Oleh Zulkefle Dollah
6 November 2023, 17:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Zulkefle Dollah menemui hakikat menghadapi “kehidupan selepas mati” dalam novel Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, Sampah.

Menerusi Sampah, Shahnon Ahmad secara sedar menggabungkan beberapa elemen falsafah yang penting, seperti metafizik, logika, etika, dan estetika.

Kesombongan ialah sifat “kemiskinan” sebenar manusia. Miskin atau kesusahan hidup memang dekat dengan kekufuran kerana kemiskinan boleh menyebabkan berlakunya perbuatan mungkar dan maksiat, kecuali dalam kemiskinan itu tiada sifat kesombongan diri. Membuang kesombongan diri bukan mudah jika diri diulit oleh kekayaan harta benda dan kuasa. Sikap berlumba-lumba mencari harta benda untuk hidup mewah dan bermegah-megah menjadi punca manusia melupakan hakikat kematian (hakikat keabadian). Kekosongan, kepakuman dan keabadian ialah tingkat perjalanan hidup manusia.

Bermula dengan kemiskinan (kekosongan), miskin (kepakuman) dan miskin (keabadian), “Segala-galanya menjadi kosong dan pakum. Keabadian yang dikemis-kemis selama ini akhirnya disedekahkan.” Maknanya, pasrah atau menyerah diri untuk keabadian (kekal). Novel Sampah sebuah novel yang tinggi darjat spiritualitinya. Walaupun tiada unsur-unsur keagamaan (manhaj Islam) yang ketara tetapi kekuatan filsafatnya bersumberkan kefahaman tentang hakikat kehidupan yang digariskan dalam Islam.

“Dia” dalam novel ini telah membuang sifat-sifat kesombongan diri dan cinta dunia, sebagai prasyarat mudah menuju keabadian. Kesombongan diri boleh dibuang jika manusia “sedar” dan “disedarkan” bahawa kehidupan ini ada kesudahannya. Manusia yang tidak “sedar” merupakan manusia yang paling bodoh, dan kebodohan itu antara senjata syaitan yang mengheret manusia menjadi penghuni neraka.

Kebodohan ialah penyakit hati dan akal. Bahkan menjadi sumber segala penyakit dan kejahatan (Abu Ahmad Yasin, 2008). Sebuah hadis riwayat Ibnu Majah menyebut, “Secerdik-cerdik manusia adalah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta yang terbanyak persiapannya untuk menghadapi kematiannya itu. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi ke alam baqa dengan membawa kemuliaan dunia serta kemuliaan akhirat.”

“Dia” (pengemis) bukan manusia bodoh yang tiada akal dan tumpul emosi apabila berbicara (berfikir) tentang “dunia”nya yang umumnya dianggap sampah oleh masyarakat. Banyak elemen cerdik atau bijaksana dihidangkan. Shahnon Ahmad bukan penceroboh yang melulu tanpa asas.

Menerusi Sampah, Shahnon Ahmad secara sedar menggabungkan beberapa elemen falsafah yang penting, seperti metafizik, logika, etika, dan estetika. Keabadian merupakan aspek metafizik, yakni hakikat yang bersifat transendental (di luar jangkauan pengalaman manusia). Mengenai logika, Sampah bukan imaginasi kreatif yang tidak bersandarkan kebenaran.

Bukankah kehidupan tarik-nafas-keluar-nafas ini hanya menunggu maut.

Etika pula merujuk soal kelakuan (tingkah laku) yang baik dan buruk. Baik dan buruk itu merujuk cara bertindak (perbuatan) yang dipandu oleh cara berfikir. Selalunya, tindakan yang baik terbit daripada fikiran yang baik. Shahnon berupaya membina falsafah hidup yang diyakininya “benar yang sebenar-benarnya” melalui konsep keabadian. Novel ini harus dibaca secara dekonstruktif, iaitu memahami kontradiksi dalam teks dan membangunkan semula makna-maknanya sekali gus, agar boleh membuktikan yang Sampah sebagai karya yang bukan absurd sepenuhnya.

Albert Camus (1913-1960) membangunkan falsafah absurdisme bagi tujuan menentang nihilisme (hidup tanpa nilai atau makna). Baginya, ada dua sisi kehidupan manusia, iaitu masa depan (hidup) dan masa depan (kematian). Manusia hanya boleh melarikan diri (salto) dengan dua cara, iaitu menenggelamkan diri dalam agama atau ideologi dan membunuh diri. Kedua-duanya ditolak oleh Albert Camus lalu mencadangkan revolt atau memberontak. Maksudnya, menghadapi hidup dengan berani tanpa perlu takut pada bahaya kematian yang boleh datang setiap saat tanpa diketahui.

Cadangan Albert Camus supaya memilih revolt memang telah dipilih oleh Shahnon bagi “dia” (pengemis). Shahnon tidak memilih untuk menenggelamkan “dia” dalam agama dan ideologi (politik) tetapi membenamkan “dia” ke dalam dirinya sendiri.

Jika Shahnon Ahmad memilih agama, tentulah “dia” akan dibawa ke masjid, ke surau atau ke pondok bagi mendalami ilmu agama. Jika memilih politik (ideologi), “dia” akan dibangunkan dengan idea politik berhaluan kiri bagi menentang kezaliman dan ketidakadilan pemerintah yang menindas golongan miskin, sesuai dengan nilai revolt itu. Revolt yang dicerna oleh Shahnon Ahmad ialah revolt bagi mencari kekuatan sebalik kelemahan diri manusia itu sendiri.

Sebagai pengarang yang ada “roh” keagamaan, Shahnon Ahmad menulis dengan “kesedaran”. Kesedaran yang paling dituntut oleh agama ialah sedar (ingat) tentang kematian. Ingat akan kematian boleh meleburkan dosa. “Perbanyakkanlah mengingati kematian, sebab yang demikian itu akan menghapuskan dosa dan menyebabkan timbulnya kezuhudan di dunia.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi al-Dunya) dan “Cukuplah kematian itu sebagai penasihat” (Diriwayatkan oleh Thabrani dan Baihaqi).

Sampah hanyalah sebuah novel, bukannya sebuah kitab tafsir. Pembaca perlu melihat perihal ‘hidup kekal’ itu secara kontekstual berdasarkan al-Quran dan hadis.

Kesedaran yang digagaskan oleh Shahnon Ahmad, iaitu tentang keabadian (hidup yang kekal) bukanlah sesuatu yang absurd sifatnya. Kematian ialah jalan untuk “hidup kekal” (bukan jalan keselamatan) dan bukan keabsurdan, seperti yang dipropagandakan oleh pemikiran sekular Barat. Umpamanya, Stephen William Hawking (1942–2018), seorang ahli fizik dan kosmologi yang mengatakan bahawa kehidupan selepas kematian secara konvensional ialah dongeng untuk orang-orang yang takut pada kegelapan.

Sebagai pengarang yang yakin bahawa Islam ialah Dinu’lHaqqi, Dinu’l Qayyim dan Dinu’l lah, Shahnon idak perlu menjelaskan apa-apa tentang nikmat atau azab “hidup kekal” itu. Pembaca yang membaca novel ini pasti disentak oleh hakikat kehidupan lawannya kematian. Miskin dan kaya hanyalah ukuran kebendaan. Jalan kehidupan tetap sama, iaitu menuju kematian untuk “hidup abadi” sepertimana yang dijanjikan oleh Tuhan. Sastera kita mungkin menolak pemikiran begini iaitu pemikiran yang pasif dan pesimistik. “Dia” dalam Sampah hanya menunggu kematian tanpa berusaha untuk mengubah diri. Shahnon sebagai pemikir, tentu sedar hakikat ini. Kesedaran itu tidak perlu wujud dalam karya tetapi harus wujud dalam pemikiran pembaca, iaitu kesedaran rohani terhadap hakikat kehidupan itu sendiri.

Firman Allah (Surah al-Mu’minun 23:39), “Wahai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara. Dan sesungguhnya hari akhirat itu sahaja negeri yang kekal.”

Sampah hanyalah sebuah novel, bukannya sebuah kitab tafsir. Pembaca perlu melihat perihal “hidup kekal” itu secara kontekstual berdasarkan al-Quran dan hadis. Kritik terhadap “kelemahan” novel ini seperti “bukan sebuah novel yang sepatutnya” hanyalah ukuran bersifat teknikal (gaya penulisan sahaja). Sampah tetap sebagai sebuah karya sastera yang tegar melaksanakan tugas sasteranya, untuk “berhikmah kepada manusia” dengan memberikan peringatan bahawa cintakan keabadian ialah cinta yang dituntut oleh Yang Maha Pencipta kerana kehidupan di dunia ialah ujian (bersifat sementara) untuk hidup kekal (abadi). Sesuai dengan Firman Allah (Surah al-Dhariyat 51:55), “Dan tetap tekunlah engkau memberikan peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.”

Pengarang ialah seorang “pemikir” yang tidak sempurna. Pengarang tentunya tidak ada keupayaan untuk memenuhi selera pembaca. Kelemahan sesebuah karya mengikut pandangan seorang pengkritik ialah manifestasi kelemahan “diri” (pengarang) sebagai manusia yang serba lemah. Di sebalik kelemahan, carilah kekuatannya. Kekuatannya tentulah ada pada “akal” yang berupaya untuk berfikir. Soal keabsurdan dan realiti sesebuah karya (teks) hanyalah ukuran teknikal yang bersifat ilmiah, sebagai tapak untuk membina karya.

Aspek yang “menghidupkan” sesebuah karya tentulah “roh”nya. Roh bagi sesebuah karya tentulah idea atau pemikiran yang membina karya itu. Tanpa “roh”, karya itu akan mati. Maksudnya, masyarakat “tidak ambil tahu” tentang kewujudannya dan fungsinya digagalkan oleh masyarakat, apatah lagi sastera secara halus dirobohkan oleh sistem ekonomi dan politik yang bersifat kebendaan, meminggirkan kemanusiaan, bahkan menolak keimanan dan ketakwaan.

Sampah sebuah karya seni yang luhur dan tegas dalam membawa mesej kesedaran tentang hakikat kehidupan dan kematian, tanpa mengira miskin ataupun kaya. Roh yang ada dalam novel ini bersifat husn al-iqa’, iaitu keindahan seni yang menusuk ke dalam jiwa manusia (husn aliqa’ ialah istilah yang dipakai oleh Ismail al-Faruqi ketika membicarakan al-Quran sebagai kesusasteraan yang luhur (lihat Pemikiran Islam al-Faruqi, DBP, 1988). Keindahan seni yang menusuk tidak hanya bergantung pada gaya bahasa yang lembut untuk memujuk, tetapi gaya bahasa yang keras serta sinis untuk menghukum amat perlu bagi menyentak kalbu.

Sampah tidak menghukum watak “dia” kerana kemiskinan ialah suatu hukuman, tetapi melalui Sampah, Shahnon Ahmad menghukum manusia yang lalai terhadap makna kehidupan yang sebenarnya, iaitu kematian. Banyak frasa, ayat dan ungkapan yang bersifat husn aliqa. Misalnya, “manusia sibuk berusaha melanjutkan masa kedatangan maut. Maut sudah ada. Dia cukup sedar. Dia akan datang. Dia akan datang juga satu hari. Semua menunggu.”; “Kepura-puraan kadang-kadang cukup mustahak. Paling kurang ia akan memberi tenaga supaya boleh terus menunggu maut.”; dan “Kenikmatan yang paling tinggi darjatnya apabila menyedari apabila roh sudah cabut lari ke alam barzakh menunggu keabadian”.

Sampah telah dikritik sebagai sebuah novel yang lemah plotnya, lamban, lambat, malas, tawar, dan menjemukan, jika dibandingkan dengan novel realisme yang lain, malah keabsurdannya pun agak dangkal hanya sekadar percubaan (lihat Mana Sikana dlm. Shahnon Ahmad dalam Esei dan Kritikan, 2007:124–137). Dalam kritikan yang sama, Mana Sikana menyebut, “Tetapi hal yang penting harus disedari sebagai sebuah karya absurd, ceritanya tidaklah penting, yang lebih penting ialah pencairan fikiran-fikiran yang ada di benak watak.”

“Dia” dalam Sampah ialah manusia yang boleh diangkat sebagai simbol keindahan dan pengarang pula sebagai figuranya. Keindahan yang diketengahkan ialah keindahan dalam penciptaan bersumberkan ciptaan Yang Maha Mencipta supaya manusia boleh berfikir sedalam-dalamnya terhadap sesuatu ciptaan.

Baca Bahagian Pertama dan Kedua Reaksi |

Beli novel Sampah.

Kredit Gambar: europena/Unsplash

_________________________

Zulkefle Dollah berasal dari Pendang, Kedah. Mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kesusasteraan dan Bahasa Melayu) dari Universiti Sains Malaysia (USM, 1986–1990) dan Diploma Pendidikan USM (1991). Beliau menulis artikel sastera sejak tahun 1987 dan banyak disiarkan dalam majalah Dewan Sastera. Menghasilkan beberapa buah novel dan cerpen. Pernah menang Sayembara Penulisan Kreatif ASASI Kedah dan Anugerah Sastera Darul Aman 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.