Oleh Zulkefle Dollah
20 September 2023, 07:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Zulkefle Dollah menemui hakikat menghadapi “kehidupan selepas mati” dalam novel Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, Sampah.

Mana Sikana memuji pula Sampah sebagai Nouveau Roman yang amat berjaya dan berkesan. Gambarannya yang rinci, masuk ke dalam id dan libido wataknya, menjadikan novel ini sebuah saingan kuat terhadap Ziarah dan Telegram.

Novel Sampah karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad mula diterbitkan (cetakan pertama) oleh DBP pada tahun 1974 dan diulang cetak (kali kedua) pada tahun 2018 selepas setahun Shahnon Ahmad kembali ke ramatullah. Novel ini berhalaman 103 muka surat sahaja tetapi mempunyai mesej yang cukup kuat untuk dibaca dan direnung kembali kisahnya secara mendalam, khususnya dari sudut pemikiran Shahnon tentang falsafah kehidupan manusia yang tidak takut mati (pengemis) setelah bosan dalam hidup kerana dijerut kemiskinan, sehingga terpaksa menjadi peminta sedekah.

Persoalan “tidak takut mati” bukanlah urusan manusia tetapi “cinta keabadian” dalam erti kata yang sebenarnya, membawa maksud “kehidupan selepas kematian”. Soal bagaimana untuk “hidup selepas kematian” juga bukan urusan manusia. Dalam novel ini, tiada frasa “meminta kematian” dan “bercita-cita untuk kematian”. Shahnon Ahmad faham bahawa “meminta atau bercita-cita untuk kematian” ialah hal yang dilarang oleh agama (Islam): “Janganlah kamu bercita-citakan kematian! Kalau dia orang yang baik semoga Allah menambahkan kebaikannya dan kalau orang itu jahat supaya diampuni dosanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dia, watak dalam novel ini tidak dikonkritkan oleh Shahnon Ahmad secara jelas dari sudut akidah atau keyakinan dalam beragama. Sebagai pembaca, kita boleh membuat tafsiran atau justifikasi berdasarkan “diri pengarang”, kerana karya dan pengarang tidak boleh dipisahkan pemikirannya.

Novel ini jarang-jarang disentuh oleh pengkaji atau pengkritik sastera jika dibandingkan dengan novel-novel Shahnon Ahmad yang lain, termasuk Ranjau Sepanjang Jalan, Rentong, Srengenge, Menteri, Patriarch, Sutan Baginda, dan Tok Guru. Mana Sikana yang pernah meneliti novel ini atas tajuk “Sampah dengan Tema Kewujudan” (lihat Shahnon Ahmad dalam Esei dan Kritikan, 2017:124) menyifatkan Sampah sebagai novel yang dipengaruhi oleh aliran sastera di Perancis. Strukturnya pula amat berbeza daripada novel yang ada di Malaysia, yang mirip mempersoal falsafah hidup (kepengemisan), dipengaruhi oleh trend absurdisme, menentang kebiasaan (pengaruh absurdisme: hanya bayangan absurd) – imitasi daripada karya Iwan Simatupang (watak yang tidak bernama) yang terkenal dengan novel Merahnya Merah (1968), Ziarah (1969) dan Kering (1972).

Sampah dikritik oleh Mana Sikana sebagai sebuah novel yang banyak kelemahannya. Kelemahan bahasa, perwatakan, latar, dan falsafah. Malah, novel ini dikatakan hanya sebuah karya eksperimen dan tidak melebihi karya-karya sebelumnya, malah jauh merosot. Dalam krtikan yang lain, “Keunggulan Shahnon Ahmad” (Pemikiran Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, 2012), Mana Sikana memuji pula Sampah sebagai Nouveau Roman yang amat berjaya dan berkesan. Gambarannya yang rinci, masuk ke dalam id dan libido wataknya, menjadikan novel ini sebuah saingan kuat terhadap Ziarah dan Telegram.

Tambah Mana Sikana lagi, begitulah seterusnya kita menyaksikan penguasaan aliran Islam dan realisme magis yang istimewa di tangan Shahnon Ahmad (2012:370). Pendapat Mana Sikana tentang kelemahan dan keistimewaan novel Sampah ini mengundang minat untuk melihat semula Sampah sebagai novel yang ada kekuatan tersendiri dalam perkembangan sastera moden tanah air.

Sampah versi terbaharu (2018).

Novel ini secara jelas memperlihat keupayaan Shahnon Ahmad yang ketika itu berumur 41 tahun (1933–1974) untuk mengindoktrinasikan falsafah (hikmah), pemikiran (intelektual) dan emosinya yang rasional dan realistik ke dalam diri pembaca melalui watak Dia, seorang pengemis. Secara nyata atau tersurat (denotatif), nilai hidup melarat, miskin atau papa kedana, dibenci dan disisihkan oleh masyarakat ialah dimensi normal bagi kehidupan seorang pengemis. Akan tetapi, dimensi normal dan mungkin “harmonis” bagi seorang pengemis “diceroboh” oleh fantasi Shahnon Ahmad dalam bentuk “cinta keabadian”.

Bagi pembaca, secara realitinya, mana mungkin seorang pengemis boleh berfantasi atau berfikir tentang makna kekosongan, kepakuman dan keabadian, bahkan tentang makna hidup itu sendiri jika diri sendiri tidak diuruskan dengan baik. Konsep hidup dengan “baik” itu mesti ada kaitan dengan ilmu: agama mahupun bukan agama. Pembaca novel Sampah, tidak menemui apa-apa sebab kenapakah Dia menjadi miskin dan peminta sedekah di TLK (Tempat Letak Kereta). Realitinya, tentulah ada keajaibannya seorang pengemis dan peminta sedekah mampu berfantasi tentang alam barzah dan keabadian.

Akan tetapi, hal ini dibolehkan secara fantasi (fantasi sebagai elemen magis) oleh Shahnon sebagai seorang penceroboh dalam bentuk psikologi ke dalam minda dan jiwa seorang pengemis. Dalam artikelnya, “Unsur Realisme Magis” (Dewan Sastera Jun 1996) boleh dijadikan rujukan untuk memahami hakikat novel Sampah sebagai sebuah novel yang menggunakan konsep “pencerobohan” berdasarkan aliran realisme magis. Dalam artikel tersebut jelas memperlihat Shahnon amat menekuni pemikiran Gabriel Garcia Marquez berdasarkan novel Leaf Strom (novel Marquez yang pertama), iaitu novel tentang pencerobohan terhadap kota Mocondo.

Istilah “pencerobohan” dalam konteks adab atau susila Melayu membawa makna yang buruk, iaitu sesuatu perbuatan yang mengganggu keharmonian, keamanan, kedamaian, atau kesejahteraan hidup masyarakat (dilihat dari sudut negatifnya). Dalam artikelnya, “Penceroboh” (Pabila Hujan Turun, 2015:128–33), Shahnon mengatakan bahawa “penceroboh” bermaksud sesuatu yang menceroboh masuk ke dalam sesuatu “domain” tanpa diundang bagi mengganggu ketenteraman atau kesejahteraan.

Shahnon melihat konsep pencerobohan itu sebagai teori dalam proses penulisan karya kreatif. Hakikatnya, semua penulis perlu “menceroboh” untuk membina konflik dan penyelesaiannya dalam cerita, bahkan boleh menjadikan karya yang dihasilkan itu tinggi nilai estetikanya, iaitu estetika menurut pandangan sarjana Islam kerana Sampah boleh mencetuskan kesedaran rohani (ontologisme). Hal ini boleh diteliti dalam tulisan A. Halim Ali, “Meniliai Semula Makna Estetik” (Dewan Sastera Bil.4/2014:31).

Pentingnya “pencerobohan” itu telah disimpulkan oleh Shahnon Ahmad, “Baik secara luaran atau dalaman, fizikal atau psikologikal, kita sebenarnya wujud sama ada sebagai seorang penceroboh ataupun kita sering dicerobohi. Bagi seorang sasterawan yang perihatin, hipotesis ini elok direnungi, difahami, diamalkan dan juga disebarkan.” (Pabila Hujan Turun, 2015:133).

Konsep “pencerobohan” juga boleh dikaitkan dengan niat untuk membawa sesuatu yang lebih baik terhadap sesuatu yang tidak baik atau penyelamat. Maksudnya, membawa kebaikan ke dalam keburukan lalu mengubahnya menjadi sesuatu yang bermakna.

Kemiskinan ialah realiti, dan realiti itu diangkat oleh Shahnon Ahmad secara kreatif supaya realiti tentang kemiskinan yang domain dalam kehidupan tidak dilupakan oleh masyarakat.

Baca Bahagian Kedua dan Ketiga Reaksi |

Beli novel Sampah.

Kredit Gambar: europena/Unsplash

_________________________

Zulkefle Dollah berasal dari Pendang, Kedah. Mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kesusasteraan dan Bahasa Melayu) dari Universiti Sains Malaysia (USM, 1986–1990) dan Diploma Pendidikan USM (1991). Beliau menulis artikel sastera sejak tahun 1987 dan banyak disiarkan dalam majalah Dewan Sastera. Menghasilkan beberapa buah novel dan cerpen. Pernah menang Sayembara Penulisan Kreatif ASASI Kedah dan Anugerah Sastera Darul Aman 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.