahunan. Dia mengemukakan statistik pendapatan tinggi di England, iaitu £50 seminggu, manakala di Amerika Syarikat, AS$200 seminggu (menurut nilai ringgit, RM600 seminggu).

Kemiskinan di Amerika Syarikat, sebuah negara demokrasi yang kaya raya mendapat perhatian Ishak Haji Muhammad dalam novel ini, dengan tumpuan khusus di Harlem, yang luasnya 3.5 batu persegi dan jumlah penduduknya 232,000 orang (94 peratusnya orang kulit hitam).

Beliau merujuk laporan yang panjang lebar dalam majalah mingguan Time, yang jumlah orang miskinnya terdiri daripada orang kulit hitam. Selain kemiskinan, segala jenis masalah sosial wujud di Harlem: ketagihan dadah yang tinggi, pelacuran, judi, mabuk arak, keganasan, dan jenayah. Kadar penganggurannya tinggi, malah banyak berlaku keciciran persekolahan, malah anak-anak kecil Harlem terbiar tanpa penjagaan ibu bapa. Orang kulit hitam di Harlem gilakan suatu jenis mainan, iaitu “tikam ekor”. Sebagaimana orang miskin dan kaum buruh di bandar-bandar negara kita, mereka juga percayakan mimpi. Mereka mentafsirkan mimpi tertentu untuk nombor ekor. Mereka menjadi papa kerana ketagih main judi tikam ekor. Penyakit masyarakat seperti itu sedang berjangkit ke negara kita.

Meskipun Ishak tidak menyebutnya, daripada pemerihalannya tentang pelbagai gejala sosial yang menimpa kaum kulit hitam di Harlem, kita dapat mentafsirkan bahawa mereka terjebak dalam “budaya kemisikinan” Oscar Lewis.

Selepas Kudus selesai mengemukakan pendapatnya, Masiran M.A. pula bangun, yang memulakan hujahnya dengan menyanggah pendapat Kudus tentang penularan gejala Barat ke dalam masyarakat Malaysia. Dia seakan-akan berhujah dari sudut “globalisasi” bahawa penularan seumpama itu memang tidak dapat dielakkan, hasil kemajuan sains dan teknologi, pengangkutan yang semakin pantas, dan penyebaran maklumat daripada media.

Bagi Masiran, tujuan forum hari itu diadakan adalah untuk mencari jalan supaya “keadaan tidak seimbang” antara kaum di negara ini dapat diatasi. Bagaimana taraf ekonomi kaum Melayu dapat ditinggikan kira-kira sama atau tidak jauh beza daripada taraf ekonomi kaum bukan Melayu. Di sini, jelas bahawa melalui pendapat Masiran tentang “ketidakseimbangan antara kaum”, Ishak “mendahului” matlamat pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Melalui pendapat yang dikemukakan oleh Masiran, maka Ishak cuba berhujah sebagai ahli sains sosial: “Masalah yang kita hadapi bukanlah masalah kelas dengan kelas, tetapi kaum dengan kaum.” Masiran menjelaskan bahawa perjuangan kelas dengan kelas boleh diaturkan dan disalurkan melalui kesatuan buruh, boleh didamaikan antara majikan dengan kaum buruh berdasarkan undang-undang dan peraturan tertentu.

Dengan itu, Ishak jelas tidak bersetuju dengan hujah Karl Marx dan Friedrich Engels bahawa konflik kelas antara buruh dengan kapitalis atau antara proletariat dengan borjuis, akan mencetuskan revolusi dan kesudahannya kemenangan kepada proletariat dan seterusnya mewujudkan masyarakat tanpa kelas. Tidak seperti Marx dan Engels yang mengimpikan revolusi dan masyarakat yang sama rata, tanpa kelas, Ishak lebih berpijak di bumi nyata: menyedari bahawa pertentangan itu dapat diselesaikan di meja rundingan.

Bagi Ishak, pertentangan kelas tidak sebahaya perjuangan antara kaum dengan kaum. Hal ini demikian kerana perjuangan seumpama itu, coraknya lain, banyak bahaya dan rintangannya. Beliau seolah-olahnya memberi amaran bahawa ketidaksamaan kaum dan perjuangan kaum boleh membawa kepada pertumpahan darah. Lima tahun selepas forum itu berlangsung, tercetuslah pergaduhan kaum yang dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei 1969. Ishak Haji Muhammad seperti sudah meramalkannya.

Baca Bahagian Pertama dan Kedua Refleksi |

Kredit Foto: Jonathan Kho/Unsplash

_________________________

Zulkifli Salleh ialah mantan Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), selain pernah menjawat tugas sebagai Ketua Bahagian Ensiklopedia, Ketua Editor Buku Sastera dan Ketua Editor Majalah di DBP. Antara hasil karyanya termasuk Idea-idea Besar Ekonomi Politik Dunia (DBP, 2019), Krisis Tidak Berhujung (DBP, 2018) dan Warung Kopi: Sejarah dan Budaya (DBP, 2021).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.